MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

6 Ogo 2009

Dua Kemungkinan Punca Kematian Teoh

SHAH ALAM, 6 Ogos -- Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock di sini Khamis diberitahu terdapat dua kemungkinan punca kematian Teoh sama ada ia satu kemalangan atau sebaliknya.

Ahli Kimia Dr Seah Lay Hong yang ditanya peguam Gobind Singh Deo, mewakili keluarga Teoh berkata perkara itu diberitahu oleh pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal kepadanya.

Sebelum itu, beliau menegaskan Ahmad Nazri tidak pernah menyatakan kepadanya bahawa kematian Teoh disebabkan pembunuhan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima plaza tersebut, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Sementara itu, timbul suasana tegang pada prosiding inkues di sesi petang apabila peguam Gobind Singh Deo tidak henti-henti mengasak Seah dengan menanya pelbagai soalan berhubung deoxyribonucleic acid (DNA).

Walaupun Koroner Azmil Muntapha Abas cuba mencelah dengan meminta Gobind memahami apa yang diberitahu ahli kimia itu, Gobind tetap bertegas untuk mengajukan soalan.

Pada awalnya Gobind mempertikai mengapa Seah tidak melakukan calitan pada semua bahagian di seluar panjang, kemeja T, tali pinggang, seluar dalam dan jaket milik setiausaha politik kepada seorang exco Selangor itu kerana beranggapan ia amat penting bagi mendapatkan keputusan lebih baik.

Bagaimanapun, Seah berkata tidak semua eksibit itu mempunyai kawasan kontak dan DNA tidak akan diambil pada bahagian yang mempunyai kesan darah.

Seah sesekali menempelak Gobind supaya memahami kerja-kerja seorang saintis dan memberitahu Gobind bahawa beliau tahu apa yang perlu dibuat atau sebaliknya ke atas eksibit yang diserahkan oleh pegawai penyiasat.

Selain itu Gobind turut mempersoal mengapa Seah tidak meminta gambar keadaan mayat Teoh bagi memudahkannya menganalisis. Bagaimanapun Seah berkata ia tidak perlu.

Ketika ditanya peguam Tan Hock Chuan yang turut membantu Azmil mengendalikan prosiding itu adakah ia menjadi perkara biasa bagi Seah menggunakan gambar untuk membuat analisis, ahli kimia itu berkata: " Ia bukan normal. Kebiasaannya, pegawai siasatan memberi kami eksibit."

Selain itu, apabila ditanya Gobind adakah terdapat kemungkinan Teoh dipegang pada tali pinggang yang dipakainya dan tali pinggang itu kemudiannya terputus sebelum terjatuh, Seah berkata ia adalah spekulasi tetapi ia juga satu kemungkinan.

Sementara itu, Seah memberitahu mahkamah bahawa pada 21 Julai, beliau menganalisis 18 eksibit termasuk "rambut kepala, keratan kuku dan pengerat kuku, jam tangan dan pin besi, kasut hitam, stokin, kot hitam, kemeja lengan pendek berwarna biru muda dan seluar dalam."

"Saya kemudian menjalankan analisis DNA menggunakan teknik Multiplex Polymerase Chain Reaction," katanya.

Pada 27 Julai, Seah berkata beliau menganalisis profil DNA bagi 157 individu untuk perbandingan, dan mereka terdiri daripada 14 pegawai dari jabatan patologi forensik di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Kuala Lumpur, 49 pegawai polis, 81 pegawai SPRM, dua tukang cuci, lapan kaki tangan penyelenggaraan dan keselamatan dan tiga saksi individu.

Seah memberitahu mahkamah bahawa beliau menjumpai DNA tiga lelaki yang tidak dikenali pada bahagian koyakan tali pinggang milik Teoh, dan DNA seorang lelaki yang tidak dikenali dari bahagian luar belakang kot itu.

Pada prosiding ini, seorang ahli kimia dari bahagian kriminalistik, Jabatan Kimia Saiful Fazamil Mohd Ali, 34, memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menganalisis beberapa barang yang dijumpai di tempat kejadian termasuklah jam tangan, seluar, skru dan pengunci tingkap.

Katanya, dalam pemerhatiannya didapati skru yang dijumpai tidak padan dengan satu pengunci tingkap dan terdapat kesan patah pada sebahagian pengunci pintu itu.

Bagaimanapun, pin penyambung jam tangan bersesuaian dengan rantai jam tangan yang diambil di tempat kejadian.

Semasa disoal Gobind adakah beliau berjaya mengesahkan dari mana datangnya klip logam dan dua skru di tempat kejadian, Saiful Fazamil berkata: "Saya tidak tahu."

Prosiding disambung esok dengan kesemua pihak akan dibawa ke tempat kejadian di Plaza Masalam di sini.

Di luar mahkamah Gobind memberitahu pemberita beliau akan mendapatkan pandangan dari pakar patologi dari Thailand yang dijangka hadir Isnin ini untuk memberi keterangan.

sumber - bernama


Tiada ulasan: