Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.
PULAU PINANG 5 Ogos - Sejumlah 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di bawah Forum Penyelarasan Umat (Forum) hari ini menyelar tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme, satu kenyataan yang disifatkan mengelirukan, berbaur jahat dan menimbulkan salah faham terhadap Islam.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Jemaah Islah Malaysia (JIM), Md. Roslan Hashim berkata, sebagai seorang ahli Parlimen dan juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, Ooi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan negatif sebegitu yang hanya berpunca daripada pertelingkahan beliau dengan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Mohd. Razali Abdullah, yang juga ahli JIM.
Katanya, tindakan Ooi yang melambangkan kejahilannya tentang pemahaman asas Islam itu juga secara tidak langsung telah menimbulkan kemarahan dan keresahan umat Islam khususnya di negeri ini.
''Sebagai seorang ahli Parlimen sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, kami mendesak Ooi supaya meletak jawatan sebagai Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri dan menarik balik kenyataannya yang mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremis.
''Kenyataan itu amat serius dan berlaku salah faham yang amat teruk tentang Islam. Dia seolah-olah melihat Islam satu yang ekstrem dan tak layak diguna dalam pentadbiran. Ini amat bertentangan dengan kenyataan 'mengikut pemerintahan Saidina Umar Abdul Aziz' dan amar ma'aruf nahi mungkar'' yang dilaungkan oleh kerajaan negeri dan Guan Eng," katanya.
Beliau dilantik oleh anggota Forum untuk menyampaikan memorandum menyelar tindakan Ooi itu di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini hari.
Setelah hampir sejam menunggu dan berlaku 'drama' usir mengusir oleh Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik, memorandum tersebut berjaya disampaikan oleh Md. Roslan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Dr. Mansor Othman.
Dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, 2 Ogos lalu, Ooi mendakwa Mohd. Razali mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020 hanya kerana menjadi ahli JIM.
Ooi juga mengkritik hebat pihak majlis kerana membenarkan seorang ekstremis agama Islam di dalam pentadbirannya.
Ahli Parlimen Jelutong itu juga menambah, pihak kerajaan negeri telah membuka ruang bagi membolehkan seorang ekstremis Islam untuk menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.
Justeru, menurut Md. Roslan, Ooi tidak seharusnya dibiarkan terus memegang jawatan penting itu yang sepatutnya bertindak menjaga keharmonian penduduk negeri ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa, bagaimanapun yang berlaku adalah sebaliknya.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan