MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

17 Jul 2009

Permohonan Anwar ditunaikan, 24 Julai sebutan kes



Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Julai - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pendakwa raya membekalkan beberapa dokumen dan barangan berkaitan kes liwat yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dipohonnya kecuali sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memerintahkan semua dokumen dan barangan tersebut diserahkan dalam tempoh seminggu mulai hari ini selepas membenarkan permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun reaksi segera pendakwaan ketika ditemui pemberita kemudiannya memaklumkan bahawa pihaknya akan memfailkan permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah itu esok.

Dalam keputusannya, hakim tersebut menolak permohonan Anwar agar dibekalkan atau dibenarkan meneliti sampel-sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan dan pada barang-barang yang diambil dari kediaman pemuda itu.

Jelas Hakim Mohamad Zabidin, sampel-sampel tersebut hanya boleh diteliti oleh pihak pembelaan setelah ia dikemukakan di mahkamah sebagai barang kes kerana kesemua sampel itu kini telah dibungkus dan dimeterai oleh ahli kimia dari Jabatan Kimia.

''Oleh itu, sebarang gangguan oleh sesiapa terhadap meterai tersebut sebelum dikemukakan di mahkamah pada hari perbicaraan akan mengganggu identiti dan rangkaian keterangan berhubung barang kes tersebut,'' katanya.

Manakala dokumen-dokumen dan barangan lain yang diperintahkan dibekalkan itu ialah:

* Pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal dan dua buah lif blok 11 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara dari 25 hingga 27 Jun 2008.

* Gambar-gambar 'slides' yang dibuat semasa ujian ke atas sampel-sampel DNA yang dikatakan diambil daripada pengadu dan kediamannya. Pihak pembela juga dibenarkan melihat 'slides' yang dibuat semasa ujian berkenaan di bawah pengawasan pegawai penyiasat dan ahli kimia.

* Nota-nota ahli kimia berkenaan pemeriksaan dan analisis sampel- sampel DNA yang diambil daripada pengadu dan barang-barang di kediamannya.

* Senarai saksi yang akan dikemukakan pada perbicaraan.

* Salinan semua dokumen yang akan dikemukakan sebagai keterangan seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(b) Kanun Aturcara Jenayah (CPC).

* Kenyataan fakta-fakta menyebelahi pembelaan, sekiranya ada seperti yang diperlukan di bawah Seksyen 51A(1)(c) CPC.

* Salinan nota-nota semua doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang dikatakan merawat dan memeriksa bekas pembantu Anwar itu termasuk pada 28 Jun tahun lalu.

* Salinan gambar, nota-nota dan laporan hasil pemeriksaan 'proctoscopy' yang dikatakan dibuat ke atas pengadu di HKL termasuk pada 28 Jun lalu.

* Laporan dari Hospital Pusrawi dan nota-nota berkenaan pemeriksaan ke atas pengadu. Sekiranya tiada laporan disediakan, satu pengesahan doktor berkenaan bahawa tiada laporan disediakan hendaklah diserahkan kepada peguam bela.

* Salinan kenyataan saksi-saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan. Saksi-saksi tersebut ialah Mohd. Shaiful Bukhari, pemilik kediaman pengadu iaitu Hassanudin Abdul Hamid, isteri Hassanudin yang hanya dikenali sebagai Nursham, Muhamad Rahimi Osman, Mohd. Rasid Mohd. Rosdi dan Dr. Osman Abdul Hamid.

Salinan rakaman video percakapan pengadu yang dikatakan dibuat pada 30 Jun tahun lalu pula tidak perlu diserahkan setelah mahkamah memerintahkan rakaman percakapan pemuda itu di bawah Seksyen 112 CPC dibekalkan.

Hakim Mohamad Zabidin menjelaskan, beliau membenarkan salinan kenyataan saksi-saksi tersebut dibekalkan setelah mendapati ia tidak akan menyebabkan prejudis ke atas kes pendakwaan atau mengganggu gugat kepentingan awam.

''Sebaliknya, ia membolehkan pihak pembelaan mengetahui lebih awal dan lebih jelas kes terhadap tertuduh dan ini mungkin dapat membantu mereka menyediakan pembelaan yang lebih sempurna dan teratur,'' ujarnya.

Hakim tersebut kemudian menetapkan 24 Julai ini untuk sebutan perbicaraan penuh kes tersebut dan satu lagi permohonan Anwar iaitu untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Anwar, 62, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

sumber - utusan malaysia


1 ulasan:

ladybird berkata...

''Sebaliknya, ia membolehkan pihak pembelaan mengetahui lebih awal dan lebih jelas kes terhadap tertuduh dan ini mungkin dapat membantu mereka menyediakan pembelaan yang lebih sempurna dan teratur,'' ujarnya.

---> Ternyata mahkamah telah memberi keadilan yang sepenuhnya kepada anwar dan peguam2nya.