Oleh AIDCNews
Perbicaraan diteruskan petang tadi dengan pembentangan hujah-hujah penguambela dan pendakwaraya mengenai permohonan dokumen.
Peguam pembela, Edmund Bon menegaskan bahawa pihaknya mahu pihak pendakwa raya menyerahkan semua dokumen dan bukti yang berkaitan sebelum perbicaraan kes liwat berkenaan bermula.
Sambil mengakui bahawa memang benar pihak pendakwaraya telah menyerahkan beberapa dokumen yang diminta sebelum ini tetapi menurutnya dokumen-dokumen itu masih belum lengkap.
"Pendakwaraya sepatutnya menyerahkan semua dokumen yang berkaitan berdasarkan Artikel 51 A iaitu semua dokumen dan bukti perlu dikemukakan tiga minggu sebelum perbicaraan bermula," kata Edmund dalam hujahannya.
Antara dokumen yang diminta adalah pita rakaman CCTV yang asal yang diambil di beberapa lokasi di tempat kejadian di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara dari tarikh 25 Jun hingga 27 Jun 2008, sampel DNA, kenyataan-kenyataan saksi termasuk pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan, kenyataan polis dan beberapa dokumen lain.
Edmund menjelaskan lagi, pihaknya mahu semua dokumen itu dikemukakan sebelum perbicaraan kerana dokumen itu amat diperlukan, relevan dan mustahak bagi pihaknya untuk menyediakan pembelaan dengan secukupnya.
Katanya, oleh kerana kes itu melibatkan keterangan DNA dan rakaman CCTV, beliau perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel-sampel DNA serta rakaman CCTV dan melakukan ujian yang sewajarnya.
"Mereka telah berikan salinan bercetak gambar dari beberapa lokasi hasil daripada rakaman CCTV, kemudian mereka serahkan CD (cakera padat) yang mengandungi salinan gambar berkenaan.
"Tapi kami mahukan rakaman asal CCTV berkenaan untuk diuji oleh pakar," katanya.
Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan berkata pihak pembelaan tidak memahami maksud sebenar yang terkandung dalam Artikel 51.
"Artikel 51 menyebut satu arahan supaya menyerahkan dokumen dan barang yang berkaitan, manakala Artikel 51 A bermaksud hak untuk memperoleh dokumen berkenaan.
"Bagaimanapun kita sudah menyerahkan dokumen yang mereka mahukan...harus diingat dokumen.
"Sampel darah atau sampel rambut bukanlah dokumen, namun kita tetap membekalkan mereka laporan bagi bahan-bahan berkenaan," kata Yusof.
Kata beliau lagi, beberapa bukti sememangnya tidak dapat diberikan kepada pihak pembelaan kerana telah disimpan rapi sehinggalah mahkamah mengarahkan untuk mengemukakannya sewaktu perbicaraan berlangsung nanti.
Beliau menegaskan tidak timbul isu pihak pendakwa menyembunyikan dokumen dan bukti-bukti berkenaan kerana apa yang boleh diserahkan telahpun diserahkan.
"Apa yang boleh kita serah, kita dah serahkan," katanya.
Perbicaraan bagi permohonan dokumen yang berjalan selama hampir dua jam itu ditangguhkan pada pukul 5.10 petang tadi dan akan disambung semula esok pada pukul 9 pagi.
sumber - AIDCNesws
Tiada ulasan:
Catat Ulasan