Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 15 Julai - Peguam Sulaiman Abdullah yang mengadu tidak sihat sejak awal bulan ini menarik diri buat sementara waktu daripada mengetuai barisan pembelaan dalam kes liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, Sulaiman menghubunginya pada pukul 6 petang semalam untuk memaklumkan tentang kedudukan kesihatannya yang agak teruk dan berikutan itu tidak boleh meneruskan pembelaan kes itu dan kes-kes yang lain.
''Sulaiman memberitahu dia tidak mahu keadaan kesihatannya melewatkan kes itu lagi dan minta saya berbincang untuk melantik peguam baru,'' katanya kepada pemberita sebelum prosiding permohonan untuk mendapatkan dokumen berhubung kes liwatnya di Mahkamah Tinggi di sini pada pagi ini.
Menurut Anwar, ia berita sedih untuk beliau kerana telah meletakkan kepercayaan kepada Sulaiman yang komited mengendalikan kes yang dihadapinya.
Dalam kes liwat tersebut, Anwar diwakili oleh barisan sembilan peguam bela termasuk Sulaiman.
Sulaiman dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 7 Julai lalu selepas mengadu pitam dan pening akibat kepenatan sejak hujung bulan lalu.
Anwar dalam pada itu menyatakan tidak berniat melengah-lengahkan perbicaraan sebaliknya mendakwa pihak pendakwaan yang masih berdolak-dalik daripada menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes itu kepada pasukan pembelaan.
''Sehingga kini, kita masih belum menerima dokumen asas termasuk laporan perubatan pertama dari Hospital Pusrawi,'' katanya.
Dengan perkembangan terbaru hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang sepatutnya mendengar permohonan Anwar pada sebelah pagi menundanya ke pukul 2 petang.
Walaupun pihak pembelaan ingin menangguhkannya sekali lagi, hakim mengarahkan permohonan diteruskan pada sebelah petang.
Hakim Mohamad Zabidin menetapkan demikian ketika menemui dua peguam bela Anwar, R. Sivarasa dan Edmund Bon serta Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pihak pendakwaan di kamar beliau kira-kira pukul 9.15 pagi ini.
Sementara itu, seorang lagi peguam Anwar, Sankaran Nair memberitahu, semasa dalam kamar hakim, pihak pembelaan memohon penangguhan agar diberi peluang melantik peguam lain yang berpengalaman bagi menggantikan Sulaiman tetapi ditolak.
Tegas Nair, pihaknya berpendapat Anwar berhak mencari pengganti Sulaiman yang mempunyai 30 tahun pengalaman kerana barisan pembelaan yang ada hanyalah pembantunya.
''Walaupun peguam baru dilantik, mereka perlukan masa satu atau dua minggu lagi untuk meneliti fail kes tersebut,'' katanya.
Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
sumber - utusan malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan