KUALA LUMPUR 15 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim memerlukan semua dokumen bagi menyokong pembelaannya bahawa tiada kejadian liwat berlaku antara beliau dengan bekas pembantunya, Mohd. Shaiful Azlan Bukhari.
Peguam, Edmund Bon berhujah, dokumen-dokumen berkenaan sewajarnya dibekalkan bagi mengukuhkan notis alibi Anwar yang mendakwa beliau tidak berada di tempat kejadian sebagaimana pertuduhan yang dihadapinya.
Dalam notis yang diserahkan kepada pihak pendakwaan pada bulan lalu, dakwa Edmund, empat orang doktor telah mengesahkan tiada bukti kukuh berlakunya kejadian liwat berkenaan.
Justeru, katanya, pembelaan secara adil hanya dapat dijalankan jika pihaknya dibekalkan dengan dokumen-dokumen yang dipohon termasuk keseluruhan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), laporan doktor yang merawat mangsa dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurut beliau, semua dokumen tersebut perlu diserahkan sebelum perbicaraan bermula kerana ia amat relevan dan mustahak bagi pihaknya untuk menyediakan pembelaan dengan sewajarnya dan secara bernas.
''Ini bukanlah kes di mana kami meminta semua dokumen untuk memancing bahan bukti. Kami mahukan dokumen yang spesifik kerana kami meragui dokumen yang telah diserahkan setakat ini,'' katanya.
Edmund berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah berhubung permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagi mendapatkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat yang dihadapinya.
Permohonan itu akhirnya didengar pada petang ini setelah empat kali ditunda sejak 22 Jun lalu selepas Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan barisan pembelaan bagi menangguhkannya berikutan penarikan diri peguam Sulaiman Abdullah.
Hakim tersebut memutuskan demikian dengan alasan salah seorang daripada lapan peguam bela yang membarisi pasukan pembelaan boleh berhujah mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Jun lalu, Anwar antara lain memohon dibekalkan dengan kandungan penuh rakaman CCTV di kondominium tersebut dari 25 hingga 27 Jun tahun lalu, sampel DNA, laporan doktor dan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu kes tersebut, Mohd. Shaiful Azlan.
Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 51 dan 51A Kanun Aturcara Jenayah.
Anwar, 62, mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
Menurut Edmund, beberapa dokumen yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan setakat ini boleh dipersoalkan seperti gambar dan cakera padat (CD) mengandungi gambar yang diambil daripada rakaman CCTV.
Jelas beliau, oleh kerana kes itu melibatkan rakaman CCTV dan bergantung kepada laporan ahli kima, pihak pembelaan perlu mendapatkan pakarnya sendiri untuk memeriksa sampel tersebut dan rakaman berkenaan.
''Untuk memastikan ketulenan rakaman CCTV dan menentukan sama ada ia telah diusik atau diubah, rakaman asal tersebut yang lengkap dan sempurna adalah perlu bagi membolehkan pakar kami membuat pemeriksaan,'' katanya.
Seorang lagi peguam bela Anwar, Amer Hamzah Arshad berhujah, pihaknya memerlukan laporan ahli kimia dan sampel DNA bagi membolehkan pakar melakukan ujian ke atas sampel tersebut sebelum mendapatkan nasihat dan pendapat kepakaran mereka.
Menurut beliau, tanpa nasihat dan pendapat kepakaran tersebut, hak Anwar untuk mengemukakan pembelaannya secara berkesan, sempurna dan efektif telah dinafikan.
Sementara itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dalam hujah bantahannya pula mengingatkan pihak pembelaan bahawa pihaknya telah pun menyerahkan dokumen-dokumen yang diperlukan.
Menurutnya, meskipun beberapa bahan bukti tidak dapat diserahkan seperti sampel darah dan rambut tetapi pihaknya tetap membekalkan laporan bagi bahan-bahan tersebut.
Di samping itu, katanya, terdapat beberapa bahan bukti yang sememangnya tidak boleh diserahkan kerana ia telah dimasukkan ke dalam bungkusan yang telah dimeterai dan hanya boleh dibuka semasa perbicaraan berlangsung.
Jelas beliau lagi, ia juga bagi mengelakkan bahan-bahan bukti tersebut seperti sampel DNA diusik atau diubah.
Pihak pembelaan akan membalas hujah esok.
sumber - utusan malaysia
1 ulasan:
Alasan Anwar ingin semua bahan bukti yang asal tidak masuk akal. Bahan bukti adalah perkara yang cukup sensitif yang akan menentukan seseorang itu benar atau salah. Kalau bahan bukti yang boleh menentukan kebenaran itu terlepas pada tangan tertuduh sebelum perbicaraan, apakah jaminan bahan bukti itu tidak diganggu dari segi keasliannya? Adakah tertuduh akan hanya membiarkan bahan bukti yang akan menyebabkan ia didapati bersalah tanpa membuat sesuatu untuk menyelamatkannya?
Kalau pita rakaman video yang asal diberikan pada Anwar, pihak Anwar mungkin boleh membuat salinan yang lain dan mengeditnya dan kemudiannya mendakwa bahawa bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwa (Saiful) adalah palsu.. padahal Anwar yang telah memalsukannya sendiri dan begitu juga dengan bukti DNA dan lain-lain.
Alasan Anwar memerlukan bahan bukti yang asal supaya dapat membuat pembelaan tidak masuk akal langsung. Apakah pihak Anwar tidak boleh membuat sebarang pembelaan sekiranya bahan bukti berkenaan dikemukakan semasa perbicaraan kelak?
Adalah lebih adil jika Saiful mengemukakan bahan bukti semasa perbicaraan dan kemudian bahan bukti tersebut diakui tentang kesahihannya dan kemudian barulah pihak Anwar dibenarkan memiliki bahan bukti berkenaan untuk mengelakkan manipulasi dari pihak Anwar. Manipulasi dari pihak Saiful tidak akan berlaku sebab kesahihannya telah dilakukan di dalam mahkamah.
Jelas disini Anwar Ibrahim sungguh terdesak dan benar-benar ingin memanipulasi bahan bukti berkenaan dan kemudian mengatakan bahan bukti tersebut telah dimanipulasi oleh pihak Saiful bagi membolehkannya terlepas dari tuduhan liwatnya.
Sekiranya bahan bukti tersebut terlepas pada tangan Anwar Ibrahim... maknanya... no case!!!
Catat Ulasan