MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

9 Jul 2009

Kes Anwar ditangguh lagi



Oleh AMIRUDDIN HARUN dan NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 8 Julai - Peguam Sulaiman Abdullah yang mengadu tidak sihat minggu lepas semasa permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dibekalkan semua dokumen berkaitan kes liwat pembantunya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Perkara itu dimaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah hari ini yang kemudian menetapkan 15 Julai ini sebagai tarikh baru untuk mendengar permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini merupakan kali keempat permohonan itu ditangguhkan.

Dengan penangguhan tersebut, tarikh perbicaraan kes liwat terhadap Anwar yang ditetapkan pada hari ini selepas ditunda dari 1 Julai lalu juga terpaksa dijadualkan semula.

Hakim Mohamad Zabidin turut menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula perbicaraan penuh kes itu dan satu lagi permohonan Anwar iaitu bagi membatalkan pertuduhan liwat tersebut.

''Sehingga penyelesaian diperoleh berhubung permohonan (dibekalkan dokumen) ini, barulah mahkamah boleh mendengar satu lagi permohonan (untuk membatalkan pertuduhan). Perbicaraan kes tidak boleh dimulakan selagi permohonan-permohonan ini belum selesai,'' kata hakim tersebut.

Terdahulu, semasa memohon penangguhan, peguam Edmund Bon memberitahu, Sulaiman yang mengetuai barisan pembelaan berada di hospital untuk pemerhatian kesihatan dan perkara itu telah dimaklumkan melalui surat kepada pihak mahkamah.

Beliau turut menyatakan, pihaknya telah memfailkan hujahan bertulis berhubung permohonan agar dibekalkan dengan dokumen berkaitan pada Jumaat lalu yang salinannya turut diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya memerlukan masa untuk mengemukakan hujahan tambahan.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pihak pendakwaan pula berkata, walaupun pihaknya mengambil berat tentang keadaan Sulaiman, kes itu perlu diteruskan.

''Sekiranya Sulaiman tidak dapat mengendalikannya, kami mencadangkan peguam daripada kalangan pasukan pembelaan boleh mengambil alih untuk mengendalikan kes tersebut,'' katanya yang tidak membantah penangguhan.

Seorang lagi peguam Anwar, Sankaran Nair pula menegaskan, beliau menerima arahan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu agar Sulaiman sendiri mengetuai pembelaan apatah lagi di bawah perlembagaan, Anwar berhak menentukan peguam bela yang mewakilinya.

Sementara peguam R. Sivarasa yang turut mewakili pemimpin pembangkang itu berkata, sekalipun kes tersebut mempunyai kepentingan awam tetapi ia tidak perlu dijalankan secara tergesa-gesa.

Anwar yang hadir hari ini bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, diwakili oleh sembilan peguam bela.

Sejak 22 Jun lalu, telah empat kali permohonan tersebut ditunda dengan kali terakhir penangguhan dibuat pada 3 Julai lepas disebabkan Sulaiman mengadu tidak sihat.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Jun lalu, Anwar antara lain memohon dibekalkan dengan kandungan penuh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu kes itu.

Sementara itu, Nair ketika ditemui pemberita selepas prosiding selesai menyatakan, Sulaiman menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Pantai sebelum dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam setelah secara tiba-tiba rasa hendak pitam pada minggu lalu.

''Kami harap pemeriksaan tersebut akan selesai dalam minggu ini supaya ia dapat dimaklumkan kepada mahkamah mengenainya,'' katanya.

Anwar, 62, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

sumber - utusan malaysia


Tiada ulasan: