MELAKA : Bapa mendiang Teoh Beng Hock , Chow Meng Hui, 60, mengesyaki punca kematian anaknya, Teoh Beng Hock, 30, kelmarin bukan akibat bunuh diri.
Meng Hui, berkata, keluarganya menjangkakan kematian anaknya mendiang berkemungkinan sama ada ditolak oleh orang lain atau berunsur sabotaj.
Menurutnya, dia sekeluarga pernah meminta mendiang supaya tidak bekerja sebagai Setiausaha Politik kerana menganggap ia berisiko tinggi, dan berita kematiannya kelmarin memang amat memeranjatkan mereka sekeluarga.
“Walaupun dihalang, anak saya tetap ingin melakukan kerja itu, maka kami sekeluarga terpaksa membenarkannya dia meneruskannya, tetapi tidak sangka kejadian seumpama ini berlaku,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Taman Sri Kelemak di sini, semalam.
Meng Hui berkata, mendiang merupakan seorang anak sangat baik, bertanggungjawab, jujur dan konsisten terhadap bidang kerjaya diceburi selepas meninggalkan kerjaya di sebuah syarikat akhbar tempatan, Sin Chew Jit Poh.
Beliau berkata, perasaan kehilangan mendiang begitu dirasai anggota keluarga, tetapi mereka menerima ketentuan itu walaupun dengan berat hati.
Sementara itu, ibu mendiang, Teoh Siew Wah, 56, berkata, kematian anak keduanya daripada lima adik-beradik itu amat menyedihkan, apatah lagi dia dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.
Bagaimanapun katanya dia menerima hakikat itu, tetapi dia dan ahli keluarga lain ingin tahu punca sebenar kematian mendiang.
Sumber : Sinar Harian, 18 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan