Nama DATUK ZAMAN KHAN bukanlah asing dalam dunia kepolisan. Beliau yang pernah menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dilihat sebagai salah seorang pegawai polis paling berjaya di negara ini. Di bawah kepimpinan beliau, banyak kes jenayah besar dapat diselesaikan.
Oleh itu pandangan beliau sebagai seorang tokoh bidang kepolisan amat dihormati oleh pelbagai pihak. Justeru apabila tercetus isu berkaitan parti pembangkang tertentu terlibat dengan kongsi gelap, wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR dan HAFIZAHRIL HAMID menemui beliau bagi mendapat pandangan.
Bagaimanapun Zaman yang sememangnya mesra dengan media, tidak mahu membuat spekulasi berhubung perkara tersebut. Tetapi beliau tidak keberatan memberikan pandangan mengenai kesannya jika benar gejala berkenaan wujud.
Menurut Zaman, beliau mengakui ada kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan politik atau ahli politik yang cuba mendapat bantuan dari kumpulan sebegini.
‘‘Namun perkara seperti ini perlu dihapuskan sama sekali kerana ia tidak sihat untuk kemakmuran berpolitik serta memusnahkan demokrasi di negara ini,’’ katanya dalam pertemuan yang diadakan di Kuala Lumpur.
Beliau turut memberi pandangan mengenai dunia kepolisan sekarang.
Datuk merupakan seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang kepolisan. Bolehkah Datuk ceritakan pengalaman bagaimana menangani jenayah seperti kongsi gelap dan samseng?
Apabila kita bercakap tentang kongsi gelap kita selalu mengaitkan kegiatan ini dengan jenayah terancang dan asal usul kegiatan ini berasal dari satu budaya yang dilakukan oleh pendatang China ke negara ini. Namun masalah kongsi gelap ini turut berlaku di negara lain seperti di Jepun, Korea malah di Amerika Syarikat (AS). Mereka ini terlibat dalam kegiatan haram seperti pelacuran, pengedaran dadah dan sebagainya.
Malah kegiatan kongsi gelap seperti di Jepun membabitkan kongsi gelap mereka yang dikenali sebagai "Yakuza", sangat berpengaruh dan mereka ini terlibat dalam kegiatan politik. Saya terbaca sebuah buku mengenai Yakuza dan mereka digunakan untuk mengawal keselamatan ketika seorang Presiden AS datang ke negara itu. Malah dalam lawatan balas Perdana Menteri Jepun turut memperkenalkan pemimpin Yakuza kepada Presiden AS.
Bagaimanapun dalam konteks negara kita diakui kegiatan sebegini wujud tetapi tidaklah sampai seperti yang berlaku di negara luar. Masa saya sekolah dahulu pun kegiatan kongsi gelap telah ada malah kawasan di Kuala Lumpur seperti di Bukit Bintang terdapat beberapa kawasan hiburan yang tidak berani dimasuki orang ramai kerana ia merupakan kawasan hitam.
Begitu juga di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang merupakan kawasan hitam satu ketika dahulu dan hanya dapat dibersihkan selepas peristiwa 13 Mei. Kebanyakan mereka ini terlibat dalam kegiatan pelacuran, meminta wang perlindungan, rumah urut dan sebagainya. Mengenai kegiatan ah long pula mungkin dulu mereka ini telah wujud tetapi tidaklah seagresif sekarang.
Masa saya dahulu pun majlis pengambilan ahli baru kumpulan kongsi gelap pun sudah menggambarkan disiplin serta peraturan keras sebagai ahli kongsi gelap. Ahli perlu taat dan setia kepada kumpulan dan ketua jika tidak hukuman berat akan menanti mereka. Bukan sahaja ahli yang ingkar akan dibunuh tetapi ia turut melibatkan ahli keluarga mereka. Ada antara ahli kumpulan merekrut pelajar sekolah.
Yang menjadi syarat utama kepada kumpulan ahli kongsi gelap ini ialah kerahsiaan. Mereka tidak akan mendedahkan rahsia kumpulan dan mereka ini sanggup mati demi mempertahankan kumpulan dan ketua mereka.
Saya pernah terlibat dengan siasatan mengenai Botak Chin. Ada antara ahli kumpulannya yang disyaki menjadi pengintip polis dan mereka ini telah dibunuh oleh Botak Chin.
Mayat mereka ini ditemui di kawasan Selayang dan dahulu kawasan ini bukanlah seperti sekarang, penuh dengan hutan. Begitu juga jika anda masih ingat satu kumpulan yang melakukan pembunuhan ketika satu majlis perkahwinan di Sungai Petani. Ketuanya berasal dari kumpulan Geng 21 di Kuala Lumpur namun melarikan diri ke Bangkok. Malah saya difahamkan lelaki ini aktif berpolitik di Pulau Pinang sebagai ketua bahagian atau ketua cawangan.
Saya juga pernah terlibat dalam satu serbuan ketika menjadi Ketua Polis Daerah Petaling Jaya pada sekitar tahun 70-an di mana lelaki ketua kongsi gelap ditahan dan mereka ini rupa-rupanya sedang cuba menubuhkan satu kumpulan yang akan membantu komunis dengan membekalkan makanan dan keperluan untuk menyusup masuk ke negara ini dari kawasan sempadan Thailand. Namun usaha mereka ini gagal dan saya diberikan rezeki oleh Tuhan berjaya menangkap mereka.
Ketuanya juga saya lihat terlibat dalam politik dan pernah dilihat mengikut ketua-ketua parti politik. Dia ini masih lagi hidup dan saya pernah terserempak dengannya di dalam kereta di Kuala Lumpur. Begitu juga dalam kes Bentong Kali. Dikatakan lelaki ini mempunyai hubung kait dengan ahli politik namun tidak ada bukti untuk mengesahkannya.
Bagaimana dengan pembabitan politik dalam kongsi gelap pada masa sekarang. Adakah ia dalam bentuk yang sangat serius?
Bagi saya memang ada orang berkata terdapat pembabitan antara orang politik dengan kumpulan kongsi gelap namun masih belum ada bukti yang jelas. Oleh itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Tetapi pada pandangan saya jika ahli politik terlibat dalam kegiatan sebegini ia akan memberi satu pandangan yang negatif.
Masyarakat tidak mahu mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah ini mendapat tempat dalam politik negara. Mereka juga akan diketepikan oleh para pengundi, itu sudah pasti. Melainkan pengundi dipaksa, itu saya tidak tahulah.
Pernah dahulu dilaporkan ahli kumpulan kongsi gelap digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi dalam pilihan raya atau parti yang mereka sokong. Mengenai kejadian terbaru membabitkan kematian seorang Setiausaha Politik, mendiang Teoh Beng Hock di Shah Alam baru-baru ini, saya merasakan apa sebenarnya berlaku perlu ditunggu sehingga siasatan selesai dijalankan. Semua pihak perlu menunggu dan tidak perlulah membuat kecoh di sana sini.
Bagi saya memang ada kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan politik atau ahli politik yang cuba mendapat bantuan dari kumpulan sebegini. Namun perkara dari kumpulan sebegini. Namun perkara seperti ini perlu dihapuskan sama sekali kerana ia tidak sihat untuk kemakmuran berpolitik serta memusnahkan demokrasi di negara ini.
Pada pandangan Datuk apakah kegiatan kongsi gelap ini semakin berkembang sekarang jika dibandingkan dengan dahulu?
Kita perlu faham kongsi gelap sekarang bukan seperti dahulu, ada struktur organisasi, ada kumpulan ‘fighters’ dan sebagainya. Bagi saya sekarang ini kumpulan kongsi gelap tidak lagi berfungsi seperti dahulu. Saya lebih memilih kumpulan yang ada sekarang ini mirip kepada kumpulan jenayah dan bukan kongsi gelap.
Yang saya nampak mereka kejam ialah daripada dua aspek iaitu pertama melalui aktiviti ah long di mana mereka ini mempunyai lokap dan mendera peminjam secara tidak berhati perut. Ini saya tidak pernah dengar dahulu. Satu lagi perkara ialah mengenai pelacuran.
Ada dua fakta tentang perkara ini iaitu yang pertama terdapat wanita dari negara-negara dunia ketiga yang dipaksa menjadi pelacur. Keduanya bukan semua dipaksa dan ada yang datang dengan sukarela. Ada yang datang dengan pasport yang sah dan kemudian terus menetap di antara wanita ini bukan dipaksa tetapi lebih kepada dengan rela hati datang ke sini untuk menjadi pelacur dan kemudian kegiatan mereka diurus oleh kumpulan kongsi gelap.
Apakah penglibatan ahli politik dalam kongsi gelap berlaku secara paksa kerana ada ugutan dan sebagainya atau secara sukarela?
Saya tidak ada bukti kukuh tentang perkara ini tetapi berdasarkan pengalaman saya mungkin kongsi gelap ini digunakan untuk memaksa pengundi. Mereka lebih melihat kepada upah atau ganjaran yang dijanjikan serta pertolongan yang mampu diberikan oleh ahli politik yang terlibat dalam kerajaan.
Mungkin memang benar ada ahli politik yang terlibat tetapi tidak ada sebarang laporan yang mengatakan mereka ini telah diugut oleh kumpulan kongsi gelap. Saya sendiri secara peribadi tidak jelas tentang perkara ini. Mengambil contoh apa yang berlaku membabitkan Beng Hock memang saya berkawan rapat dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju, YB Wee Choo Keong kerana kami terlibat dalam Persatuan Anak-Anak Kelantan.
Namun saya tidak mencampuri urusan politik beliau dan apa yang berlaku itu adalah hak beliau untuk menyatakannya. Tetapi perkara yang dilaporkan beliau adalah sesuatu yang serius dan perlu dilakukan sesuatu. Begitu juga apabila dikatakan kegiatan kongsi gelap dan samseng berleluasa di Sarawak. Saya terkejut hanya kerana ada ahli politik dikatakan terlibat dalam kegiatan kongsi gelap sebegini pihak polis tidak boleh bertindak. Ini sesuatu yang menyedihkan.
Namun saya sangat bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Perdana Menteri tentang penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji soal siasat yang digunakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan yang lebih telus dilakukan bagi mencari punca sebenar kematian Beng Hock. Ini satu perkara yang mampu menarik keyakinan masyarakat terhadap SPRM, polis dan juga kerajaan.
Pada pandangan Datuk apakah cara terbaik untuk mengelak penglibatan antara kongsi gelap dan politik?
Saya berpandangan perlu diwujudkan satu bahagian disiplin yang keras dan tegas bagi menangani perkara ini serta mengenepikan penglibatan mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah dalam bidang politik. Ini sangat mustahak. Sebagai contoh jika ahli didapati terlibat dalam kegiatan kongsi gelap untuk memperoleh jawatan dan pengaruh maka dia ini perlu disingkirkan dari parti dan dihadapkan ke muka keadilan. Kita perlu tegas dalam hal seperti ini.
Orang yang terlibat dalam kongsi gelap ini juga menyeleweng seperti mereka yang menerima rasuah. Jika ada ahli politik yang menggunakan geng kongsi gelap mereka mungkin menerima undi tetap hakikatnya mereka dibenci kerana memaksa orang menerima sesuatu yang bukan pilihannya. Jika semua parti politik menerima cara yang buruk seperti rasuah dan kongsi gelap dalam politik dapat dihapuskan.
Bagaimana caranya pihak polis dan kerajaan mampu menangani kegiatan jenayah serta kongsi gelap ini?
Saya boleh katakan dengan ikhlas sebagai seorang bekas polis bahawa pada masa sekarang ini polis menjadi sasaran masyarakat. Banyak sangat unsur-unsur negatif telah dilemparkan terhadap pihak polis. Pada keadaan sekarang yang dilihat tidak selamat oleh masyarakat akibat jenayah yang semakin berleluasa keadaan ini mungkin dilihat oleh orang ramai untuk menjadikan polis sebagai sasaran.
Tapi jika kita lihat keadaan sebenar makin ramai penduduk yang menjadi ingkar dan liar yang tidak mahu mengikut peraturan dan ia menyukarkan kita hidup dalam keadaan aman dan damai. Undang-undang dibuat bukan untuk perpecahan tetapi ia digubal bagi membolehkan kita hidup aman dan tenteram dan kita tidak boleh bergerak untuk cari makan. Kita lihat satu kelemahan iaitu dalam perkara berkaitan trafik. Berapa ramai di antara kita yang mengikut undang-undang terutama penunggang motosikal dan samseng jalan raya. Bagi saya cara bagaimana untuk menangani masalah yang timbul apabila terdapat mereka yang melanggar undang-undang dan bukan sahaja membabitkan kongsi gelap tidak boleh dilonggokkan kepada pihak polis.
Masyarakat dari semua peringkat perlu sama menggembleng tenaga dalam mengatasi masalah ini.
Saya ambil contoh di mana terdapat ibu bapa yang membawa anak mereka membonceng motosikal tidak memakai topi keledar. Oleh itu bagaimana anak-anak mereka ini mampu menghormati undang-undang jika sejak kecil lagi mereka ini telah didedahkan dengan perkara sebegini. Jika tidak hairanlah apabila mereka ini mampu menghormati undang-undang jika sejak kecil lagi mereka ini telah didedahkan dengan perkara sebegini. Jadi tidak hairanlah apabila mereka dewasa nanti mereka cenderung untuk melakukan sesuatu perkara di luar batasan undang-undang kerana ibu bapa mereka juga melakukan perkara yang sama.
Maka pembabitan masyakarat dalam menangani kegiatan jenayah pada masa turut mematuhi undang-undang perlu dilakukan seiring dan tidak hanya dibebankan kepada polis semata-mata.
Saya sendiri pernah menjadi mangsa kegiatan jenayah apabila kereta saya dipecahkan ketika saya sedang menunaikan solat Jumaat bersama anak saya di kawasan sekitar Damansara dan barang-barang penting seperti komputer riba saya dilarikan perompak berkenaan. Namun saya memuji tindakan yang dilakukan oleh seorang lelaki yang melihat kejadian dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis. Dan hasil maklumat yang diberikan, perompak berkenaan berjaya ditangkap beberapa hari kemudian.
Memang saya lihat masyarakat agak longgar disiplin mereka ditambah pula dengan pelbagai penyakit-penyakit sosial sekarang soal keselamatan agak semakin membahayakan. Tetapi jika dikaji kenapa perkara buruk seperti ini berlaku ia sebenarnya mendedahkan kesilapan yang dilakukan oleh keluarga mereka sendiri. Pengabaian pendidikan mahupun kasih sayang oleh ibu bapa kepada anak-anak merupakan antara faktor utama kenapa kegiatan jenayah sebegini semakin berleluasa.
Saya sangat menekankan kepentingan anak-anak didedahkan kepada aktiviti berkumpulan seperti pengakap mampu mendidik para remaja tentang semangat kerjasama dan berpasukan dan ia sangat sesuai dipratikkan di negara yang berbilang agama dan bangsa di negara ini.
Bagaimanapun semua pihak perlu sedar mereka perlu bekerjasama dengan polis dan melakukan perkara seperti memberi maklumat kepada polis sangat membantu dalam menyelesaikan jenayah sekali gus memastikan keadaan kembali aman dan selamat.
Sumber : Mingguan Malaysia, 26 Julai 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan