MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

9 Jul 2009

Anwar mohon pasukan pendakwaan dilucut

KUALA LUMPUR 8 Julai - Walaupun dua permohonannya masih belum didengar oleh Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan satu lagi permohonan berhubung kes liwat bekas pembantu yang dihadapinya.

Permohonan terbaru Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah untuk mendapatkan perintah agar pasukan pendakwaan mengecualikan diri mereka daripada terlibat dan mengendalikan pendakwaan kes tersebut.

Beliau mengemukakan permohonan itu dengan alasan antara lain pasukan pendakwaan tersebut mendapat arahan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pertuduhan terhadapnya dibuat dengan niat jahat (mala fide).

Anwar juga menyifatkan pertuduhan tersebut merupakan kesinambungan daripada kes yang dihadapinya pada tahun 1998.

Seorang daripada peguam yang mewakilinya, Sankaran Nair memberitahu, notis usul bagi permohonan tersebut akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah di sini selewat-lewatnya Jumaat ini.

Beliau berkata, surat tuntutan berhubung permohonan itu telah disampaikan kepada barisan pendakwa raya pada Jumaat lalu dan setakat ini tiada maklum balas diterima.

''Notis usul itu akan difailkan sebaik sahaja berakhir tempoh 48 jam yang diberikan kepada pihak pendakwaan untuk menyampaikan maklum balas,'' katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kes Anwar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar, 62, mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Dalam surat tuntutan kepada pihak pendakwaan, Anwar turut memberi alasan bahawa Abdul Gani terlibat dalam insiden 'mata lebam' yang dialaminya pada tahun 1998 dan perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis pada tahun lalu.

Dakwanya, walaupun Peguam Cara Negara I, Datuk Idrus Harun dan Peguam Cara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden mengetahui penglibatan Abdul Gani dalam insiden itu, mereka masih menggunakan tandatangan Peguam Negara untuk sijil pemindahan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Selain itu, dakwanya, tindak tanduk pendakwaan termasuk keengganan membekalkan segala dokumen berkaitan menunjukkan beliau tidak akan memperoleh perbicaraan yang adil sekiranya kes itu dikendalikan oleh pasukan pendakwaan tersebut.

Pada 10 Jun lalu, Anwar memohon agar dibekalkan dengan segala dokumen dan barangan berkaitan kes liwat yang dihadapinya kini sebelum perbicaraan penuh bermula.

Antara dokumen dan barangan yang dipohon ialah kandungan penuh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksi-saksi termasuk Mohd. Saiful Bukhari sebagai pengadu.

Bagi permohonan kedua yang difailkan pada 17 Jun lalu, Anwar memohon pertuduhan liwat terhadapnya dibatalkan kerana mendakwa keseluruhan tuduhan itu adalah satu persendaan, tidak masuk akal dan tidak mempunyai asas sama sekali.

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan permohonan Anwar agar dibekalkan dokumen terbabit didengar pada 15 Julai ini. Tarikh yang sama juga ditetapkan untuk sebutan permohonannya bagi membatalkan pertuduhan tersebut.

sumber - Utusan Malaysia


Tiada ulasan: