Oleh Sinar Harian
PETALING JAYA – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyokong penuh saranan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali agar kerajaan negeri merombak semula barisan Exco yang gagal memainkan peranan.
Setiausahanya, Mahharul Ismail berkata, AMK amat bersetuju agar mana-mana Exco yang tidak menjalankan tugas dengan berkesan digantikan dengan individu yang benar-benar layak.
Katanya, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menimbang cadangan ADUN Bukit Antarabangsa itu agar kerajaan negeri dapat membentuk pentadbiran lebih efisien.
“Kita menyokong saranan yang dibuat Azmin agar kerajaan negeri merombak semula Exco yang tidak menunjukkan prestasi terutamanya dalam menangani isu pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini kerana ada Exco yang melanggar keputusan yang telah dibuat pucuk kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam soal pemilihan ahli majlis.
“Oleh itu, AMK mendesak agar Exco yang sering menimbulkan masalah digugurkan supaya kerajaan negeri dilihat telus dan berwibawa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Azmin dalam laporan Sinar Harian bertarikh 10 Julai berkata, saranan tersebut dibuat adalah berdasarkan aduan daripada orang ramai bukannya daripada pihak tertentu.
Katanya, individu yang layak dilantik menjadi Exco seharusnya mewakili rakyat yang dapat membela nasib semua kaum di negeri ini bukannya individu yang mewakili sesebuah parti atau kaum tertentu.
Sementara itu, cadangan ADUN Bukit Antarabangsa itu mendapat maklum balas positif Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Khalid menyifatkan cadangan Azmin itu sebagai teguran membina agar Exco dapat memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.
Namun, Pengerusi DAP Negeri, Ean Yong Hiah Wah kesal dan terkejut dengan cadangan itu, manakala Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, cadangan itu tidak munasabah dan tidak akan menyelesaikan masalah.
sumber - sinar harian, 13 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan