SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan tidak akan ada campur tangan pihak lain terutama orang politik pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Beliau berkata, tiada sebab untuk pihak lain terlibat dalam kes itu dan setiap keputusan adalah datang dari badan kehakiman di negara ini.
“Setiap keputusan adalah adil dan kita tidak harus menyalahkan institusi kehakiman jika keputusan tidak memihak pada apa yang kita inginkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka hadapan Sinar Harian pada Sabtu berhubung kebimbangan Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai terhadap campur tangan pihak lain terhadap institusi kehakiman di negara ini khususnya berhubung kes perbicaraan bapanya bermula pada 1 hingga 24 Julai ini.
Mohamed Nazri berkata, Nurul Izzah tidak sepatutnya berasa bimbang dan takut kerana kes perbicaraan bapanya itu masih belum dijalankan lagi.
“Kenapa perlu bimbang? Bimbang kerana takut kalah ke? Bukankah dia kata, pihaknya sudah ada bukti yang kukuh...jadi, kenapa masih lagi bimbang?
“Kita tunggu sajalah perbicaraan bapanya itu nanti. Kita serahkan pada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan kenyataan Nurul Izzah telah memberikan gambaran buruk terhadap badan kehakiman negara.
“Jangan tanam persepsi prejudis terhadap badan kehakiman negara masuk dalam pemikiran rakyat sebelum perbicaraan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bermula pada 1 Julai.
“Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana perbicaraan masih belum, jangan bertindak terburu-buru,” katanya.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan