PUTRAJAYA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya tidak boleh digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri atas dakwaan menghina kerana kesalahan itu tidak diperuntukan di bawah perlembagaan negeri, demkian diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan di sini.
Hakim Datuk Seri S. Augustine Paul, dalam penghakiman bertulis, berkata Parkara 44 Perlembagaan Negeri Perak dibaca bersama Perintah Tetap Enakmen Dewan Undangan Negeri (Hak Istimewa) 1959 tidak memperuntukan kesalahan menghina dan hukuman penggantungan daripada menghadiri sidang DUN.
Oleh itu, perintah penggantungan selama 18 bulan bagi Zambry dan 12 bulan bagi ahli exco itu dibuat oleh Speaker V. Sivakumar adalah tidak sah dan batal kerana Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, katanya.
"Kuasa menangani isu menghina, yang tidak diperuntukan dalam Perintah Tetap DUN, bukan sesuatu yang Speaker boleh mengambil maklum kerana ia memerlukan satu undang-undang berkaitan dengan itu," kata Augustine dalam penghakiman 64 muka surat bertarikh 3 Jun dan diperoleh hari ini.
"Perlu ada pihak berkuasa undang-undang yang khusus untuk mengetahui dan memberi hukuman bagi kesalahan menghina. Ini khususnya ketara di mana dakwaan menghina dilakukan di luar persidangan DUN," katanya.
Pada 16 April lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perintah penggantungan terhadap Zambry dan enam anggota exco Zainol Fadzi Paharuddin, Datuk Ramly Zahari, Hamidah Osman, Datuk Saarani Mohamad, Mohd Zahir Abdul Khalid dan Dr Mah Hang Soon oleh Sivakumar adalah melampaui perlembagaan negeri dan oleh itu tidak sah dan batal.
Pada 2 Mac lepas, Zambry dan anggota exco berkenaan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi membatalkan keputusan Speaker DUN menggantung dan melarang mereka menghadiri sidang Dewan kerana tindakan itu bertentangan dengan undang-undang.
Mereka juga memohon satu pengisytiharan bahawa mereka berhak mengambil bahagian dalam sidang Dewan dan menjalankan fungsi serta kewajipan masing-masing.
Pada 18 Februari lepas, Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam exco berkenaan kerana didakwa melantik seorang ahli exco bertentangan dengan undang-undang dan tindakan menghina itu telah memalukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar Perak.
Mereka turut didakwa menghalang barisan exco Mohamad Nizar daripada menjalankan tugas di bawah Perlembagaan Negeri Perak.
Dalam penghakiman itu, Augustine berkata: "Penggantungan terhadap pemohon dilakukan berdasarkan Perintah Tetap 72 DUN. Tuduhan terhadap mereka menyatakan tindakan mereka itu diibaratkan sebagai menghina.
"Oleh kerana penghinaan tidak dinyatakan secara khusus, tindakan itu tidak boleh diletakkan di bawah bidang Perintah Tetap 72.
"Perintah Tetap 72 memberi kuasa kepada Jawatankuasa Hak Istimewa mengambil maklum sebarang perkara yang nampak menjejaskan kuasa dan hak istimewa dewan itu," kata Augustine.
Zambry dan enam anggota exco itu diwakili oleh peguam utama Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin manakala Sulaiman Abdullah bertindak bagi Sivakumar.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan