SHAH ALAM – Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah bimbang campur tangan pihak lain terhadap institusi kehakiman di negara ini walaupun peguam bela mempunyai bukti kukuh mengatakan ayahnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah.
Anak Ketua Pembangkang itu tidak menafikan bahawa seluruh keluarganya bimbang dan gusar menunggu hari perbicaraan yang bermula 1 Julai ini kerana merasakan kes berkenaan tidak akan berpihak kepada Anwar.
“Bagaimana hebat pun kita sediakan pembelaan tapi akhirnya kalau kita berdepan dengan satu sistem kehakiman yang berhadapan dengan kepincangan, maka ada risiko tetap berada di situ,” katanya dalam nada kecewa.
Beliau berkata demikian pada sesi lawatan dan dialog di Kumpulan karangkraf semalam yang turut dihadiri Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amiruddin Shaari dan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, semalam.
Melahirkan keyakinan bahawa Anwar tidak bersalah seratus peratus, Nurul Izzah berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu akan menang dalam kes berkenaan sekiranya tidak ada campur tangan pihak lain terutama orang politik.:
“Peguam bela mempunyai bukti kukuh bahawa ayah tidak bersalah tetapi pendakwa mengatakan bahawa mereka mempunyai bukti yang sebaliknya walaupun itu hanya retorik semata-mata.
“Sebab itu kami sekeluarga menyokong kuat ayah kerana kami sendiri berhadapan dengan bukti-bukti dan saksi yang kuat. Kami sendiri mengetahui kebenarannya dan kami juga mengetahui tentang Saiful Bahri,” katanya.
Beliau berkata, menjadi lumrah berpolitik sebagai pembangkang di negara ini berhadapan pelbagai cabaran apatah lagi sebagai ketua pembangkang seperti ayahnya.
“Saya fikir ayah saya bukan keseorangan dalam cabaran tersebut dan selebihnya kita tawakal tapi tak bermaksud kita berdiam diri, kita akan terus melawan,” katanya.
Anwar, 61, menghadapi pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan perbicaraan kes liwat tersebut dijalankan mulai 1 hingga 24 Julai in:i.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan