NILAI: Ketika ramai masih menentang idea ini, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan membenarkan bekas ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke tanah air.
Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata, Chin Peng seharusnya dibenarkan menghabiskan hari-hari akhirnya atas dasar peri kemanusiaan, malah Malaysia juga sudah menjalin hubungan baik dengan China.
"Dia (Chin Peng) umur pun dah dewasa. Dia nak balik ke kampung halaman dia, kita dah benarkan dulu," katanya.
Oleh kerana Malaysia turut menjalin hubungan baik dengan China, katanya, adalah tidak wajar Chin Peng dihalang daripada kembali ke tanah air.
“Nampaknya kita sudah memaafkan mereka semua, mengapa tidak memaafkan seorang ini atas apa yang dia telah lakukan," kata beliau pada sidang media Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapan khas beliau pada kongres itu, Anwar juga melahirkan pendirian serupa.
“Bagaimanapun ini tidak bermakna kita bersetuju dengan semua kesalahan yang dia lakukan," kata Anwar sambil menambah, beliau pernah mengecam komunis ketika zaman mudanya dulu.
"Sejarah kita kena lihat secara objektif dan kita ambil sikap peri kemanusiaan. Yang sudah sudahlah, kita kerja," katanya lagi.
Anwar berkata, sewaktu beliau berada dalam kerajaan, beliau dan beberapa pemimpin Umno dan Barisan Nasional pernah berkunjung ke China dan pemimpin-pemimpin Parti Komunis China secara terang-terang menyokong PKM.
Idea agar Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia dilontarkan oleh Gerakan tetapi ia mendapat tentangan pelbagai pihak. Malah kerajaan juga menegaskan ia tiada hasrat untuk membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Pakatan Rakyat mengulangi kesediaan untuk jalin kerjasama dengan Umno-BN berhubung isu-isu nasional termasuk krisis politik Perak tetapi idea PAS tentang kerajaan perpaduan tidak timbul sama sekali.
Anwar berkata, Pakatan Rakyat bersedia untuk menemui Umno-BN dengan syarat sistem keadilan dan pilihan raya negara diperbaiki.
"Kita bersedia untuk menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak (Perdana Menteri dan Pengerusi BN) untuk menyelesaikan isu Perak tetapi ia mesti melalui pilihan raya.
"Kita sedia berbincang dan mendengar pandangan mereka, pandangan Umno dan mereka mendengar pandangan kita," kata beliau.
PKR berhimpun di sini hari ini untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.
Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Kerajaan perpaduan menjadi isu baru semula selepas ia dibangkitkan oleh Hadi pada Muktamar Tahunan PAS Ke-55 Jumaat lalu.
"Tidak timbul soal kerajaan perpaduan. Kita sedia berbincang dengan syarat tiada kezaliman, (baiki) sistem keadilan dan kekalkan pilihan raya yang bebas dan adil," kata Anwar lagi.
Pakatan dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan