PAS harus berhati-hati terhadap usaha "musuh dalam selimut", termasuk yang ditaja oleh Umno atau negara asing, dalam kalangan pemimpin yang bakal menguasai pucuk pimpinan parti - demikian amaran timbalan mursyidul amnya.
Datuk Dr Haron Din berkata musuh-musuh parti berpeluang menaikkan pemimpin tertentu melalui liputan meluas di media seperti yang terjadi menjelang muktamarnya, awal bulan depan.
"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti (organ rasmi) Harakah dan (mingguan politik) Siasah atau media-media lain.
"Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti," katanya di seminar sehari kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah PAS di Gombak hari ini.
"(Keahlian terbuka PAS) ini akan membuka peluang besar kepada Umno dan musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.
"Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika Syarikat di dalam organisasi Islam di peringkat dunia."
Dr Haron, yang menarik diri baru-baru ini daripada persaingan merebut kerusi timbalan presiden PAS, menggesa parti itu menyediakan garis panduan yang lebih ketat dalam pelantikan barisan pemimpin kanannya.
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas ucapan dan saranan Dr Haron ini ketika dihubungi selepas program tersebut petang ini.
Program ini khas untuk PAS dan wartawan tidak dibenarkan menghadirinya tetapi beberapa kerat kenyataan tersebut - difahamkan daripada teks ucapan 10 halaman - didedahkan kepada media oleh peserta.
Seminar hari ini - dibuat bersempena sambutan 25 tahun kepemimpinan ulama yang jatuhnya pada 2007 - menimbulkan kontroversi dalam PAS apabila dibuat menjelang muktamar dan pemilihan parti antara 5 hingga 7 Jun di Shah Alam.
Sesetengah pihak dalam parti itu mendakwa seminar anjuran Dewan Ulama ini yang diwajibkan kepada pemimpin PAS kawasan, wakil rakyat dan ahli jawatankuasa pusat parti hanya didominasi pembentang kertas kerja dan pengulas daripada aliran pro-muqabalah.
Beberapa peserta yang dihubungi berkata sesetengah pemimpin PAS yang hadir tidak senang dengan kenyataan tokoh ulama itu yang disifatkan mengkritik aliran pro-Pakatan Rakyat atau dikenali juga "kumpulan Erdogan."
Pembentang-pembentang lain termasuk bakal ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib - yang dikatakan pro-muqabalah - tidak mengambil peluang menghentam pihak lain.
Sementara beberapa peserta lain enggan mengulas kenyataan kontroversi tersebut - dipercayai bagi menjaga imej parti di mata umum.
Malaysiakini cuba mendapatkan reaksi lanjut Dr Haron berhubung perkara tersebut.
sumber - malaysiakini
1 ulasan:
Inilah mentaliti orang Pas, sikit2 nak salahkan UMNO. Musuh kamu yang sebenarnya tu bukankah anwar bin ibrahim (B.A.B.I). Masih tak sedar diri lagi tuh diperalatkan sebegitu rupa oleh B.A.B.I ni. Kalau nak hapus musuh tu, hapus musuh kamu dari dalam dulu. Jangan nak tuding jari kat sapa2. Inikah sikap ulamak2 Pas. Maaflah kalau kritikan ini melampau, tapi ingatlah, sikap sebeginilah yang membuatkan orang mula hilang respek kat ulamak.
Catat Ulasan