BUKIT MERTAJAM, 23 Mei - Calon bebas Aminah Abdullah berkata beliau akan mendedahkan bukti bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba menawarkan ganjaran kepadanya supaya menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, 31 Mei ini.
Aminah, 57, tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu.
"Saya akan bongkar dengan memberi bukti yang PKR ada menawarkan rasuah terhadap saya selepas saya mengumumkan untuk bertanding pada pilihan raya ini," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.
Aminah yang akan menggunakan simbol kunci pada pilihan raya kecil ini berkata baginya simbol itu adalah sesuatu yang simbolik kerana ia melambangkan kunci kepada pendedahan kepincangan pakatan pembangkang.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang turut menafikan beliau ditaja oleh Umno untuk bertanding.
Seorang lagi calon bebas, Kamarul Ramizu Idris, 42, berkata beliau menyasarkan memperoleh kira-kira 6,200 undi pada pilihan raya kecil itu.
"Pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang sebelum ini saya dihimpit dua calon hebat dan kali ini saya harap dapat mencapai angka ribu (undi)," katanya yang menggunakan simbol payung.
Katanya beliau akan mula berkempen hari ini dari rumah ke rumah dan mengadakan sesi dialog dengan orang ramai.
"Saya dalam proses menubuhkan Parti Iman SeMalaysia dalam tempoh terdekat," katanya.
Seorang lagi calon, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41, berkata keputusan beliau bertanding adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan terlibat dengan mana-mana kempen berbentuk debat kerana ia membawa kepada situasi politik kurang sihat.
"Fokus kempen kita adalah dari rumah ke rumah sebagai cara saya mendekati rakyat," katanya yang menggunakan simbol wau bulan.
Sementara itu, calon PKR Mansor Othman, 59, berkata beliau yakin memang pilihan raya kecil itu.
"Kita punya jentera pilihan raya dengan bantuan DAP dan PAS akan membantu dan kita yakin mampu menang pilihan raya ini," katanya.
Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohammad Fairus Khairuddin.
sumber - bernama
1 ulasan:
Yezza Puan Aminah, dedah jangan tak dedah. Bukak semua 'kunci' kepincangan anwar & konco-konconya.
Catat Ulasan