Oleh G. MANIMARAN
POH: Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bertegas akan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak seperti biasa mulai hari ini manakala Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin yang kembali ke jawatan itu selepas 96 hari 'berehat' mengosongkan pejabatnya petang ini.
Nizar dan barisan Exconya seramai tujuh keluar dari bangunan SUK pukul 2.30 petang sebagai tanda menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi.
"Kami telah mengambil keputusan untuk keluar pukul 2.30 petang tadi dan kami hormati keputusan Mahkamah Rayuan walaupun belum lagi melihat kandungan keputusan lagi.
"Kami tidak mahu nanti ada pihak keluarkan notis minta kami kosongkan pejabat dan tinggalkan bangunan SUK," kata beliau pada sidang media pukul 3.30 petang tadi di Wisma DAP di sini.
Wisma DAP terletak kira-kira 30 meter dari bangunan SUK yang menempatkan DUN Perak, pejabat Menteri Besar dan Exco.
Nizar diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar yang sah.
Selaku Menteri Besar beliau telah mempengerusikan mesyuarat Exco malam tadi yang memutuskan untuk menggantung tugas Penasihat Undang-undang dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Malah pagi tadi beliau mengemukakan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Raja Nazrin Sultan Azlan Shah selain menghadiri majlis istiadat kurnia pangkat selaku Menteri Besar.
Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Exconya pagi esok. Tetapi ia telah dibatalkan petang ini.
Kata Nizar, perkembangan semasa telah menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan ataupun penyelesaian.
Justeru katanya, platform mahkamah bukan penentu penyelesaian krisis politik semasam
"Mahkamah bukan remedi, kita kena kembali kepada rakyatm itu sebab kami pohon DUN dibubarkan," katanya.
Pakatan berpegang bahawa sidang bawah DUN 3 Mac adalah sah termasuk usul meminta dibubarkan dewan.
Pukul 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan yang membolehkan Zambry kekal sebagai Menteri Besar sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Ramly juga berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.
Kata Ramly, beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.
Dalam pada itu, Zambry ketika ditemui di sini pukul 2 petang tadi berkata, "saya berharap ia (keputusan Mahkamah Rayuan) akan dihormati sebagaimana saya hormati keputusan mahkamah semalam."
Kata Zambry, pihaknya akan kembali untuk menjalankan tugas di bangunan SUK seperti sebelum ini.
"Bila-bila boleh, saya tak seperti mereka (Pakatan). Saya akan maklumkan anda," katanya.
Difahamkan beliau akan berbuat demikian pagi esok.
Sehingga petang ini bangunan SUK masih dikawal oleh anggota FRU.
Tambah beliau, dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini segala keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh mesyuarat Exco Nizar adalah tidak sah.
Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan akan kembali ke pejabatnya bila-bila masa.
Semalam Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar sah.
Pagi tadi, Zambry memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah semalam.
Barisan Nasional (BN) mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 pada 5 Februari lalu.
sumber: mStar Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan