JAKARTA: Pilihan raya presiden 8 Julai ini pasti menjadi tumpuan selepas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengisytiharkan bertanding semula jawatan dalam satu upacara di Dewan Konvensyen Sabuga di Bandung, kelmarin, sambil mengumumkan bekas gabenor Bank Indonesia Boediono sebagai calon gandingannya. Kedua-duanya akan bertanding atas tiket Parti Demokrat dengan sokongan 21 parti kecil.
Sejurus sebelum tengah malam kelmarin, pengerusi Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Sukarnoputri mengisytiharkan bertanding sebagai presiden bersama calon gandingannya Prabowo Subianto dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).
Naib Presiden Indonesia ketika ini, Jusuf Kalla dari Parti Golkar mengisytiharkan pencalonannya minggu lalu dan bergandingan dengan bekas pemimpin tentera, Wiranto. Ia adalah cubaan ketiga untuk Megawati dan Susilo merebut jawatan presiden dan kali kedua bagi Jusuf dan Wiranto sementara Boediono dan Prabowo kali pertama dalam perlumbaan jawatan nombor dua.
Tiga pasangan itu mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) semalam, tarikh akhir rasmi mencalonkan diri.
sumber: Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan