IPOH: Selepas tertangguh dari pagi, Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah, menyempurnakan perasmian pembukaan mesyuarat pertama persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada jam 3.15 petang.
Raja Dr Nazrin Shah berangkat tiba kira-kira jam 9.20 pagi di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, tetapi terpaksa menunggu di Kamar Diraja berikutan kekecohan di Dewan membabitkan Yang Dipertua Dewan, V Sivakumar.
Baginda mula menyampaikan titah ucapan perasmian kira-kira jam 3.30 petang dan selesai berucap pada jam 3.50 petang sebelum berangkat pulang.
Sebelum itu, Sivakumar sudah dibawa keluar oleh beberapa orang yang masuk ke dalam Dewan, sebelum bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungkai, Datuk R Ganesan yang ‘dilantik’ kumpulan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan tiga wakil Bebas pagi tadi, diiring untuk mengambil tempat sebagai Speaker.
Apabila Raja Dr Nazrin Shah berangkat masuk kemudiannya, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin, serta semua ahli dewan daripada pembangkang berdiri di bahagian tengah Dewan sambil menghadap baginda.
Nizar (Pas-Pasir Panjang) kemudian kedengaran menyatakan sesuatu kepada Raja Dr Nazrin Shah, dan Pemangku Raja Perak menitahkan supaya Nizar dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Setiawan) supaya menghampiri baginda.
Kedua-duanya naik ke pentas diraja sebelum Raja Dr Nazrin Shah dilihat berbicara sesuatu kepada mereka.
Nizar dan Ngeh kemudian turun dan meminta semua ahli Dewan daripada pembangkang mengambil tempat masing-masing bagi membolehkan istiadat perasmian berlangsung.
Dalam titah ucapan baginda, Raja Dr Nazrin Shah, menyentuh soal ekonomi, hal pentadbiran dan pembangunan negeri.
Selepas selesai bertitah, bacaan doa disempurnakan oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria.
Sebelum meninggalkan dewan, Raja Dr Nazrin Shah berkenan berbual mesra dan bersalaman dengan semua ahli Dewan itu, sebelum berangkat pulang.
Persidangan Dewan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Kekecohan berlaku di dalam Dewan pagi tadi, apabila Sivakumar enggan memulakan persidangan sebelum Zambry serta sembilan ahli Dewan lain meninggalkan Dewan.
Zambry kemudian membuat usul supaya Sivakumar dipecat dan kemudian mengusulkan pelantikan Ganesan sebagai Speaker.
Sivakumar tetap berdegil tidak mahu beredar dari kerusi Yang Dipertua Dewan sehingga Dewan ditangguhkan tengah hari tadi.
sumber: Berita Harian
1 ulasan:
Pihak istana begitu profesional, malangnya kalangan rakyat pula seperti tidak bertamadun.
Catat Ulasan