Oleh Faisal Tehrani
1. Adalah tidak dapat dipastikan sejauh manakah kesungguhan segelintir pimpinan PAS Pulau Pinang untuk meletakkan calon bertanding di Penanti.
2. Dalam Muktamar Dewan Pemuda Pulau Pinang, kira-kira seratus perwakilan memutuskan sebulat suara agar PAS meletakkan calon dalam pilihanraya kecil tersebut. Sumber juga menyatakan 'perhubungan (PAS) negeri turut berpandangan yang sama'.
3. Timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata (lihat sini): "Kenapa saya atau pemimpin PAS mesti menurut kehendak pemimpin PKR tertentu? Kita tidak bertanggungjawab kepada mereka. Tuduhan seperti itu tidak berasas sama sekali. Penyebar khabar angin ini sepatutnya meneliti prinsip-prinsip yang didukung oleh PAS".
4. PAS telah lama menjadi juara amar makruf nahi mungkar di negara ini. Atas prinsip tersebut adalah wajar PAS bertanding di Penanti. Parti yang menyandang kerusi Penanti sekarang ini gagal berperanan menjadi juara amar makruf nahi mungkar di situ.
5. Alasan PAS untuk melarang ahlinya bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti demi menjaga semangat setiakawan tidak dapat diterima. Setiakawan haruslah dua hala. Jika ia satu hala, maka tidak ada sebab lagi untuk mempertahankannya.
6. Sekiranya pimpinan PAS pusat mengabaikan desakan ahli-ahlinya (dalam hal ini Pulau Pinang) pergolakan lebih hebat akan berlaku. 'Orang itu' telah lama berlagak sebagai 'orang besar'. Jika PAS kekal mengalah, PAS akan terlihat seperti 'orang bodoh'.
7. Selama ini pun PAS telah banyak berkorban. Kerusi tradisi PAS ada yang terpaksa diserahkan kepada parti lain. 'Pekerja PAS' lebih ramai dari parti lain dalam Pakatan Rakyat. Mereka bersungguh-sungguh bekerja, tetapi hasilnya dituai orang lain.
8. Sekiranya pimpinan PAS tidak mendengar hasrat, dan 'pemberontakan senyap' ahli, keadaan lebih parah akan berlaku.
9. Saya berpandangan seandainya PAS tidak dapat lagi berperanan untuk menegakkan makruf dan mencegah mungkar ekoran persekongkolan ini maka adalah wajar PAS meninggalkan setiakawan yang tidak berfaedah untuk agama ini.
10. Modal PAS adalah moral dan etika, jika modal itu semakin terhakis maka PAS akan terlihat serupa sahaja seperti parti-parti lain. Sebelum keadaan memburuk selepas julai ini, adalah wajar PAS mengambil kesempatan ini untuk merubah keadaan.
11. DAP Pulau Pinang mungkin lebih mengalu-alukan penyertaan PAS dalam pilihanraya kecil tersebut. Ini kerana PAS jauh lebih wajar dipercayai, jauh lebih baik dan jauh lebih berpengalaman dari sebarang parti kerepek rakyat.
sumber - faisal tehrani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan