Email mohd_fadli
Seakan ada caturan dilakukan untuk memperlekehkan kelompok ulama didalam PAS itulah realiti yang dapat dilihat, siapa jangka golongan yang suatu ketika dahulu bangkit untuk menyelamatkan PAS dan memberi imej baru kepada parti kini cuba disingkirkan oleh kelompok yang baru merasai pengalaman berada didalam jamaah.
Kepimpinan Ulama wujud didalam parti apabila krisis melanda PAS sewaktu dibawah kepimpinan Dato Asri. Sewaktu itu timbul polemik adakah benar PAS parti yang memperjuangkan Islam dan dimana tanda arasnya.
Pada masa yang sama telah berlaku revolusi di Iran, kelompok pemuda dalam parti melihat kejayaan umat islam di Iran pada masa itu dikaitkan dengan wujudnya kepimpinan ulama disana yang terhasil kerana berkat perjuangan ulama. Dari situ ia telah membangkitkan momentum dikalangan pemuda untuk meneraju konsep kepimpinan ini didalam parti.
Hasilnya tahun 1982 ulamak telah diangkat sebagai pimpinan parti dan semenjak itu hingga kini saban tahun jawatan Presiden dan Timbalan adalah gandingan ulama bermula dengan gandingan Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Fadhil, dan kini gandingan Haji Hadi Awang dan Ustaz Nasharudin. Cuma akhir-akhir ini ada usaha-usaha yang diambil oleh kelompok baru yang cuba mengangkat kelompok bukan ulama sebagai calon Timbalan Presiden.
Pemuda PAS pengkalan Chepa yang dipimpin oleh Ustaz Nik Abduh dalam lamannya cuba menjelaskan kenapa kepimpinan ulama harus dipilih untuk menerajui parti. Antara sebabnya ialah ingin mengekalkan semangat kepimpinan ulama.
Tambahnya lagi PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi merupakan gerakan Islam. Oleh itu kemampuan pemimpin tertingginya membawa Pas menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam.
Penjelasan Ini membawa persoalan adakah Husam Musa layak menerajui kepimpinan parti, ditambah dengan hubungan akrabnya dengan Anwar Ibrahim, adakah beliau mampu membawa parti seperti yang ditetapkan dalam fasal 5 perlembagaan.
Jika benar wujud masalah kepada Timbalan Presiden sedia ada, itu merupakan masalah individu seperti yang dihadapi oleh kebanyakkan ahli PKR sekarang, kenapa harus didendangkan yang ulama didalam PAS ada yang gila jawatan dan oportunis seperti kenyataan dari YDP Kelana Jaya Izham Hashim.
Antara ulamak dan Husam Musa siapa yang lebih oportunis,? Semenjak PAS berkerjasama dengan parti luar untuk menentang UMNO adakah pernah Presiden PAS ingin dicalonkan sebagai Perdana Menteri, contohnya sewaktu bekerjasama dengan Semangat 46, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) mendendangkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri jika APU memenangi pilihanraya pada tahun 1990. Begitu juga saat Pas bekerjsama dengan Parti Keadilan walaupun mengetahui Anwar berada di dalam penjara saat pilihanraya tahun 1999 Anwar tetap disanjung sebagai calon Perdana Menteri oleh juak PKR. Hasilnya PAS yang lebih banyak memenangi kerusi berbanding Keadilan dan PAS bertindak menjadi ketua Pembangkang.
Ini amat berbeza dengan Husam Musa yang beria-ia ke Dubai sewaktu ketika selepas pilihanraya 2008,dan mengadakan pertemuan sulit dengan Anwar Ibrahim dan dijanjikan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menguasai kerajaan. ini membuktikan bukan golongan Ulamak yang gila jawatan .
Timbul persoalan adakah wazir yang telah menguasai tingkat 1 pejabat Menteri Besar juga terdiri dari kumpulan Husam ? kerana kita mengetahui siapa Anuar Bakri Harun dan hubungannya dengan Husam Musa.
Adalah tidak manis sebuah gerakan islam terpalit dengan perkara demikian dan sangup memburukkan imej ulamak hanya disebabkan inginkan kuasa.
Jika benar kelompok kumpulan bukan ulamak ini ingin berjuang ikhlas di dalam parti kenapa harus cuba meruntuhkan mahligai yang sudah sedia cantik. Kalau inginkan mahligai itu lebih cantik perbaikilah cacat cela yang ada jangan sampai terpaksa didirikan kembali mahligai tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan