SHAH ALAM - Pas perlu bertindak serius bagi memastikan pemimpin dan ahli kekal di landasan perjuangan sebenar tanpa terpengaruh dengan usaha memecahbelahkan perpaduan parti itu, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Sallehen Mukhyi.
Menurutnya,sesiapa sahaja yang berada dalam saf kepimpinan parti itu seharusnya bersikap ikhlas dan tidak terlalu mengejar agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan parti.
"Pas perlu serius dan tidak membiarkan elemen melaga-lagakan antara pemimpin parti berterusan sebaliknya kembali kepada asas parti yang mementingkan kesatuan amal, fikrah dan tindakan.
"Mana-mana pihak yang berusaha ke arah itu dinasihatkan lebih baik menghentikannya dan kembali kepada landasan politik sebenar," katanya.
Sallehen berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sinar Harian semalam berhubung pendedahan anak Mursyidul Am, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang mendakwa wujud konspirasi didalangi 'pembantu-pembantu' yang melaga-lagakan hubungan bapanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sallehen berkata, pendedahan Nik Abduh itu wajar diberi perhatian serius dan tidak disalah anggap ahli parti.
"Beliau adalah orang yang paling rapat dengan Mursyidul Am dan saya melihat apa yang didedahkan itu sebagai sesuatu yang jujur dan ikhlas selepas merasakan barangkali ada sesuatu yang tidak kena dalam kalangan orang sekeliling bapanya itu.
"Apa yang didedahkan itu juga sekurang-kurangnya meredakan keresahan saya dan mungkin ahli parti lain yang keliru serta beranggapan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena sehingga kerap berlaku kenyataan kontradik melibatkan kedua-dua pemimpin ini," katanya.
Sallehen berkata, segala kemelut tidak harus berpanjangan dan pemimpin Pas sepatutnya dikelilingi individu yang ikhlas dan setia kepada agenda parti.
"Pas kekal mendukung kepimpinan ulama tetapi dalam masa sama mengalu-alukan penyertaan golongan profesional demi memantapkan parti," katanya.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan