Perang mulut antara DAP dan PKR berhubung peletakan jawatan Mohammd Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti berterusan hari ini apabila seorang pemimpin DAP tampil mempertahankan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Ketua Penerangan DAP, Tony Pua (kiri) berkata, Lim - yang juga setiausaha agung DAP - tidak seharusnya dikecam kerana menyatakan rasa tidak puashatinya berhubung cara PKR mengendalikan isu peletakan jawatan Fairus sebagai wakil rakyat.
Pua berkata, Lim mempunyai hak untuk menyuarakan pandangannya berhubung kegagalan kepimpinan PKR memaklumkan kepadanya peletakan jawatan Fairus sebagai ADUN Penanti pada 16 April.
Katanya, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali tidak sewajarnya meminta Lim 'tutup mulut' berhubung rasa tidak puashatinya mengenai situasi berkaitan dengan peletakan jawatan Fairus.
Semalam, Syed Husin meminta Lim supaya tidak memanjangkan lagi perbincangan melalui media mengenai tindakan Fairus meletak jawatan ADUN kawasan Penanti.
Sebaliknya, Syed Husin meminta semua parti, pemimpin dan ahli dalam Pakatan supaya bersatu untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihanraya kecil Penanti jika diadakan.
Mengulas lanjut, Pua berkata, arahan Syed Husin sepatutnya ditujukan kepada ketua perhubungan PKR Pulau Pinang, yang juga ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim.
Beliau menyifatkan kecaman Zahrain terhadap Lim sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan bermotifkan politik untuk "menutup kelemahan kepimpinannya yang menimbulkan banyak masalah dalam PKR Pulau Pinang".
Pua pula merasa pelik apabila Syed Husin membuat teguran itu melalui kenyataan akhbar sedangkan beliau sendiri tidak mahu Lim memanjangkan perkara itu melalui media.
Malah, katanya, penjelasan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Lim adalah berbeza sama sekali daripada apa yang dinyatakan oleh Syed Husin.
sumber - malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan