Salah satu inti penting ucapan dasar terakhir Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bertemakan "Masa Depan dan Survival Parti", menekankan program-program politik UMNO yang kurang berkesan dalam mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.
Dalam masa yang sama perwakilan UMNO berhiruk pikuk menyalahkan petualang yang didakwa merosakkan agama, bangsa dan negara.
Saya ingin membuat satu pembetulan, dan kemudian mencadangkan satu gerak kerja atau pelan baharu yang munasabah untuk UMNO.
Pembetulan: 'Petualang' yang didakwa oleh ramai perwakilan UMNO itu adalah satu fenomena. Oleh kerana ia adalah fenomena maka ia bukan terhantuk dan dapat disalahkan ke atas seorang sahaja petualang; tetapi apa yang berlaku sebenarnya ialah kebangkitan besar-besaran gerakan liberalisme.
Mereka yang terpengaruh, atau ejen gerakan liberalisme ini muncul dalam bidang seni, dalam bidang politik, dalam agama, dalam pendidikan, dalam media, wah dalam macam-macam. 'Dalam' apa sahaja. Dalam bidang seni misalnya ia bercambah menjadi filem, menjadi buku, menjadi dokumentari dan macam-macam lagi.
Dalam bidang politik, ya, selepas PRU 12 gerakan liberalisme telah menguasai segenap apa pun termasuklah mereka hinggap ke atas batang tubuh PAS sang fundamentalis-konservatif, seraya menghisap darah dengan rakus.
Dalam agama, argh tak usah diceritakan lagi; kalimah Allah pun mahu dikongsi. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lebih tahu dari kita semua. Malah gerakan untuk membenarkan murtad benar-benar mengasak kita dari segenap penjuru.
Dalam pendidikan pula, fahaman neo-kolonialisme dan liberalisasi turut menjangkit sehingga peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dinafikan. Kumpulan ini hanya mahukan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan. Yakni mereka berpuas hati bahasa Melayu setakat menjadi bahasa percakapan pekerja asing dari Nepal, Bangladesh, Vietnam dan Zimbabwe. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dalam pendidikan diketepikan dengan pelbagai alasan.
Oleh itu, jelaslah, musuh UMNO bukanlah seorang petualang. Tetapi ramai petualang! Ia malah adalah satu gejala atau fenomena. Ia bagai wabak penyakit yang merebak dengan cepat. Ini juga bermakna dalam UMNO sendiri ada petualang itu. Kerana batang tubuh petualang satu cerita, tetapi agenda petualang itulah yang mesti dimusuhi. Agenda petualangan liberalisme ini masuk dalam tubuh politikus (kerana licik macam tikus) dan juga politikawan (kerana demi kesetiakawanan mereka ingin menegakkan kebajikan dan keadilan). Justeru, petualangan ini dapat masuk menjadi virus dalam badan kita sendiri tanpa kita sedari. Ini, secara mudahnya membawa maksud yang harus diwaspadai ialah petualangan. Kerana petualangan itulah yang sedang mengganas. Justeru, UMNO mesti berhati-hati.
Dalam masa yang sama kita harus mengamati, siapakah sasaran petualangan ini? Sasarannya ialah orang muda. Generasi baharu. Kerana mereka hatapan baharu.
Baik, bagaimana membetulkan hal ini, iaitu mendepani petualangan gejala liberalisme ini?
Cara Satu: Kembali kepada poin Pak Lah iaitu "program-program politik Umno yang kurang berkesan dalam mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan", UMNO dan kerajaan mulai sekarang mesti menjana atau melakukan tugas (dengan izin) - empowering - kumpulan muda.
UMNO mesti mengenal pasti apakah bentuk petualangan yang sedang membaham generasi baharu. Katakanlah petualangan yang paling mudah ialah ketergila-gilaan remaja dan orang muda kepada agenda liberalisme.
Tahukah UMNO sebgai contoh, gerakan liberalisme ini misalnya menaja pengarang yang bukan pengarang ke negara-negara Barat (juga Indonesia) untuk belajar tentang liberalisme. Pengarang yang bukan pengarang misalnya dihantar menyertai Iowa Writing Programme. Pengarang yang bukan pengarang ini malah tidak punya buku, atau mungkin sekadar menerjemah beberapa karya falasi liberalisme. Untuk itu, UMNO mesti sedar mereka harus 'empower' dengan segera kumpulan yang boleh mendepani manusia muda liberal ini. Kumpulan muda yang dapat dijanai dan didanai ini misalnya boleh sahaja menjadi pertubuhan penulis seperti PENA yang cita-citanya untuk mempertahankan budaya Melayu-Islamnya amat luhur. Beri segera dana, kekuatan dan kemudahan kepada aktivis teater, pembikin filem, pelukis, penulis yang membawa agenda konservatif-fundamentalis demi mempertahankan agama bangsa dan negara dari kunyahan ganas petualangan kumpulan liberalis. Kerana kumpulan liberalis kelihatannya ada dokongan penuh dari 'luar'.
Jangan abaikan mereka (anak muda konservatif-fundamentalis) lagi. Kesani siapa yang dapat mendepani petualangan liberalisme, dan bersilekaslah untuk bersahabat dengan mereka.
Rawatan segera untuk mendepani kumpulan liberalis ini memerlukan kekuatan dan iltizam yang luar biasa termasuklah menyekat agenda neo-kolonialisme dan liberalisme dalam pendidikan. Caranya, dengan mewajibkan subjek sejarah untuk anak-anak, program mengukuhkan jati diri juga perlu dicanai dan digerakkan segera. Pengukuhan jati diri ini dapat dilakukan dengan kembali kepada teras budaya bangsa yang murni. Antaranya ialah bahasa. Bahasa kebangsaan misalnya telah dinobat dan dipateri oleh Tun Abdul Razak sebagai alat perpaduan dan pembangunan bangsa Malaysia. UMNO mesti kembali menjadi konservatif, bukan terbawa-bawa menjadi liberalis juga. Jangan ikut kesilapan PAS yang perasan ala-ala moderat.
Cara Dua: Formula kedua (sehingga setakat ini dua sahaja dahulu) untuk mengekang petualangan gerakan liberalisme ialah dengan 'empower' ulama. Baik ulama itu partisan (dalam PAS dan UMNO) atau ulama non partisan. UMNO kini perlu mendepani satu dunia yang penuh dengan jerangkap samar. Tidak ada cara lain untuk mendepani hal ini melainkan memerlukan UMNO 'membangunkan' kumpulan ulama termasuklah dalam PAS. Jangan nafikan lagi, kuatnya PAS akan memberi kekuatan kepada UMNO juga. Kekuatan dua pihak ini akan mengendurkan dengan sendirinya gelombang liberalisme yang dinakhodai oleh seorang petualang.
Silap UMNO ialah mengasak PAS sehingga PAS membawa diri mencari kawan baharu, malang mereka terperangkap dalam petualangan (dan kini sukar melepaskan diri). Untuk itu, UMNO juga mesti sedar seperti mana dalam UMNO sendiri ada petualang gerakan liberalis, di dalam PAS juga terdapat kumnpulan petualang yang sama. Petualangan liberalisme ini menyusup masuk dalam UMNO mahupun PAS.
UMNO mesti mengendurkan serangan terhadap kumpulan ikhlas dalam PAS, berusaha menjambatani ukhuwwah demi ummah, dan dalam masa yang sama menyuburkan ulama yang sebenar, ulama yang tidak terikut-ikut rentak tarian petualangan dan petualang liberalisme. Justeru, yang berhak diserang ialah kumpulan petualangan liberalisme dalam PAS, termasuklah dalam UMNO sendiri.
Oleh kerana itu kerja UMNO memang banyak. Kerja saudara Khairy untuk memimpin kaum muda terlalu banyak. Kerja Naib-Naib Presiden UMNO banyak. Mungkin ada duri dalam daging. Kerja sayap-sayap kanan banyak. Untuk kembali menjadi kuat, tidak ada jalan lain, UMNO perlu mencantas kumpulan liberalis dalam partinya sendiri, kemudian melakukan - empower - dari luar untuk menumbuhkan kembali kekuatan PAS yang sedang dihisap darah drakula liberalisme.
* Definisi liberal di sini berbeza-beza. Liberalisme yang dimaksudkan ialah kumpulan yang ingin merombak dan mendobrak nilai-nilai tradisi termasuklah agama, dan budaya untuk memberikan ruang besar kepada (menurut Hassan Hanafi) 'the other'.
sumber - faisaltehrani
Tiada ulasan:
Catat Ulasan