Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB
PETALING JAYA: Tiga pilihan raya kecil serentak - di Perak, Kedah dan Sarawak - menyaksikan 20 calon bertanding termasuk seramai 15 orang merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Daripada tiga kerusi yang dipertandingkan, 15 turun gelanggang Bukit Selambau dan tiga di kerusi Parlimen Bukit Gantang manakala dan dua lagi di DUN Batang Ai.
Ini kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini sehingga 15 orang bertanding.
Jumlah teramai sebelum ini ialah lapan calon pada pilihan raya umum negeri di Sabah.
Kawasan Parlimen Bukit Gantang, menyaksikan saingan tiga penjuru antara bekas Setiausaha dan Ketua Penerangan Umno Bukit Gantang, Ismail Saffian (BN); bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Kamarul Ramizu Idris (Bebas).
Nizar juga merupakan ADUN Pasir Panjang.
Kamarul merupakan seorang usahawan berusia 41 tahun dari Taiping.
Pada sidang media di bangunan Majlis Perbandaran Taiping, Taiping selepas proses penamaan calon berakhir, Nizar menganggap pilihan raya kecil ini sebagai refendum ekoran krisis politik yang membawa kepada tumbangkan kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat awal bulan lalu.
Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassan pula berkata, pilihan raya kecil ini bukan satu refendum sebagai peluang merampas kembali kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Dalam pilihan raya umum lalu, kerusi itu dimenangi oleh calon PAS.
Kamarul pula berkata, pihaknya mahu memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk memilih wakil rakyat di sebalik kemelut politik semasa.
Status sah ketiga-tiga calon ini diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil, Datuk Mahmud Morsidi pukul 11.26 pagi tadi.
Penamaan calon berlangsung dari pukul 9 pagi selama sejam dan disusli oleh sesi bantahan yang menyaksikan tiga bantahan dibuat iaitu satu ke atas calon BN dan dua lagi ke atas calon Bebas.
Dalam pada itu, kerusi DUN Batang Ai, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Malcom Mussem Lamoh (BN) dan Jawah Gerang (PKR).
Sementara itu seramai 15 calon bertanding merebut kerusi DUN Bukit Selambau.
Berdasarkan kedudukan calon atas kertas undi, mereka terdiri daripada R. Loganathan (guna simbol Kelapa Sawit), Tan Hock Huat (Kunci), Radzi Md Lazim (Kerusi), S. Manikumar (PKR) dan Mohd Fazil Abdul Wahab (Kepala Harimau).
Calon lain ialah Abdul Rahim Abdul (Jam Loceng), L.Sarala (Basikal), S. Ganesan (BN), A. Jayagopal (Payung), S. Mogankumar (Buku), Khamis Awang (Ayam Jantan), Husaini Yaacob (Bas), M. Vaneson (Ikan), Anuar Abdul Hamid (Telefon) dan T. Chandrarajah (Kapal Terbang).
Pengundian akan diadakan 7 April ini.
sumber - mstar.online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan