KHARTOUM: Presiden Sudan, Omar al-Bashir semalam menganggap keputusan tribunal antarabangsa mengarahkannya ditangkap sebagai konspirasi bertujuan mengkucar-kacirkan negaranya dan mengganggu usaha damai di Darfur.
Bercakap buat kali pertama sejak menjadi orang yang dikehendaki, al-Bashir memberitahu mesyuarat Kabinet bahawa mahkamah berkenaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan antarabangsa yang beroperasi di Sudan adalah 'alat penjajahan baru' bertujuan meletakkan Sudan dan sumbernya di bawah kawalan mereka.
"Ia adalah cubaan menguasai Sudan," katanya dalam mesyuarat yang disiarkan televisyen.
Kerajaan Bashir bertindak balas serta-merta selepas waran tangkap dikeluarkan kelmarin, dengan mengarahkan 10 kumpulan kemanusiaan keluar dari Darfur dan merampas aset mereka, kata jurucakap PBB.
"Kami di Sudan sentiasa menjadi sasaran PBB kerana kami berkata 'Tidak'. Kami kata sumber Sudan harus dimiliki rakyat Sudan," kata Bashir.
Tegasnya, badan dunia itu berhasrat mengugat usaha damai di Darfur, dan menyatakan keputusan baru dibuat apabila ia cuba menganjurkan perdamaian di rantau berkenaan.
Waran tangkap oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda itu adalah keputusan pertama tribunal terhadap pemimpin negara yang masih memegang jawatan. Pegawai PBB berkata, kakitangan mereka akan terus berunding dengan Bashir di Sudan kerana beliau masih presiden.
Bashir juga memberi amaran kepada sesiapa yang cuba membantu ICC menahannya. "Kami akan bertindak selaku kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.
"Tetapi, kami akan bertindak secara bertanggungjawab dan tegas dengan sesiapa pun yang cuba menggoncang kestabilan dan keselamatan di negara ini atau sesiapa juga yang menggunakan kedudukan dan kehadiran mereka di Sudan dengan melanggar undang-undang."
Ribuan rakyat Sudan berhimpun di sini bagi menyatakan sokongan kepada Bashir, sambil menghayun gambarnya dan memaki hamun ketua pendakwa ICC, Luis Moreno Ocampo dengan menggelarnya 'babi' dan 'pengecut.' AP
sumber - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan