Selalu ada orang bertanya mengapa saya berkiblatkan Iran? Adakah saya syiah? Mestikah menjadi seorang syiah untuk mengkagumi Iran? Hamas mengkagumi Iran tetapi tidak perlu menjadi syiah. Dan Iran banyak membantu Hamas; untuk membantu Palestina.
Kemudian, ada orang bertanya mengapa saya menyampah dengan 'orang itu'? Mengapa saya sampai sanggup mengherdik parti Islam semata-mata kerana parti Islam bersekongkol dengan 'orang itu'?
Semuanya mudah. Kalau 'nakhoda kapal' terhijab, apa lagi dapat dikatakan. Padahal, bukan sukar menilai sikap. Dan ya, kalau hebat sangat menjadi nakhoda kapal sekalipun, tetapi belayar dengan membaca peta orang; untuk apa jadi nakhoda?
Sikap.
Sikap terhadap Amerika Syarikat. Dan sikap itu menjadi asas untuk saya percaya, atau asas untuk saya ragu.
Mari kita menganalisis sikap 'orang itu' terhadap pentadbiran baharu Amerika Syarikat - Obama. Ia dinyatakan dalam Keynote Address di 'Plenary Session of the US-Islamic World Forum', bertempat di Doha Qatar, awal tahun ini. (Sumbernya dapat dibaca di sini).
Sikap 1: Memuji dan Memuja.
"Rasa kebimbangan kita yang amat mendalam menjadi reda dengan harapan baru pentadbiran Obama akan memberikan janji baru terhadap satu agenda untuk memperbaiki semula hubungan dengan rakan-rakan dan musuh-musuh Amerika di seluruh dunia demi kepentingan keamanan yang lebih baik serta mengejar keadilan dan kebebasan."
Sikap 2: Seterusnya Mengajak Kita Menaruh Kepercayaan.
"Kita berharap di dalam pentadbiran yang baru ini, kita menemui rakan yang lebih dipercayai – untuk menyelesaikan isu keselamatan dan politik yang menyakitkan hati pada zaman kita, tetapi juga dalam mencari satu agenda untuk pembangunan ekonomi yang berkekalan."
Sikap 3: Untuk Tujuan Itu, Muslim Mesti Berubah dan 'Berkorban' Semua Aspek.
"Muslim mesti komited untuk berubah. Soalan yang masih bermain di minda adalah bagaimana kita boleh meneruskannya? Pertama sekali – penglibatan sebenar mestilah merangkumi semua aspek. Kita tidak perlu bermula dengan membina dinding di sekeliling kita, meletakkan prasyarat, serta membuat hukuman terlebih dahulu terhadap kumpulan dan parti. Halangan ini hanya akan menguatkan prejudis lama dan menyemai syak wasangka berpanjangan."
Baiklah, mari kita menilai sikap Iran dalam erti kata yang lebih tepat, Sayyid Ali Khamenei terhadap pentadbiran baharu Amerika, Obama. (Sumbernya dapat dibaca di sini)
Sikap 1: Berhati-hati dan Penuh Kewaspadaan.
"Mereka melaungkan slogan perubahan tetapi tiada perubahan dalam bentuk praktis. Dia (Obama) menghina Republik Islam Iran sejak hari pertama. Jika anda benar bahawa perubahan telah tiba, manakah perubahan itu? Apakah tanda perubahan itu? Jelaskan kepada kami apa yang sudah berubah?."
Sikap 2: Selepas Meminta Bukti Perubahan, Hak dan Maruah Ummah Ditebus Dengan Membangkitkan Isu Keganasan Zionisme.
"Adakah anda telah melepaskan aset Iran yang dibekukan? Adakah anda telah mengangkat embargo yang menindas? Adakah anda telah berhenti menuduh dan menfitnah Iran dan pemimpinnya? Adakah anda telah berhenti memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada regim Zionis? Bahasa anda malah tidak berubah."
Sikap 3: Jangan Memaksa Atau Memujuk Untuk Muslim Mengorbankan Prinsip.
"Mereka mengatakan kami telah menghulurkan tangan kepada Iran...jika tangan itu ditutupi sarung baldu tetapi ada besi tajam di dalamnya itu tidak bermakna apa-apa. Hindari dulu nada keangkuhan, hindari dulu perangai membuli, hindari dulu perangai mencampuri urusan negara lain, ambil apa yang menjadi hak anda, jangan menafsirkan kepentingan mengikut diri di seluruh dunia." (Lihat juga sumber di sini)
Perhatikan dua sikap di atas. Yang seorang paling tergesa mengampu dan bersetuju, malah sanggup 'merubah diri'. Yang satu lagi lebih berhati-hati, menjadikan sejarah sebagai pelajaran dan mengingatkan yang harus berubah ialah Amerika sendiri. Yang seorang tidak tahan godaan, yang seorang tidak makan pujuk.
Adakah itu terlalu sukar untuk membuatkan saya bosan dengan 'nakhoda kapal' yang menghantar ucapan tahniah kepada Obama? Macamlah Obama pandang (dan jika Obama pandang maka adakah itu menyeronokkan?). Dan adakah itu terlalu sukar untuk saya berasa sangsi dengan 'orang itu'. Adakah terlalu sukar untuk memahami mengapa saya mengkagumi sepak terajang Iran dan sekutu-sekutunya seperti Hezbullah (syiah) dan Hamas (sunni)?
Tidakkah semua ini terlalu mudah; dan menyebabkan kita berasa gundah, kerana ada ulama yang terhijab tidak nampak bahawa mereka sedang terjebak dengan perangkap Amerika secara tidak langsung!?
Moga-moga selepas ini terjawab mengapa saya mengkagumi Republik Islam Iran; dan berbulu dengan parti Islam yang 'tergila-gila berpakat', dan tidak nampak apa yang sepatutnya mudah terlihat di hadapan mata.
sumber - Faisal Tehrani
Artikel lain berkaitan :
. Harapan baru PAS dan UMNO - Faisal Tehrani
. Adakah Allah dalam Bible?
. Bagai memikul biawak hidup - Faisal Tehrani
. Bahasa politik : PAS sudah kalah II - Faisal Tehrani
. Bahasa Politik: PAS Sudah Kalah
. Siapa berani melawan pencerahan?
. Sikap Obama terhadap Palestin
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan