Menggemparkan...kisah tersebarnya gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong,37 yang belum berkahwin.
Walaupun pada awalnya, timbul tanda tanya mengenai kesahihan gambar tersebut, namun Wong hari Isnin tampil mengaku gambar bogel yang tersebar itu adalah gambarnya.
Ia mulanya diperolehi menerusi MMS pada telefon bimbit seorang wartawan sebuah akhbar tempatan Jumaat lalu yang kemudiannya tunjuk pada Wong bagi pengesahan.
Berbagai andaian dan spekulasi timbul ketika berita mengenainya mula tersebar luas pagi Isnin.
Tandatanya paling popular ialah siapakah gerangannya yang ambil gambar itu yang dikatakan berlaku di rumahnya di Bukit Gasing,Petaling Jaya.
Andaian yang selamat ialah orang yang ambil gambar itu pasti kenal baik dengan Wong. Ada yang kata bekas teman lelakinya.Jika tidak bagaimana orang itu boleh berada di rumahnya.
Apa motifnya?.Apakah ini kisah dendam dalam jerat percintaan?
Kisah bekas teman lelaki yang sebar gambar-gambar bogel bekas teman wanitanya kerana geram bukan satu kisah pelik dan pernah berlaku.
Ada juga ahli politik pembangkang yang sudah awal-awal dakwa ini semua kerja jahat Barisan Nasional untuk jatuhkan wakil rakyat mereka sedangkan insiden ini mungkin berpunca dari soal peribadi antara dua insan.
Maklumat-maklumat awal menunjukkan gambar-gambar Wong berada dalam keadaan "berbogel" ketika sedang tidur di atas sofa.Wong mendakwa ia diambil tanpa pengetahuannya.
Difahamkan gambar itu diambil menggunakan telefon bimbit sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu.
Wong telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di Petaling Jaya kira-kira 11.05 malam Ahad.
Beliau pernah menjadi pembantu khas kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum bertanding dalam pilihanraya umum lalu.
Sementara itu, dalam kenyataannya kepada media Wong mendakwa pengedaran gambar itu berniat jahat.
Katanya pengedaran gambar bogelnya itu bertujuan mencemarkan maruahnya dan pencerobohan kehidupan peribadinya.
"Ia dilakukan orang tidak bertanggungjawab untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya. Ia sama seperti menceroboh kesucian hidup peribadi saya.
"Saya adalah mangsa dalam kejadian ini dan semalam saya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mahu membuat spekulasi secara terbuka mengenai siapa yang bertanggungjawab menceroboh kehidupan peribadinya itu.
Wong yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor berkata anggota keluarga, kawan dan penyokongnya memberikan sokongan padu kepadanya.
"Saya ingin merayu kepada media supaya memberikan ruang kepada saya dan keluarga saya untuk berdepan dengan cabaran ini.
"Bagaimanapun saya akan terus memberikan khidmat kepada rakyat Selangor," katanya
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ditemui para wartawan di bangunan Parlimen berkata adalah terlalu awal untuk mengenal pasti dalang di sebalik penyebaran gambar bogel Wong kerana ia masih dalam siasatan polis.
"Dalam kes ini, masih terlalu awal untuk nyatakan sebabnya atau siapa yang bertanggungjawab. Biar polis siasat," katanya.
Syed Hamid berkata kejadian itu tidak akan berlaku sekiranya PKR menyemak latar belakang setiap calon yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.
"Saya fikir PKR dia banyak orang-orang yang bermasalah. Biar dia selesaikan masalah. Saya berpendapat dia layak membuat aduan (polis) dan kemudian polis akan siasat. Anda mungkin fikir dalam rumah anda sendiri, gambar bogel atau apa saja, tapi anda pastikan orang ramai tidak mendapatnya," katanya.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata pihaknya akan membincangkan isu gambar bogel itu di peringkat parti dan mesyuarat Exco negeri, Rabu ini.
Beliau berkata Wong sudah berjumpa beliau untuk menerangkan mengenai isu itu dan pihaknya terbuka untuk menghadapi sebarang kemungkinan berhubung insiden yang menimpa Wong.
"Adalah tidak adil untuk kita buat kenyataan sekarang tanpa penjelasan yang sesuai. Mana tahu jika ada orang yang mahu memerangkap beliau," katanya.
Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu gambar bogel Wong. "Pendirian kita dalam pakatan adalah jelas, kita tidak akan berkompromi dalam soal moral," ujar beliau.
Katanya, PKR akan mendapatkan keterangan Exco itu serta laporan polis sebelum memutuskan tindakan lanjut
Isu penyebaran gambar bogel itu turut mendapat perhatian beberapa anggota Parlimen pembangkang dan kerajaan yang ditemui selepas perasmian sidang parlimen oleh Yang Dipertuan Agong .
Ada yang bersimpati dan tidak kurang juga kecewa dengan sikap yang boleh menjejaskan imej seorang wakil rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana Wong merupakan seorang wakil rakyat dan ia sesuatu yang tidak baik untuk beliau.
Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai pula berkata budaya penyebaran gambar sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana ini merupakan satu perkara yang tidak beretika.
"Kalau benar, sebagai pemimpin tidak wajarlah mengamalkan gaya hidup yang bebas seperti ini, perlu mengikut peraturan dan perlu mengetahui kesopanan budaya kita," katanya.
Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata setiap pemimpin rakyat tidak kira sama ada dari pembangkang atau kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu dengan kecanggihan teknologi yang semakin maju.
"Kalau kita tidak berhati-hati, perkara yang menjadi pokok, sopan-santun, nilai-nilai bangsa dan kaum dalam dunia yang berubah ini akan menjejaskan pegangan yang selama ini menjadi penting kepada kita.
"Jadi kes-kes tertentu untuk individu tertentu, rakyat yang akan menentukan tindak-tanduk mereka. Sekiranya telah dirakam (gambar bogel), akhirnya kedudukan pemimpin berkenaan akan dinilai oleh rakyat," katanya.
Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menilai soal ini satu perkara yang serius dan bukan privasi tetapi melibatkan moral.
Katanya berdasarkan desakan pembangkang terhadap isu video seks bekas Menteri Kesihatan Datuk Dr Chua Soi Lek dulu maka Wong juga harus letak jawatan.
Katanya pembangkang tidak boleh berdolak dalik dalam hal yang melibatkan wakil rakyat mereka sendiri.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said juga berpendapat Wong perlu meletak jawatan kerana kes itu memberi gambaran yang tidak baik terhadap kepimpinan beliau.
"Walaupun ini isu peribadi, Wong perlu meletak jawatan bukan sahaja sebagai Exco tetapi sebagai ADUN. Jika dia hendak buat kerja-kerja rakyat, berucap depan rakyat tetapi rakyat sudah memikirkan gambar-gambar dia yang bogel, susahlah dia hendak buat kerja," katanya.
“Malaysia bukan negara barat yang boleh terima skandal sebegini. Malah kini di negara barat pun, sekiranya ada pemimpin yang terbabit dengan skandal, mereka akan meletakkan jawatan tanpa disuruh," tambah Azalina.
Azalina, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata, orang yang merakamkan gambar berkenaan mungkin juga mahu menunjukkan kepada masyarakat sikap pura-pura Elizabeth.
Beliau juga persoalkan sikap “double standard “ pembangkang dalam hal-hal yang melibatkan orang mereka. "Kalau mereka melakukan sesuatu yang tidak baik, ia dikira "halal" dan jika BN atau UMNO pula dianggap haram," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh Teresa Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata Wong tidak perlu meletak jawatan kerana ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
Walaupun berbeza pendirian politik, Wanita MCA melahirkan rasa simpati terhadap Wong yang menjadi mangsa dalam skandal pengedaran gambar bogel.
Ketuanya Datin Chew Mei Fun mengutuk mereka yang bertanggungjawab mengedar gambar Wong kerana perbuatan itu melanggar hak kebebasan peribadi wanita dan merupakan tindakan mengeksploitasi wanita bagi tujuan politik.
"Kami terkejut dengan perbuatan ini yang menjadikan wanita sebagai objek seks. Ia secara terang-terangan menceroboh hak peribadi wanita serta mengeksploitasi wanita bagi tujuan politik," katanya dalam satu kenyataan.
Chew berkata perbuatan merakam gambar anggota tubuh wanita tanpa kebenaran atau pengetahuannya adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574), manakala perbuatan menyiarkannya bagi tatapan umum juga, melanggar akta itu.
"Kami ingin menasihati semua wanita supaya berhati-hati. Kami juga menggesa kerajaan supaya menguatkuasakan dengan tegas Akta berkenaan agar ia benar-benar dapat mencegah perbuatan tidak bermaruah ini," katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis masih belum mengenal pasti dalang disebalik pengedaran gambar bogel Wong.
Katanya polis bagaimanapun akan merekodkan kenyataan daripada wartawan, yang memaklumkan kepada wakil rakyat itu mengenai pengedaran gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu.
"Kami juga akan memanggil seorang wartawan, yang memaklumkan mengenai pengedaran gambar bogel itu kepada wakil rakyat Bukit Lanjan itu. Jadi saya harap semua pihak bersabar sehingga kami menyelesaikan siasatan kami," katanya pada sidang akhbar di Petaling Jaya Isnin.
Arjunaidi berkata polis masih belum menerima gambar bogel itu dan masih terlalu awal untuk mengesahkan imej siapa yang sebenarnya dalam gambar itu.
Beliau mengesahkan Wong telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di Petaling Jaya kira-kira 11.05 malam semalam selepas wartawan itu memaklumkan kepadanya mengenai pengedaran gambar berkenaan.
"Bagaimanapun laporan itu tidak lengkap kerana beliau hanya dimaklumkan oleh pihak ketiga (wartawan) mengenai pengedaran gambar bogel itu. Beliau (Wong) memberitahu polis gambar itu diambil semasa beliau sedang tidur.
"Saya ingin menasihatkan mereka yang menyimpan gambar bogel Wong supaya menyerahkannya kepada polis dan membantu penyiasatan kami," katanya.
Beliau berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar pornografi.- 16/2/2009
sumber - Agendadaily
3 ulasan:
Sebagai seorang EXCO dan ADUN, jika bahagian sulit sendiri tak boleh nak jaga, bagaimana untuk menjaga Rahsia-rahsia Sulit Kerajaan Negeri? Memang patut letak jawatan.
Itulah sapa suruh jantan bukan muhrim masuk rumah...kan gambar bogel dah kena ambil...tah-tah 'benda' lain pun dah kena 'ambil'.
Apa hubungan si Elizabeth si adartu nih dengan jantan tersebut. Adakah beliau Gigolo ? sampai boleh masuk ke rumah, sampai boleh Elizabeth tidur kenyeyakan di sofa dan gambar beliau diambil?
Dah 3 'Bukit' buat hal...bikin gawat satu Malaya...'Bukit Gelugor' tunggu masa jer nak kena hantam...tunggu kita lihat sapa yang kena lepas nih...
Memang menyibarkan gambar2 seperti ini adalah satu invasion of privacy tetapi jika gambar2 ini diambil oleh ex boyfriendnya sendiri, that means besar kemungkinan beliau adalah juga sleeping partner to Ms Wong memandangkan Ms Wong selesa tidur in nudity,tanpa memakai under garment or panties… If that is the case, then, isu moral boleh dikaitkan sebab Yb Ms Wong masih belum berkahwin dan memegang status wakil rakyat bertaraf Exco!!
Setuju spt komen pertama diatas, jika benda sulit sendiri pun tak bole nak jaga, bagaimana dengan benda sulit atau rahsia sulit kerajaan?? Orang sebegini sangat bahaya untuk menjadi pemimpin negera....
Yang menyibar dan yang tak tau menjaga benda sulit sendiri drpd dilihat orang adalah sifat yang tidak bermoral.
Catat Ulasan