Anwar Ibrahim, Adi Sasono dan Azmin Ali semasa lawatan Anwar ke Indonesia
Soalan saya ajukan pada pimpinan Pelajar Islam Indonesia (PII), dan dari raut wajah mereka baru berumur 21 atau 23 tahun, : "Kok Pencerahan bisa di terima di Indonesia." "Bisa, enggak apa-apa," jawab mereka. Kalimat "Pencerahan" beberapa kali meletup di Jakarta. Bukan dirancangkan secara "konspirasi Pencerahan", tetapi sebagai tindakan spontan.
Awal minggu lalu saya mengiringi Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja ke Indonesia. Istilah "lawatan kerja" ini sering digunakan oleh menteri-menteri. Namun bukan mereka yang menjawat jawatan pemerintah saja yang berkerja. Parti-parti bukan pemerintah juga bekerja.
Seperti biasa lawatan Anwar Ibrahim ketat sekali. Tiada peluang untuk saya lari meninjau-ninjau kedai buku. Fikiran saya sudah merencana untuk mencari beberapa kitab purba Jawa, antaranya Babad Tanah Jawa, Babad Ceribon, dan Negarakertagama yang ditulis oleh pendita Prapanca. Mahu juga dicari Serat Damarwulan, kisah seorang pendekar Jawa, yang ditulis semula oleh sasterawan Sanusi Pane. Bukan sahaja kitab Jawa, saya juga mahu mencari kaset atau CD tembang Jawa.
Hasrat hati juga mahu mencari VCD wayang Jawa. Mencara benda-benda seperti tidak mudah. Tidak akan ada di P T Gramedia atau toko buku Gunung Agung. Kalau ada nasib mungkin satu dua boleh diperolehi di Pasar Senin dan satu dua di kedai buku kecil di Taman Ismail Marzuki (TIM). Semua bahan-bahan itu adalah ramuan untuk Projek Pencerahan Jalan Telawi. Namun, hampir semuanya lengser.
"Hidup aku sekarang sukar Fathur," keluhku pada Fathur Rahman yang menjadi duta besar (Dubes) gerakan reformasi, sejak lapan tahun lalu.
" Bila saya mengiringi Kak Wan atau Nurul Izzah siapa saja kami ingin jumpa -- Habibie, Megawati, Gus Dur, Amien Rais -- dia akan uruskan. Kini dia Dubes sukarelawan untuk Keadilan.
"Sekarang aku politisi, mana ketua pergi, sebagai anggota delegasi, aku perlu ikut."
Ikut serta dalam delagasi adalah Azmin Ali, sebagai naib presiden dan bukan sebagai pemegang Dairi Merah; Mustafa Kamil Ayub, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Sam Iskandar, ketua AMK, Amir Shari (ejen Pencerahan dalam AMK) dan Yusmadi Yusuff yang baru menerima watikah sebagai Menlu AMK. Dia juga baru bercerai talak tiga dari Gerak.
"Dulu waktu aku jadi kuli belakang tabir aku senang dan bebas." Selalunya bila rombongan tpm pulang dari New York atau Washington ke Kuala Lumpur kami akan menaiki pesawat melalui London. Ini perluku babadkan sedikit. Dari Amerika ke KL ada dua jalan. Satu melalui Tokyo, satu melalui London. Melalui Tokyo, kalau transit lama mahu buat apa di Tokyo, nonton kabuki selama lapan jam? Demi kebudayaan Anwar Ibrahim sanggup bersabar selama lapan. Sayapun sanggup dan pernah nonton kabuki Chusingura selama empat jam. Namun buat Azmin itu lebih seksa dari masuk neraka. Maka dia tidak akan merancang penerbangan melalui Tokyo.
Melalui London, saya tak tahu sekarang, masa kami dahulu ada dua cara. Melalui penerbangan siang dan sampai waktu malam di Heatrow, transit kira-kira sejam dan kemudian menaiki pesawat MH2 jam sebelas untuk ke KLIA. Saya tidak menyukai cara ini kerana tidak dapat turun ke kota raya London, kota yang paling saya gemari dan paling saya ketahui selepas KL. Satu cara lagi adalah terbang waktu malam dari Amerika dan sampai waktu pagi di London. Ini yang saya gemari, boleh lesap di London selama satu hari dan bertemu kembali dengan rombongan di airport ketika hampir mahu terbang.
Maka saya akan berkonspirasi dengan pemegang Dairi Merah. "Min, aku tahu ini kaku boleh buat. Kalau kau tak boleh buat tak ada orang lain yang boleh buat." Maka dia pun merancang penerbangan agar sampai waktu pagi di London. Bukan itu sahaja, tak tahu apa jampi yang dipakai, kami semua di upgrade ke business class. Bila sampai di Heatrow saya tahu apa yang akan berlaku. Tan Sri Arumugam akan datang membawa nasi lemak untuk sarapan tpm dan isterinya.
Arumugan adalah orang Malaysia yang paling berkuasa di London. Di puncak kekuasaannya jaringannya menembusi 10 Downing Street, maka dia adalah duta sebenar Malaysia di UK. Saya tidak sabar menunggu mereka sarapan, ngobrol dan jam 11 pagi baru bertolak ke kota London. Maka setelah check-in hotel airport, langsung mandi, dan bila siap saya terus ambil tube untuk ke Oxford Street dan jalan-jalan berdekatan di mana saya terdapat kedai-kedai buku dan video.
Gaya seperti ini tidak dapat saya lakukan lagi, tidak dapat lari dari rombongan. Terpaksa hadir pada semua jamuan makan malam, jamuan makan tengah hari, setiap ucapan. Maka saya hadir di mana Anwar Ibrahim di depan pemimpin-pemimpin ngo Islam Indonesia. Majlis dipengerusikan oleh Adi Sasono, tangan kanan dalam kabinet reformasi B J Habibie, dan sahabat Anwar sejak 40 tahun lalu. Setelah berucapa kira-kira 40 minit Anwar menjawab soalan. Beberapa soalan agak berat, misalnya tentang IMF, maka Anwar menjawab dengan agak panjang.
Ada juga juga soalan yang agak melucukan, bagi saya, tentang peristiwa September 11 sebagai satu konspirasi Amerika sendiri untuk memburukan umat Islam. Soalan ditanya dengan agak meleret, saya tersenyum mendengar teori konspirasi itu.
Apabila menutup majlis Mas Adi mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana telah memberikan "pencerahan" yang dengan spontan disambut dengan kegembiraan oleh anggota delegasi dari Malaysia. Bila bersurai delegasi dari Malaysia bersalaman sesama sendiri, khususnya dengan ketua AMK, sambil ketawa mengulangi kalimat keramat "pencerahan." Sapere Aude!
AIDC memetik tulisan Khalid Jaafar dalam lamannya khlaidjaafar.org. Artikel asal klik di sini
1 ulasan:
Banyak persoalan misteri tentang tulisan Khalid Jaafar ni. Antaranya:
1.'Lawatan Kerja' - menurut Khalid istilah itu bukan hanya boleh diguna oleh Menteri/orang yg ada jawatan.
Apa jawatan Anwar sehingga dia pun boleh menggunakan istilah itu. Kalau setakat Ketua Pembangkang,perlukah menggunakan istilah tersebut?
Siapa majikan Anwar? Dengan siapa Anwar bekerja? Apa jawatan Anwar?
Bukankah dia pernah berkata dalam ucapannya semasa Malam saksi 14 April 2005, 'dia diberi peranan kecil untuk menyatukan Islam & Barat'
Jadi, inikah peranan kecil yang dimainkan oleh Anwar. Inikah 'lawatan kerja' yang dimaksudkan oleh Khalid Jaafar?
2. Ke mana Khalid Jaafar melesapkan diri di kota London ?
"Ini yang saya gemari, boleh lesap di London selama satu hari dan bertemu kembali dengan rombongan di airport ketika hampir mahu terbang"
Apa yang dicari oleh Khalid di London? pelbagai tafsiran boleh dibuat.
Kalau inilah habit Khalid,apa bezanya dengan Anwar.
3. Apa hubungan mereka dengan Tan Sri Arumugam yang didakwa orang Malaysia paling berkuasa di London?
Kenapa demonstrasi pelajar menyokong Hindraf dilakukan di London. Kenapa tidak di India? Adakah ada perkaitan dengan orang Malaysia paling berkuasa di London?
Kenapa penyiasat persendirian melarikan diri ke London? Kenapa tidak lari ke negara lain? Apakah ini juga ada perkaitan dengan orang paling berkuasa di London ?
Catat Ulasan