MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

21 Jan 2009

Badan Pemikir Anwar Ibrahim (IKD) sokong Pluralisme?



Badan Pemikir Anwar Ibrahim (IKD) sokong Pluralisme?


Oleh Kumbang

Analisis Kumbang selepas artikel ini...

Menjawab Keraguan Tentang Pluralisme

oleh: Adib Zalkapli

''Masyarakat dari segenap peringkat, daripada penggubal dasar sehingga rakyat jelata perlu faham dan mengetahui bahawa gagasan Islam liberal dan pluralisme ini sebenarnya sangat asing daripada kesejatian ajaran Islam itu sendiri."

Kata-kata ini disampaikan oleh Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria semasa Muzakarah Ulama 2006, di Ipoh pada 11 Jun lalu, seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia. Laporan itu dibuat di bawah tajuk, Fahaman Pluralisme mula menular kalangan terpelajar – Mufti. Menurut laporan itu lagi, Harussani memberikan maksud bahawa pluralisme bererti meletakkan semua agama sebagai sama. Buat Harussani, pluralisme – tidak wujud dalam agama Islam.


Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam, juga tidak lari daripada mengambil pendirian menolak pluralisme. Presiden ABIM, Yusri Mohamad dalam ucapannya semasa muktamar pertubuhan itu 19 Ogos lalu dipetik Malaysiakini sebagai berkata, pluralisme perlu dibendung supaya tidak merosakkan masyarakat. "Fahaman ini telah menyerap ke dalam individu dan mempengaruhi seperti program kongsi raya dan berdoa bersama yang menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di negara kita," kata Yusri seperti yang dilaporkan akhbar web itu.


Persoalan pluralisme dan kewujudannya dalam tradisi Islam inilah, antara yang cuba dijawab buku Islam & Pluralisme; sebuah kompilasi rencana oleh para sarjana falsafah dan agama, antaranya Reza Shah-Kazemi, John Hick dan Hans Kung.


Buku ini dimulakan dengan esei oleh Suratno, pensyarah Jabatan Falsafah dan Agama, Universiti Paramadina, Jakarta, yang menghuraikan pelbagai definisi pluralisme agama. Sebelum pembaca bersetuju atau tidak dengan pluralisme agama, sangat penting untuk memahami definisi sesuatu konsep itu supaya apa yang diterima atau ditolak itu menjadi jelas.


Dalam buku ini juga, penjelasan mengenai aliran-aliran eksklusivisme, inklusivisme dan pluralisme, dihuraikan dengan mendalam oleh ahli falsafah agama, John Hick. Sebelum beliau menjelaskan dengan lebih lanjut ketiga-tiga aliran itu, Hick mengajak para pembaca memikirkan keadaan semasa tentang bagaimana penganutan terhadap sesuatu agama itu dipengaruhi oleh agama yang dipegang keluarga dan masyarakat. Hick turut menjelaskan tentang sejarah eksklusiviti dalam agama Kristian sejak Council of Florence hingga Majlis Vatican kedua pada tahun 1960-an yang akhirnya mengakui keselamatan boleh diperoleh melalui mana-mana agama, itu pun masih diperkirakan eksklusif oleh Hick kerana masih melihat Kristian tetap tertinggi sebagaiman pengistilah anoyanmous Christian. Di akhir catatannya, Hick menekankan perkaitan antara pluralisme dan keamanan. Baginya, konflik-konflik berkaitan agama berpunca daripada kepercayaan bahawa hanya satu agama itulah yang benar.


Secara kebetulan, buku terbitan Middle-Eastern Graduate Centre (MEGC) ini, dikeluarkan hampir dengan masa kenyataan Harussani itu walaupun ia sebenarnya tercetus daripada fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan fahaman liberalisme, sekularisme dan pluralisme pada bulan Julai 2005.


"Secara literal, maksud pluralisme itu sendiri tidak mengatakan semua agama sama," kata Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, dari MEGC, sebuah pusat kajian dan penerbitan yang menggalakkan isu-isu kebebasan dan masyarakat sivil.


Bagi Mustaqeem, buku ini mencari tulisan-tulisan sarjana Islam yang mengenengahkan pandangan pluralisme daripada tafsiran yang walaupun kurang popular, tetapi sah dan sesuai dengan tuntutan dan realiti semasa.

Antara pandangan menarik dalam buku ini termasuklah tulisan Reza Shah-Kazemi, penyelidik di Institute of Ismaili Studies, London, yang jelas Mustaqeem, membawakan perspektif pluralisme dalam Al-Quran.


Seperti yang disebut Kazemi, "Pada waktu di mana eksklusivisme yang ganas tampak mencirikan Islam, adalah penting untuk menghidupkan citra kudus dalam tradisi ini; dan untuk menunjukkan bahawa penghargaan terhadap yang kudus dalam tradisi agama yang lain adalah berakar dalam wahyu Qurani itu sendiri, dan merupakan sebahagian dari Sunnah Rasulullah."


Kazemi dalam eseinya, memetik pandangan penterjemah Quran, Muhammad Asad, yang menterjemah perkataan Islam/Muslim mengikut pengertian asal, iaitu bukan secara eksklusif merujuk kepada pengikut Nabi Muhammad. Asad turut berpandangan bahawa tafsiran eksklusif Islam perlu dielak dalam penterjemahan Quran.


Dalam catatannya mengenai jawapan Islam kepada dakwaan orang Yahudi dan Nasrani, bahawa hanya mereka yang dapat memasuki syurga, Kazemi memetik ayat Quran yang tidak menyanggah dengan mengatakan hanya pengikut Nabi Muhammad yang memasuki syurga, sebaliknya, ia dijawab dengan menegaskan janji salvation atau keselamatan adalah untuk semua, dengan syurga bagi mereka yang menyerah kepada Allah dan berbudi pekerti.


Kazemi, turut menghuraikan kisah rombongan Kristian dari Najran yang datang ke Madinah untuk berdebat dengan Nabi Muhammad bagi menunjukkan bagaimana penerimaan nabi terhadap penganut agama lain. Dalam kejadian ini, rombongan Kristian ini telah diberikan kebenaran untuk mengadakan upacara keagamaan di dalam Masjid Nabawi. Jelas Kazemi, kejadian ini menunjukkan bahawa ruang suci bukanlah milik eksklusif mana-mana agama.


Walaupun bahan-bahan yang dikumpul dalam buku ini sangat baik bagi memahami konsep pluralisme agama, adalah lebih bagus lagi jika lebih banyak ulasan-ulasan yang berbentuk pengenalan kepada konsep pluralisme dimasukkan, bagi meluaskan lagi sasaran kumpulan pembacanya kepada semuda mungkin. Ini menjadi penting (jika niat penerbit ialah untuk menyanggah eksklusiviti) kerana eksklusiviti, telah ditanam kepada masyarakat sejak kecil lagi sama ada semasa pengajaran dalam kelas atau dengan cara pengasingan yang dilakukan.


Jika buku ini dikemaskinikan, sangat sesuai sekiranya ia ditambah dengan bahan-bahan tempatan, bagi menunjukkan pentingnya pemahaman terhadap pluralisme agama dalam masyarakat negara ini. Bagaimanapun, pengeluaran buku ini sahaja sudah menjadi satu permulaan yang baik.


Dengan pluralisme dibincangkan dan diserang dari pelbagai arah, penerbitan buku ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk memahami sendiri apa yang 'bahaya' itu. Perbincangan berbentuk akademik seperti dalam buku ini yang tidak mengecil-ngecilkan idea mana-mana pihak sangat dialu-alukan. Pembaca, tidak semestinya menerima pluralisme agama selepas membaca buku ini, tetapi, buat mereka yang masih mahu kekal dengan eksklusivisme, sekurang-kurangnya dapat meluaskan pengetahuan tentang konsep pluraliti itu.


Analisis kumbang..

Kumbang petik artikel ini daripada laman web Unit Pemikiran Politik Institut kajian Dasar(IKD) yang kita kenal sebagai badan pemikir Anwar Ibrahim.


Sebelum itu mari kita lihat apakah itu pluralisme yang dinyatakan di atas mengikut penjelasan Mufti negeri Perak seperti di bawah.


"Pandangan saya mengenai liberalisme dan pluralisme telah mendatangkan pelbagai reaksi di dalam masyarakat, termasuk daripada ahli akademik dan aktivis masyarakat seperti Dr. Chandra Muzaffar. Saya menerima baik pandangan beliau (Dr. Chandra Muzaffar) yang tidak bias, malah mahu memahami apa sebenarnya yang saya maksudkan dengan liberalisme dan pluralisme. Kedua dua istilah ini mungkin mempunyai maksud yang lain dari segi sosiologi, tetapi saya melihatnya dari sudut agama.


Yang disebut oleh Dr. Chandra ialah pluraliti atau pluralisme dengan makna kepelbagaian yang tidak menimbulkan masalah bagi Islam. Tetapi yang saya anggap berbahaya ialah pluralisme dengan maksud, menganggap semua agama adalah sama. Ini salah, sebab di dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam …” (Ali Imran: 19), dan “ .. pada hari ini telah – Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu …” (Al Maaidah:3)


Maka bagi kita umat Islam, kita beriktikad bahawa agama selain Islam tidak diterima. Tetapi sekarang kita dapati ada fahaman lain sedang berkembang di kalangan orang Islam, iaitu pluralisme yang menganggap Islam sama seperti agama agama lain, sedangkan kita wajib beriktikad bahawa agama yang diterima Tuhan hanyalah Islam."


Isu-isu pluralisme di Indonesia:-


Antara isu pluralisme yang berlaku di Indonesia ialah:


1. Perkahwinan berbeza agama(pasangan bukan islam tidak memeluk Islam).
2. Doa bersama.(Orang Islam mengaminkan doa orang bukan Islam)
3. Wanita mengimamkan solat.
4. Setiap pemeluk agama(penganut agama berlainan) berhak masuk syurga bersama.


Kesemua perkara atau isu ini telah diharamkan melalui satu fatwa yang dibuat oleh MUI (Majelis Ulama Indonesia) yang mengharamkan terus liberalisme, sekularime dan pluralisme agama di Indonesia.


Apa sebenarnya tujuan IKD?


Jadi apa sebenarnya yang cuba dibawa oleh IKD ini. Artikel di atas seperti menggesa kita untuk membuang keraguan mengenai pluralisme dan seakan-akan menyokong pluralisme agama melalui bacaan buku 'Islam dan pluralisme' yang telah diharamkan terus oleh kerajaan Malaysia pada Januari 2008.


Kenapa buku ini diharamkan? Kerana buku ini dikatakan boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam.

Apa respon Anwar Ibrahim tentang pengharaman buku ini?


Anwar Ibrahim telah menyatakan di blog beliau bahawa kononnya pengharaman ini adalah sifat 'bebal' yang ada pada kerajaan. Apa yang sudah terjadi pada beliau? Mahu menghalalkan Pluralisme agama?


Kumbang bersetuju dengan pendapat sesetengah orang bahawa buku ini adalah buku pemikiran yang perlu dihalusi dengan lebih mendalam . Tetapi bagaimana jika orang yang baru mendekati Islam atau golongan muda yang tidak lagi arif pemahaman agamanya membaca buku ini. Ia akan menimbulkan kekeliruan dan mungkin akan terus menghalalkan pluralisme dalam agama pada diri mereka serta pelbagai lagi kesan buruk yang akan berlaku. Justeru itu buku ini harus diharamkan. Kerana pada Kumbang ia tidak sesuai langsung untuk bacaan segenap lapisan masyarakat.


Di akhir artikel ini Kumbang tujukan 2 persoalan untuk semua?


Adakah artikel ini menggesa kita untuk memahami pluralisme agama dan menerimanya?
Adakah ini liberal yang cuba dibawa oleh Anwar Ibrahim?


Kumbang persilakan pembaca untuk menilainya...


Pendapat anda bagaimana tentang isu ini?


Artikel yang hampir sama :


1) Liberalnya Khalid Jaafar : Sedekahkan Al-Fatihah pada bukan Islam ?

Rujukan Kumbang:


1) Pupuk Tradisi Ilmiah, Bukan Sikap Bebal
2) Menjawab Keraguan Tentang Pluralisme
3) Suara Mufti: Melayu ‘Pupus Jika Tinggalkan Islam
4) 11 Buku Islam Diharamkan Kerana Fakta Menyeleweng
5) Wacana Pluralisme antara Pemahaman Publik dan Pemikiran Akademik di Indonesia


sumber - analisisringan

1 ulasan:

cik kiah berkata...

Islam adalah agama yang utuh yang mempunyai akar, dimensi, sumber dan asas-asas ajarannya sendiri.

Liberalisasi adalah sebuah fahaman yang berkembang di Barat dan memiliki asumsi, teori dan pandangan hidup yang berbeza.

Islam dan Liberal adalah dua istilah yang antagonis, dan tidak mungkin akan bersatu.

Islam ialah pengakuan apa yang disuarakan. Justeru itu, liberal tidak sesuai dengan Islam yang diwahyukan dan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w , akan tetapi yang mereka suarakan adalah bid'ah yang ditawarkan oleh orang-orang yang engkar kepada Rasulullah.

Islam adalah dien al-haq yang diwahyukan oleh Allah Taala kepada RasulNya yang terakhir iaitu Muhammad :

"Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang hak agar dimenangkanNya terhadap semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi." (QS. 48: 28)

Sebagai rahmat bagi semesta alam

"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (QS 21:107)

Dan sebagai satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah Taala:

"Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam." (QS 3:19)


Kenapa perlunya pluralisme;

pluralisme = semua agama sama.