Oleh Yahaya Ismail
Bagi seorang menteri kabinet yang berpangkat timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan yang ditatang sebagai anak mas oleh Mahathir Anwar sebenarnya boleh menjadi pembantu yang berkesan kepada Mahathir. Dia boleh membantu Mahathir untuk meringankan bebanannya kalau ia mahu. Tapi malangnya Anwar mempunyai agendanya yang tersendiri. Setelah memegang kementerian kewangan dia dapati seolah-olah menjadi penjaga gua Raja Sulaiman yang membolehkannya memberi berbagai projek dan saham kepada mereka yang disenanginya yang super setia dalam UMNO dan juga di luar UMNO.
Di sinilah dia membina kekuatan network politiknya melalui pemberian projek yang bernilai beratus-ratus juta kepada sahabat handai, terutama sekali bekas pemimpin ABIM, untuk menjamin bantuan kewangan, tenaga dan lain-lain logistics bila menentang musuh-musuh politiknya termasuk Mahathir sendiri. Beberapa orang bekas pemimpin ABIM dalam IKD (Institut Kajian Dasar) turut membantu merancang masa depan politik Anwar di samping menjadi think tank untuk menyemarakkan lagi imej tokoh dari Ceruk Tok Kun ini sebagai bakal perdana menteri kelak.
Kamaruddin Jaafar misalnya terlibat dalam dunia korporat sejak Anwar menyertai UMNO dan dia menumpang tuah sahabatnya itu. Pernah menjadi Setiausaha Agung ABIM (1981-85) dan menjadi Pengerusi Kajian Islam Malaysia, London pada tahun 1975 dan menjadi ahli Exco Pemuda (1986). Pernah jadi Setiausaha Politik Ghafar Baba sewaktu Ghafar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Menurut cerita dia tidak diberi peranan penting oleh Ghafar oleh kerana dia ditempatkan di situ oleh Anwar. Dikatakan dia di situ hanya untuk mendapatkan berbagai rahsia Ghafar.
Dalam masa yang pendek sudah menjadi Pengarah Setron Bhd, Pengarah Urusan Sabah Shipyard, Pengerusi Eksekutif Samanda Holding Bhd, Pengarah Mecury Industries Bhd, Pengerusi Lankhorst Bhd, Pengerusi KL Linear City Sdn Bhd (usahasama dengan syarikat Vincent Tan, sahabat baik Mahathir dan Anwar), Pengarah Mutiara Telecommunication Sdn Bhd. Inilah habuan dan ganjaran bila menjadi kroni Anwar. Menjadi jutawan ala mi segera yang tidak pernah dimimpikan sewaktu berjuang dalam ABIM di masa lampau.
Boleh dikatakan kebanyakan kroni Anwar yang mendapat berbagai habuan hingga jutawan terkejut adalah terdiri dari bekas pemimpin ABIM yang sama-sama menjulang kepimpinan Anwar sejak tahun 70 an yang lalu. Antara mereka termasuklah Kamaruddin Mohd Nor yang menjadi tokoh korporat selepas Anwar terlibat dalam politik UMNO dan menjadi menteri kewangan. Antara syarikat-syarikat yang penting di mana dia menjadi ahli pengarahnya ialah Dallah Al-Barakah Malaysia Holdings Joint Arab-Malaysia Investment (Jami), Land and General Berhad dan sebagai Pengerusi Dialogue Group Bhd. Dia baru saja dibebaskan dari tahanan ISA gara-gara dikaitkan dengan reformasi Anwar.
Zahid Hamidi pula menjadi Timbalan Pengerusi Kretam Holdings, Pengerusi P.T Citra Muda Sdn Bhd, Pengerusi KHB Development Bhd dan Pengerusi Tekala Corporation Bhd. Mereka inilah antara pemimpin-pemimpin muda yang menjadi jutawan terkejut yang mendukung cita-cita Anwar untuk menjadi bakal perdana menteri kelak. Dia juga dikatakan salah seorang kroni Anwar yang super jutawan. Dikatakan nilai hartanya tidak kurang dari RM400 juta yang diperolehi dalam masa lima tahun. Ini juga berkat menjadi kroni dan pengampu Anwar. Dia juga mendapat pengalaman sementara sebagai tahanan ISA dan kini dibebaskan. Kini dengan perasaan masykholnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda. Memang benar telaan orang ramai Zahid hanya akan menjadi Ketua Pemuda secara transit, tak lama dan berkesan.
Tapi raja segala kroni Mahathir bukan Daim Zainuddin tetapi Anwar. Anwar dijemput, ditatang dan diberi jawatan dalam kabinet hingga menggerhanai tokoh-tokoh UMNO yang lebih kanan, lebih ilmu dan lebih pengalaman darinya. Walaupun dia bukan seorang ahli ekonomi dan hanya mempunyai kelulusan ijazah am dalam pengajian Melayu. Namun demikian Mahathir sanggup memberi jawatan menteri kewangan kepada Anwar. Walaupun Anwar gagal menguruskan kewangan negara yang memuaskan namun Mahathir tetap sayang dan terus mengekalkan sebagai menteri kewangan juga.
Misalnya oleh sebab kecuaian dan kurang hati-hati di pihak Bank Negara dan juga Anwar dalam perniagaan mata wang asing maka negara kita telah kerugian sebanyak tidak kurang dari RM12 billion. Kata Anwar itu hanya kerugian di atas kertas walhal ia adalah kerugian sebenar. Sekiranya dia faham dengan mendalam urusan perniagaan mata wang dan mendapat nasihat yang bernas dari seorang yang berpengalaman di bidang bisnes mata wang asing besar kemungkinan negara kita tidak akan kerugian begitu banyak. Dikatakan Bank Negara hanya mempunyai seorang pakar dalam bidang bisnes tukaran wang asing untuk mengendalikan pembelian dan penjualan wang asing yang bernilai berbillion-billion ringgit!
Walaupun Bank Negara terbukti gagal menguruskan perniagaan tukaran wang asing hingga Malaysia rugi berbillion-billion ringgit namun Mahathir tidak memecat Anwar. Malah kekalkan dia lagi sebagai menteri kewangan dengan harapan dia akan belajar dari kesalahan yang dilakukannya. Kalau perbuatan itu berlaku di negara lain seperti Jepun ataupun Korea sudah pasti menteri kewangan terpaksa berhenti. Tapi Anwar masih disayangi Mahathir walaupun kalangan korporat dan mereka yang arif dalam ekonomi dan perdagangan berasa kurang yakin dengan kemampuan Anwar yang lebih bijak bercakap dari mencari berbagai idea untuk memulihkan ekonomi negara. Tapi dia anak emas Mahathir dan tidak siapa pun berani mempertikaikan pilihan Mahathir itu.
Yang peleknya menteri kewangan tidak mahu bertanggungjawab terhadap kerugian pembelian mata wang asing yang berjumlah berbillion-billion ringgit. Dia tidak sanggup meletakkan jawatan yang super lumayan dan glamor itu. Dia tetap sayang nak jaga gua intan berlian Raja Sulaiman walaupun pengalaman ekonominya cuma setakat mengira kemasukan yuran budak-budak di Yayasan Anda.
Yang menjadi mangsa ialah Tan Sri Jaafar Hussien (allahyarham), gavernor Bank Negara, yang terpaksa meletakkan jawatan. Seorang lagi yang terpaksa meninggalkan Bank Negara akibat kerugian tersebut ialah seorang pakar tukaran wang asing, yang selepas itu, bekerja dengan Kumpulan Abrar, sebuah korporat yang mempunyai hubungan erat dengan Anwar. Pelek bin ajaib dikatakan pakar profesional di bidang forex ini diambil semula bekerja dengan Bank Negara selepas kegagalannya mengurus forex lebih dari RM12 billion.
Apakah dia terlalu penting di bidang forex hingga Bank Negara tidak dapat mencari pakar yang lebih baik darinya? Bukankah dia yang menyebabkan Bank Negara kerugian berbillion-billion ringgit sewaktu Anwar menjadi menteri kewangan?
Pihak berwajib patut menyiasat peranan pakar tersebut dan juga kaitannya dengan Anwar dan pihak-pihak lain yang ada kepentingan dengan forex supaya Bank Negara tidak dirugikan oleh pakar tersebut sekali lagi yang boleh membawa mudarat kepada rakyat dan kerajaan. Ini bukan berniaga kain pelekat atau rempah cabai dari Madras yang tidak memerlukan pengetahuan jual beli yang sophistikated. Ini wang negara dan jumlah kerugian lebih dari RM12 billion! Mesti ada suatu siasatan yang terperinci untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap mereka yang cuai, yang menyeleweng atau pun korap.
Bila negara kita dilanda kegawatan ekonomi dan negara-negara lain terpaksa meminta pinjaman kewangan dari IMF (International Monetary Fund) atau Dana Kewangan Antarabangsa maka sekali lagi Anwar diuji kemampuannya sebagai menteri kewangan. Lebih kurang satu tahun Malaysia mengalami kegawatan ekonomi sejak Julai 1997 tetapi Anwar tidak mampu mencari jalan mengatasinya. Nilai ringgit merudum. Bursa saham KL menjunam teruk dan kebanyakan kaunter mempunyai nilai saham di bawah harga RM1.00. pengurus-pengurus dana asing melarikan diri dari spekulator mata wang terus menerus menekan nilai ringgit.
Apakah tindakan positif yang dilakukan Anwar untuk meringankan bebanan kegawatan ekonomi? Dia mengambil nasihat dan tunjuk ajar dari pengarah urusan IMF. IMF mengenakan berbagai syarat yang ketat kepada negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan yang meminjam darinya. Malaysia tidak meminjam langsung dari IMF tetapi, malangnya, Anwar menggunakan formula IMF untuk memulihkan ekonomi negara. Caranya naikkan faedah hingga melebihi 15%. Kononnya hendak menarik para pelabur asing menyimpan wang dalam bank-bank tempatan. Kalau banyak maka mudahlah diberi pinjaman kepada syarikat-syarikat dan individu. Tapi siapakah yang mampu meminjam dengan kadar faedah yang begitu tinggi? Di samping meninggikan faedah dikurangkan pula masa NPL (pinjaman yang tak dibayar) dari enam bulan kepada tiga bulan. Lagi mampoihlah para peniaga dan individu-individu hendak menjelaskan hutang mereka dalam masa yang singkat.
Ini nasihat dari IMF yang dilaksanakan Anwar walaupun negara kita tidak menjadi peminjam dari dana institusi tersebut. Akibat dari dasar kewangan Anwar yang tidak bijaksana maka kegiatan ekonomi negara menjadi semakin malap, dan sekiranya tidak bertindak dengan segera untuk mengatasi kelembapan ekonomi, maka Malaysia akan menghadapi kegawatan ekonomi yang lebih parah lagi.
Soalnya mengapakah Anwar perlu berkiblatkan ke IMF untuk mencari petunjuk bagi mengatasi kegawatan ekonomi? Apakah kerana dia dan Camdessus, Pengarah Urusan IMF, pernah cium pipi kiri dan kanan antara satu dengan lain maka masalah ekonomi Malaysia boleh diselesaikan menurut formula IMF? Atau apakah Anwar mempunyai agenda tersendiri untuk menggagalkan hasrat perdana menteri bagi memulihkan ekonomi dengan secepat mungkin?
Anih dan pelek Malaysia tidak meminjam duit dari IMF seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan dan kita tidak perlu menerima tunjuk ajar atau pun nasihat dari IMF. Sepatutnya Anwar dengan bantuan kepakaran Bank Negara boleh mencari kaedah-kaedah yang baik dan berkesan bagi mengatasi kegawatan ekonomi. Tapi mengapa Anwar mengambil arahan dari IMF? Apakah IMF dan Anwar mempunyai suatu agenda tertentu untuk menyulitkan kedudukan Mahathir demi masa depan Anwar sendiri?
Anwar tentulah arif bahawa Indonesia, Thailand dan Korea Selatan menghadapi gugatan rakyat dan menimbulkan kemarahan dari berbagai golongan kerana melaksanakan syarat-syarat ketat IMF iaitu meninggikan faedah, memecahkan monopoli, mengurangkan subsidi, mengetatkan pinjaman kepada sektor korporat, membuka pasaran dan peluang kepada para pelabur asing untuk melabur dalam berbagai syarikat khasnya di bidang perbankan dan industri-industri tertentu, mengamalkan ketelusan demi mengurangkan korapsi dan sebagainya.
Akibatnya tercetus rusuhan berdarah di Indonesia hingga tumbangnya Suharto. Di Korea Selatan berlaku tunjuk perasaan dari para pekerja kilang, bank dan lain-lain kerana terpaksa dibuang kerja. Thailnad juga bergolak walaupun tidak seburuk Indonesia dan Korea Selatan. Anwar tahu akibat buruk yang dihadapi negara-negara peminjam. Tapi mengapa, dan sekali lagi kita bertanya, mengapakah dia membuntuti syarat-syarat IMF?
Ada orang berpendapat Anwar sengaja hendak memudaratkan lagi kegawatan ekonomi bagi menyulitkan kedudukan Mahathir yang tidak disenangi oleh Barat, para spekulator dan pengurus-pengurus dana asing kerana sikapnya yang anti Barat itu. Anwar sudah menjadi darling Washington kerana para pembesar negara-negara Barat amat senang berunding dan berkira dengan Anwar yang kononnya dikatakan seorang tokoh politik Asia yang mempunyai masa depan yang cemerlang.
Bank Dunia dan IMF tidak segan-segan melantik Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan kedua institusi tersebut untuk menyindir Mahathir. Malah tembakan 21 das meriam (bukan meriam buluh betung tau) dan hamparan permaidani merah juga diberikan kepada timbalan perdana menteri ini sewaktu melawat Amerika – sesuatu yang luar biasa kerana tembakan meriam hanya diberikan kepada ketua-ketua negara sahaja.
Ini juga dianggap oleh para pemerhati politik sebagai sindiran tajam terhadap Mahathir. Malah media Barat seperti CNN, CNBC, ABC, BBC dan majalah-majalah seperti Asiaweek, Time, Newsweek, Review dan akhbar-akhbar seperti Asian Wall Street Journal dan lain-lain lagi sering memberi pendedahan yang memuja Anwar tetapi mengecam habis-habisan terhadap Mahathir. Ini semua adalah sebahagian dari strategi Barat untuk melaga-lagakan kedua pemimpin negara dengan maksud untuk menghancurkan kepimpinan Mahathir. Seperti kaduk naik junjung Anwar merasakan sokongan moral dan media Barat boleh melemahkan kedudukan Mahathir dan memperteguhkan kedudukannya.
Kalau Mahathir memanjangkan silaturrahim dengan para pemimpin negara-negara membangun dari Dunia Ketiga yang miskin dan sering bertelagah dalam suatu wadah kerjasama ekonomi, politik, sosial, pendidikan yang erat dan menguntungkan sesama mereka, Anwar, sebaliknya berusaha mengemis sokongan dari negara-negara Barat untuk menjaga kepentingan politiknya.
Justeru itu dia dengan bangganya menjerit kepada para penyokongnya bahawa dia bersahabat baik dengan William Cohen, Setiausaha Pertahanan dan Madeleine Albright, Setiausaha Negara Amerika untuk membuktikan dia ada sokongan dari Pakcik Sam. Bila hilang jawatan kabinet dan parti dia kembali menjelma sebagai pemimpin pelajar zaaman 70an. Anwar, tanpa segan silu, memperlihatkan kepada rakyat bahawa dia lebih yakin dengan sokongan Barat untuk membantunya kembali berkuasa di bumi kita yang bertuah ini.
Mahathir bukan bodoh. Dia dapat membaca kilat dalam kilau arah dan muslihat Anwar yang mandul idea dan suka menyembah IMF dan Barat untuk mengemis bantuan. Berkali-kali Mahathir mengecam IMF kerana mengenakan syarat-syarat yang terlalu ketat untuk para peminjam di Asia Tenggara yang boleh menyebabkan kebangrapan negara-negara peminjam dan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat. Mahathir tahu Anwar tidak bersungguh-sungguh hendak mencari jalan untuk mengatasi kegawatan ekonomi.
Dia sedar Anwar ada agenda tertentu. Dia juga sedar sekiranya tidak bertindak tegasdan segera mengatasi kegawatan ekonomi Malaysia akan hancur. Kalau ekonomi negara hancur rakyat akan gelisah dan kestabilan politik tergugat dan kepimpinan Mahathir akan tercabar. Ada pihak yang menangguk di air keruh. Ada pemimpin yang mengguntingkan dalam lipatan, baling batu sembunyi tangan, menahan bubu ditempat yang genting.
Barangkali Anwar sudah bermimpi di samping Sukma bahawa kegawatan ekonomi akan mempercepatkan proses kejatuhan Mahathir sebagai ketua kerajaan. Ini yang diidam-idamkannya.
Sebagai timbalan perdana menteri dia adalah pengganti Mahathir yang sah. Biar kegawatan ekonomi mencengkam rakyat dan Mahathir. Yang penting dia akan berkuasa atas kesengsaraan rakyat dan kejatuhan Mahathir. Persetan dengan Mahathir. Di belakang aku ada Amerika, Bank Dunia dan IMF. Tanpa meniup serunai dan nafiri Mahathir melantik Tun Daim Zainuddin sebagai pengarah urusan MTEN dan tak lama selepas itu Daim dilantik pula sebagai menteri tugas-tugas khas yang menumpukan perhatian di bidang ekonomi.
Anwar juga sedar strategi Mahathir dan Daim untuk memulihkan ekonomi Malaysia sudah mula menampakkan hasilnya. Kecaman Mahathir terhadap IMF yang meletakkan syarat-syarat ketat kini terpantul semula ke muka IMF yang meletakkan syarat-syarat ketat kini terpantul semula kemuka IMF. IMF sendiri mengaku bahawa ia silap membuat penilaian keadaan kegawatan ekonomi Asia. Kini IMF sendiri bersetuju untuk mengurangkan faedah dan menilai semula syarat-syaratnya demi menjana semula ekonomi negara-negara Asia yang meminjam darinya.
Dasar Malaysia mengawal pergerakan ringgit agar tidak menjadi mangsa spekulator asing itu pun sudah mendapat perhatian dan sokongan dari kerajaan Hong Kong dan Taiwan. Malah Taiwan sendiri melarang George Soros dan syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan spekulator tersebut dari melibatkan diri dan dana dalam mainan spekulasi dolar Taiwan. Malah badan ekonomi Bangsa-Bangsa Bersatu sendiri menyokong tindakan Malaysia mengawal ringgitnya demi menstabilkan ekonomi negara. Dengan kata lain, idea-idea Mahathir itu sudah mendapat sokongan sokongan meluas walaupun pada mulanya banyak pihak menentang gagasan Mahathir tersebut.
Kalau benar Anwar bukan seorang homoseksual mengapakah dia tidak mengemukakan bukti-bukti yang konkrit kepada Majlis Tertinggi bahawa dia tidak pernah melakukan seks luar tabii? Sampai sekarang dia tidak berani bersumpah menjunjung Al-Quran yang dijalankan dengan penuh tertib di masjid untuk menjelaskan kepada masyarakat umum bahawa dia, Anwar, bukan seorang homoseksual. Sekiranya dia tidak berbohong maka Allah tunjukkan kekuasaanNya dan menghukumnya. Tapi dia tidak berani bersumpah secara serius dan tertib. Dia hanya banyak bercakap, banyak kelentong tapi takut bersumpah kerana dia sesungguhnya seorang homoseksual tua tetapi masih bertenaga.
Mahathir tidak mahu bertindak kuku besi mencantas Anwar tanpa izin Majlis Tertinggi. Dia mahu Anwar membela dirinya di hadapan mereka. Dia boleh bercakap tanpa had. Dia boleh bawa apa saja bukti untuk mempertahankan ”kesucian”nya sebagai pemimpin Islam, timbalan presiden UMNO. Anwar tidak boleh membohongi rakyat bahawa dia tidak diberi kesempatan untuk membela dirinya di hadapan Majlis Tertinggi. Lebih tiga jam dia berpidato, menumbuk meja, membeliakkan mata, menyembur air lior. Tapi sayang dia tidak dapatmenunjuk bukti bahawa dia bukan seorang homoseksual. Hanya mahkamah yang akan menentukan nasibnya dan Anwar sendiri nampaknya amat takut hendak menghadapi perbicaraan di mahkamah. Lalu dia menuduh mahkamah berat sebelah dan tidak ada keadilan di bumi Malaysia!
Kita ingin bertanya kepada Anwar sewaktu anda menjadi jawatankuasa tatatertib parti apakah anda memberi peluang kepada ahli-ahli yang melanggar disiplin parti membela diri mereka di hadapan jawatankuasa disiplin? Salah seorang mangsa dari hukuman anda sebagai pengerusi jawatankuasa disiplin parti ialah Tajuddin A. Rahman yang mendapat gelaran yang tidak dipinta sebagai the six million dollar man. Dia dituduh mengamalkan politik wang Jawatankuasa disiplin yang dipimpin anda terus menjatuhkan hukuman, dipecat dari UMNO tanpa memanggil Tajuddin membela dirinya di hadapan jawatankuasa anda. Dia hanya tahu dipecat melalui berita dalam akhbar! Apakah ini yang dikatakan sebagai keadilan menurut kacamata anda yang mengangkat diri sebagai pejuang Islam?
Bila semangat 46 dibubarkan dan semua ahli terima menjadi ahli UMNO semula anda dikatakn salah seorang pemimpin yang cuba menyekat kemasukan bekas ahli-ahli Semangat 46 di berbagai bahagian dan cawangan melalui juak-juak anda yang memimpin bahagian dan juga cawangan-cawangan tertentu. Kebanyakan pemimpin bekas Semangat 46 terdiri dari tokoh-tokoh veteran yang berpengalaman baik dalam kabinet mahu pun di peringkat bahagian. Dikatakan Anwar tidak senang dengan kemasukan ahli-ahli bekas Semangat 46 oleh kerana dia bimbang ketokohan Tengku Razaleigh Hamzah boleh menggerhanai peluangnya untuk menjadi bakal perdana menteri.
Majlis Tertinggi UMNO telah pun membuat keputusan menerima semua bekas ahli Semangat 46 ke dalam UMNO. Mahathir sendiri telah bersetuju menerima semua ahli bekas Semangat 46 sendiri bersetuju membubarkan parti mereka tanpa meminta apa-apa jawatan dalam kabinet. Demi perpaduan UMNO Ku Li sanggup menjadi ahli biasa dalam UMNO untuk menunjukkan keikhlasannya.
Mengapakah anda cuba menghalang kemasukan bekas ahli-ahli Semangat 46 dengan berbagai cara? Di manakah letaknya keadilan dan kejujuran dalam perjuangan yang anda selalu laung-laungkan dalam ucapan-ucapan anda itu?
Demikianlah apabila Mahathir memecat Anwar kerana hobi homoseksual maka nampaknya kumpulan gay Philipina menjadi pembela Anwar dan mengecam tindakan Mahathir. Antara lain, kata kumpulan gay Philipina, ”Kami gay Philipina dan lain-lain warganegara dengan hangatnya salut semua polongan demokratik di Malaysia yang menolak dan mengecam ketidakadilan pihak berkuasa menjadikan masyarakat gay dan witch hunting sebagai helah untuk menghapuskan hak politik bukan saja Anwar Ibrahim tetapi juga semua gay, lesbians, bisexual dan mereka yang menukar jantina.” (Star, 28 Sept, 1998, hal. 3).
AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "Anwar & Nalla – Seks + Judi & Konspirasil", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1998.
2 ulasan:
Panjang sungguh entri ini beserta dgn hujah-hujah dan fakta...
Persoalannya ialah, kenapakah perkara ini hanya bermain didalam alam cyber dan juga media sahaja?
Kenapa tidak dibawa perkara ini kepengetahuan pihak-pihak berkenaan untuk diambil tindakan? SPRM misalnya?
Hujah bukan main banyak... atau sekadar hujah kosong?
Hancur Islam kerana fitnah orang Islam sendiri.
Masya-Allah
Salam Topengperak Kayu..!
Apakah anda atau Anwar Ibrahim sendiri akan menerima kenyataan ini jika dibawa ke 'pihak-pihak tyang berkenaan'..bukankah Anwar Ibrahim dan kelompok anda sendiri menggelarkan Malaysia mengamalkan 'undang-undang rimba'.?
Dalam perbicaraan 10 tahun dahulu, 3 hakim bersidang berkenaan dakwaan seks luar tabie Anwar Ibrahim tetapi agak mengejutkan 2 hakim bersetuju menggugurkan dakwaan dan mengakui perlakuan liwat memang berlaku antara Anwar Ibrahim dan mangsa seks beliau..Menunjukkan Anwar Ibrahim memang homoseksual tua yang masih bertenaga.
Anwar Ibrahim perlu bersumpah bagi menghilangkan keraguan rakyat Malaysia bahawa sesungguhnya beliau seorang mangsa fitnah paling dasyat pernah berlaku.
Catat Ulasan