MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

30 Dis 2008

Konspirasi Anwar Terdedah




Konspirasi Anwar Terdedah


Oleh Yahaya Ismail

Oleh kerana ia memakai berbagai-bagai jenis topeng yang berwarna-warni untuk menyesuaikan diri dalam berbagai golongan masyarakat maka sukar bagi seseorang hendak mengetahui siapakah orang yang bernama Anwar Ibrahim ini?

Dengan menggunakan khidmat nasihat dari Institut Kajian Dasar (IKD) dalam negara dan Asia Pacific Policy Centre (APPC) yang diketuai oleh Doughlas H. Paal yang pernah berkhidmat dengan Dewan Keselamatan Negara maka besar kemungkinan Anwar menjadi agen CIA.

Kedua pertubuhan ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi imej Anwar sebagai pemimpin politik bertaraf antarabangsa dengan harapan ia dapat menggerhanai ketokohan PM sendiri. Tidak pernah sebelum ini seorang Timbalan Perdana Menteri atau pun Menteri Kewangan mempunyai suatu pertubuhan tertentu untuk menjaga imej ketokohan mereka baik di peringkat nasional apa lagi internasional.

Datuk Murad dalam keterangan bersumpahnya menyatakan Anwar telah menyumbangkan US$10 juta (RM38 juta) kepada pertubuhan ini yang beribu pejabat di Washington, USA. Anwar dilantik sebagai penaung (patron) kerana memberi sumbangan kewangan tersebut. Tujuan utama ialah untuk membawa hubungan yang mesra antara pemimpin-pemimpin politik dan bisnes Amerika dengan rakan-rakan seperjuangan di Asia Pasifik. Ia juga bertujuan untuk memberi ruang kepada Amerika untuk memainkan perasaan yang lebih besar dan kreatif di kawasan Asia pasifik yang mencakupi bidang perniagaan, politik, ekonomi dan keselamatan.

Anih bin pelek mengapakah APPC hanya mempunyai seorang pemimpin Asia, iaitu Anwar Ibrahim, sebagai penaungnya tetapi sebahagian besar dari tenaga badan ini terdiri dari tokoh-tokoh politik dan pegawai-pegawai pentadbir Amerika yang pernah berkhidmat dalam badan keselamatan negara Amerika.

Di sini saya senaraikan nama-nama pemimpin APPC untuk pengetahuan para pembaca sekalian. Penaungnya ialah Anwar Ibrahim. Presiden APPC ialah Douglas H. Paal, David G. Brown (Senior AssociateI, Seth R. Sulkin (Adjunct Fellow) dan James Kuhn (Programme Director). Ahli lembaga amanahnya pula terdiri dari Brent Scowcroft (bekas Penasihat Keselamatan kepada bekas Presiden George Bush dan bekas Lt. Jeneral Tentera Udara Amerika), Robery Orr (bekas duta ke Singapura dan bekas Governor Indiana), Frank Carlucci (bekas Setiausaha Pertahanan Amerika dan bekas Penasihat Keselamatan Negara kepada bekas Presiden Ronald Reagan), dan Dave McCurdy (bekas pengerusi, Democratic Leadership Council dan bekas ahli Kongres Amerika).

Dari senarai para pemimpin APPC ternyata ia mempunyai hubungan yang rapat dengan jabatan pertahanan dan keselamatan Amerika. Malah bolehlah dikatakan APPC ini adalah sebuah front badan perisikan Amerika untuk menyebarkan pengaruh dan kuasa politik Amerika ke bahagian Asia Pasifik. Jelas kepada kita Anwar terlibat secara langsung dalam penubuhan dan pengurusan badan ini melalui sumbangannya sebanyak US$10 juta.

Apakah muslimat Anwar untuk membiayai sebuah pertubuhan di Amerika yang didalangi oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika dan beberapa orang Penasihat Keselamatan yang terkemuka itu?

Jawapannya jelas. Anwar hendak menggunakan badan ini, selain dari hubungan peribadinya dengan beberapa pemimpin kerajaan Amerika dan Yahudi untuk membantunya melaksanakan konspirasinya bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat sekarang. Sebagai bekas penasihat pertahanan dan keselamatan negara Amerika tentulah mereka mempunyai berbagai cara, haram dan halal, sah dan tidak sah, untuk merancangkan penggulingan sesebuah kerajaan di mana saja di atas muka bumi ini yang tidak disenangi Amerika.

Di samping itu badan ini juga, dengan kepakaran dan hubungannya yang terus dengan kerajaan Amerika, dapat membantu Anwar dalam berbagai perkara untuk menjayakan hasrat politiknya, iaitu menjatuhkan pimpinan Mahathir. Sememangnya Amerika membenci Mahathir tersingkir. Penggantinya sudah ada iaitu Anwar yang sanggup menjadi budak suruhan Amerika dan sanggup pula membiayai pertubuhan asing bagi kegunaannya kelak.

Tetapi Anwar telah melampaui batas dalam tindak-tanduknya untuk menumbangkan kerajaan yang sah dan menggunakan sokongan, bantuan serta kebijaksanaan kuasa asing.

Murad mendedahkan bahawa Anwar mahukan APPC menguruskan rezab Bank Negara Malaysia dan KWSP yang berjumlah RM50 billion sebagai membalas jasa dan perkhidmatan APPC untuknya. Ini pengkhianatan nombor wahid! Tidak pernah terdengar seorang menteri kewangan sebuah negara sanggup menyerahkan kepada orang asing menguruskan rezab simpanan negara. Bagaimanakah dia boleh membuat cadangan demikian memperjudikan wang kepunyaan rakyat dan negara Malaysia kepada sebuah pertubuhan asing, APPC, yang memberi perkhidmatan untuk menjaga kepentingan seorang individu, Anwar Ibrahim?

Nasib baik pihak Bank Negara tidak melaksanakan hasratnya yang boleh ditafsirkan sebagai menyalahgunakan wang rakyat dan negara untuk tujuan politik peribadinya. Sikap tidak bertanggungjawab dan menjadi talibarut asing tidak membayangkan dia sebagai seorang patriot, malah sebagai pejuang Islam yang ia laung-laungkan itu. Allah masih sayang kepada rakyat dan kerajaan negara kita dan menyelamatkan kita dari belenggu asing gara-gara seorang pejuang Islam yang mengamalkan homoseks dan gila kuasa.

Inilah sikap dan perjuangan seorang yang mendabik dada sebagai pejuang Islam yang sanggup membiayai pertubuhan asing atas usaha pemimpin-pemimpin terkemuka Amerika terdiri dari bukan Islam untuk ia gunakan bagi menjatuhkan kepimpinan Islam di negaranya sendiri! Bukankah ini pengkhianatan namanya? Apakah mereka yang menyokong Anwar masih buta matahari dan tidak dapat melihat konspirasi Anwar itu?

Sekiranya anda patriot bangsa, pejuang Islam tulen, yang ada maruah dan berilmu sanggupkah anda menerima kepimpinan seorang rakyat Malaysia yang menjadi orang suruhan kuasa asing? Waktu Mahathir dan Musa Hitam menentang Tengku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas peristiwa 13 Mei 1969 mereka tidak menggunakan pertubuhan asing ataupun kuasa asing membantu mereka. Akhirnya mereka dipecat dari UMNO dan mereka tidak mengemis meminta bantuan Amerika, Britain ataupun media barat untuk menjulang mereka. Begitu juga dengan Ku Li, Rais Yatim dan bekas pemimpin-pemimpin UMNO yang mendirikan semangat Melayu 46. Mereka tidak menjilat pemimpin-pemimpin asing, khasnya barat, untuk meminta bantuan moral, politik atau pun wang ringgit bagi menentang kerajaan UMNO/BN.

Mereka semuanya ada maruah, ada harga diri. Mereka tidak seperti Anwar yang sanggup membiayai pertubuhan asing didalangi oleh penasihat-penasihat keselamatan negara Amerika untuk membantunya. Apakah ini jenis pemimpin Islam yang dikagumi oleh para taksub yang buta mata hati? Apakah anda tidak dapat menilai antara pemimpin yang patriotik dengan pemimpin yang menjadi Sang Rajuna Tapa yang sanggup menjadi pengkhianat kepada negara sendiri? Tepuk dada tanya selera.

Bahawa dengan adanya IKD dan APPC yang dibiayai berjuta-juta ringgit oleh Anwar menunjukkan dia mempunyai agenda politiknya? Barangkali jin afrit untuk tujuan politiknya? Barangkali jin afrit dalam lampu ajaib Aladdin sendiri pun tidak berupaya hendak membekalkan wang sebanyak itu. Apakah Amerika atau kuasa-kuasa asing tertentu yang membantunya dengan wang ringgit berbillion ringgit? Kita tidak pasti.

Memandangkan dia mempunyai banyak sahabat yang berpengaruh di Washington boleh jadi juga Uncle Sam menghulurkan derma “ikhlas” yang lumayan kepadanya memandangkan statusnya sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Barangkali Amerika “melabur” pada batang tubuhnya yang kononnya akan menggulingkan Mahathir dan melantik dirinya sendiri sebagai PM yang baru yang 100% pro Amerika dan Barat!


Besar kemungkinan RM3 billion dalam simpanan 20 master account itu diperolehi melalui tumbuk rusuk atau kick back dari projek-projek kerajaan yang diswastakan. Kroni-kroninya yang menjadi jutawan terkejut sudah pasti akan menderma secara ikhlas tetapi bersembunyi untuk membantu Anwar dalam konspirasi menumbangkan Mahathir dan kerajaan.

Dalam surat bersumpahnya yang diedarkan kepada para wartawan Datuk Murad dengan berani mendedahkan mereka dan kumpulan tertentu yang mendapat habuan dari Anwar. Dia mengaku bahawa Anwar memberi arahan kepadanya untuk mengeluarkan wang dari master accountnya untuk dibayarkan kepada individu-individu tertentu dan juga pertubuhan dari tahun 1992 hingga 1997.

Anwar menerima RM50 juta dari akaun tersebut, Dato (sekarang Tan Sri) Abdullah Ahmad (Bangsa-Bangsa Bersatu)- RM 5juta, Dato’ Nasaruddin Jalili – RM 10 juta, Asia Pacific Policy Centre (APPC) dan Douglas H. Paal – RM38 juta (US$10 juta), Institut Kajian Dasar (IKD) yang dipimpin oleh Kamaruddin Jaafar – RM5 juta, Aliran dan Dr. Chandra Muzaffar – RM5 juta, ABIM – RM5 juta, International Institute of Islamic Thoughts (IIIT) yang dipimpin oleh Prof Syed Naquib al-Attas – RM2 juta, sebuah yayasan Islam di Britain – RM 1 juta. Jumlah semua RM121 juta.

Datuk Murad juga diberitahu bahawa Anwar memberi arahan kepada Tong Kooi Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Philio Allied Berhad yang juga menguasai Phileo Allied Bank, menerima Shamsidar dan seorang Encik Rahman bekerja di syarikat Tong. Shamsidar ialah isteri bekas setiausaha sulit Anwar, Azmin Ali.

Menurut keterangan Ummi Hafilda, adik Azmin, kakak iparnya ini mempunyai hubungan sulit dengan Anwar seperti mana yang dinyatakan dalam suratnya kepada Perdana Menteri pada tahun 1997 yang lalu. Shamsidar dikaitkan diberi gaji yang lumayan, sebuah Audi dengan seorang pemandu oleh syarikat Tong tanpa perlu bekerja sepenuh masa.

Datuk Murad juga mendedahkan bahawa Anwar telah mengarahkannya untuk menjalankan beberapa urusan korporat bagi menjaga kepentingan kroni-kroni Anwar. Antara yang paling besar ialah pengambilalihan Sikap Power, syarikat yang memegang konsesi Independent Power Project (IPP) di Lumut Perak kepada MRCB. MRCB selepas itu memasukkan Sikap Power ke dalam anak syarikatnya Malakoff Berhad. Adakah dipercayai RM50 juta telah dimasukkan ke dalam akaun politik Anwar Ibrahim.

Menurut Datuk Murad lagi Tong Kooi Ong diperkenalkan oleh Murad kepada Anwar hingga ia menjadi salah seorang kroni yang dipercayai dan memperolehi berbagai-bagai faedah dari persahabatan dengan bekas Menteri Kewangan tersebut. Dikatakan oleh Tong kepadanya bahawa dia, Tong, telah membuka master account untuk menyalurkan segala sumbangan kewangan untuk kepentingan politik Anwar. Akaun ini dikawal oleh Tong sendiri.

Master account ini memperolehi berbagai-bagai hasil dari saham dan hartatanah. Pada suatu ketika Tong memberitahu Datuk Murad nilai hasil dari saham dan hartatanah master account ini sekitar RM200 juta. Tidak kurang dari 20 master account dimiliki oleh kroni-kroni Anwar untuk menjaga kepentingan politik Anwar yang hasilnya melebihi RM3,000 juta atau tiga billion!

Inilah jenis manusia pemimpin yang julang tinggi kesucian Islam yang kononnya anti-korupsi, anti penyelewengan, tidak punya kroni dan amat telus dalam semua urusan!

Nah, kalau Anwar berani mempertikaikan tuduhan Datuk Murad sila menafikan segala tuduhan Murad dalam statutory declaration juga.

Seluruh rakyat Malaysia, termasuk mereka yang taksub, yang buta matahati, hendak tahu apakah pejuang Islam ini berani menyaman dan membuat kenyataan penafian secara sumpah seperti Murad. Sekiranya Anwar tidak berani membuat kenyataan bersumpah bermakna dia mengaku segala tuduhan Murad sebagai benar belaka. Sekarang dia terkulat-kulat hendak mencari jalan dan pembohongan untuk menafikan semua tuduhan Murad itu.

Sekarang seluruh rakyat Malaysia hendak tahu pendirian Anwar. Buat kenyataan bersumpah menolak segala tuduhan Murad, dan heret Murad ke mahkamah atau tuduhan memfitnah dan lain-lain lagi. Kalau dia diam membisu, tidak membuat kenyataan bersumpah seperti Murad bermakna dia bersalah dan menjadi penjenayah kolar putih yang paling memalukan. Surat bersumpah itu boleh dijadikan bahan bukti yang kukuh.

Sesiapa yang membuat surat bersumpah dan didapati isinya palsu maka dengan sendirinya dia akan dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun. Justeru itu hingga saya menulis rencana ini tidak seorang pun yang namanya tersiar dalam surat sumpah Murad sanggup mengemukakan surat bersumpah seperti Murad untuk menolak tuduhan bekas penolong gavernor Bank Negara tersebut. Mereka tahu risikonya dan mereka tidak mahu mencari na’as memberi keterangan palsu secara surat bersumpah.

Apakah politikus yang menikus ini boleh membuktikan bahawa dia seorang yang super bersih, tidak punya master account bernilai RM3 billion di mahkamah? Atau dia dan juak-juaknya akan berkata Datuk Murad membuat fitnah untuk menjatuhkan maruah pejuang Islam? Okay, kalau Murad dikatakan membuat fitnah silalah menyamannya di mahkamah. Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai Datuk Murad dan beberapa orang lagi yang pernah diperalatkan Anwar akan tampil ke depan untuk membongkar dan melondeh segala rahsia penyelewengan yang telah dilakukan oleh bekas pemimpin ABIM ini. Kalau Anwar menganggap maruahnya tercemar dengan pendedahan itu silalah memulihkan balik maruahnya dengan mengheret Murad ke mahkamah.

Pendedahan Murad bukan lakonan keracunan arsenik kelas filem Bollywood bermutu rendah. Sebagai seorang patriot bangsa beliau sanggup menghadapi segala risiko. Dia berasa bersalah terhadap rakyat dan juga kerajaan kerana terlalu mengagumi Anwar hingga sanggup dijadikan alat dan melaksanakan segala arahannya yang merupakan sebagai penyelewengan dan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Mahathir.

Dia cepat insaf tentang mainan kongkolikong Anwar dan kini ingin menebus dosanya terhadap rakyat dan kerajaan. Dia sanggup menghadapi segala risiko dari tindakannya itu. Sebagai seorang patriot dia, Datuk Murad, yakin dengan pendedahan itu dia dapat kembali menebus segala dosanya sebagai talibarut Anwar. Inilah semangat seorang pahlawan seorang patriot, seorang kesatria yang cinta kasihnya hanya untuk tanahair yang tercinta, rakyat yang aman damai dan kepimpinan kerajaan yang banyak menabur bakti dan jasa kepada semua.

Anwar banyak melemparkan tuduhan kononnya Tun Daim membawa keluar RM10 billion dengan kapal terbang dan meletakkan beg duit di sampingnya! Banyak lagi menteri dan juga PM yang dicemari Anwar dengan berbagai tuduhan liar tanpa bukti yang super kukuh. Nah, sekarang giliran dia pula dituduh menyimpan 20 master account yang bernilai ebih dari RM3 billion untuk tujuan politiknya. Ini bukan tuduhan liar. Ada bukti dan Datuk Murad berani menentang Anwar di mahkamah untuk membogelkan segala bahan-bahan buktinya kelak. Mengata dulang paku serpih, mengata orang sebenarnya inta yang maha lebih!

Seperti cacing kepanasan Anwar dan para kroninya kini menjadi sorotan paling istimewa dari seluruh rakyat. Datuk Murad berkata dia juga diarah oleh Anwar untuk menyelesaikan hutang Marina Yusof dengan bank-bank tempatan sebanyak RM20 juta.

Murad mengemukakan permohonan Marina kepada Tabung Pemulihan Usahawan untuk menyiapkan bangunannya di Jalan Tun Razak iaitu Marinara. Pada waktu itu Marina sudah keluar dari Semangat 46 dan dia banyak terhutang budi kepada Anwar yang membantunya menyelesaikan hutang-hutangnya.

Sewaktu dalam Semangat 46 Marina pernah mengecam Mahathir dan Tun Daim yang dikatakan cuba menghalangnya dari mendapatkan pinjaman bank. Lalu secara diam-diam dia berjinak dengan Anwar untuk mendapatkan bantuan bagi menjelaskan hutangnya bernilai berjuta-juta ringgit di samping mendapatkan pinjaman bagi menyiapkan Marinara. Dengan kata lain, Marina juga ada kepentingan peribadi menyertai kabilah Anwar. Yang lucunya kedua bekas ahli UMNO ini mengecam UMNO tetapi melalui UMNO itulah kedua-duanya menjadi kaya raya. Marina juga boleh menyaman Murad dan jangan salah ibu mengandung sekiranya senjata kembali makan tuan. Tapi seperti orang lain juga nama mereka didedah oleh Murad, Marina juga tidak berani hendak menyaman Murad atau menyatakan bantahan secara surat bersumpah.

Chandra Segaran Pillai Muzaffar, Timbalan Presiden Keadilan juga dituduh menerima habuan sebanyak RM5 juta untuk dirinya dan Aliran yang pernah dipimpinnya. Dia juga dikatakan hendak menyaman Murad. Silakan. Chandra pernah menjadi Presiden Aliran dan sangat anti kerajaan dalam majalah tersebut. Bila dia meninggalkan Aliran tiba-tiba muncul pula sebagai ketua Just World yang pada mulanya mengambil sikap anti Barat dan pro kerajaan.

Setelah mendapat kedudukan penting sebagai pengarah pusat tamadun atas ihsan Anwar melalui seorang kroni Anwar yang menjadi salah seorang Naib Canselor di Universiti Malaya Chandra telah mengambil sikap pro Barat pula. Ini bersesuaian dengan sikap Anwar sendiri yang pro Amerika dan Barat. Chandra tidak lagi menari menurut rentak tabla tetapi sudah berjinak-jinak dengan cha cha cha. Dia juga ada kepentingan diri dan bergayut kepada Anwar kerana mengenangkan budi Anwar kepadanya. Dia dikatakan menjadi “penasihat politik” kepada Wan Azizah yang naif politik dan barangkali dengan nasihat Chandra maka Keadilan menjadi parti politik berbilang kaum seperti Gerakan tanpa mempunyai suatu garis perjuangan yang tegas dan nyata kecuali hendak memulihkan semula bang Nuar yang tercinta sebagai bakal Perdana Menteri!

Pendedahan Murad terhadap kemungkaran Anwar sangat memeranjatkan termasuk setengah lutung, kera, beruk dan kaldai yang taksub kepadanya. Hari ini orang inginkan bukti yang kukuh bukan lemparan tohmah dan fitnah semata-mata. Jangan membuat helah ada dalang di belakang Murad untuk menyembunyikan kelemahan dan kemungkaran individu-individu yang bersekongkong dengan Anwar. Orang ramai hendak tahu yang sebenarnya. Anwar kena telus, buktikan kejujurannya bahawa dia tidak mempunyai simpanan RM3 billion seperti yang didedahkan Murad. Kalau dia pernah mengecam kepimpinan Mahathir yang dianggap korap, tidak telus, tidak demokratik, banyak kroni dan mengamalkan nepotisme, nah, sekarang Murad sanggup menghadapinya di mahkamah untuk membawa berbagai bukti mengenai penyelewengannya.

Sebaik-baiknya tiga Abdul dalam PAS patut memujuk Anwar membuat dokumen sumpah seperti Murad dan menggesa dia menyaman Murad secepat mungkin. Kalau alim ulama PAS tahu berlaku kemungkaran, apalagi yang dilakukan oleh bakal PM kerajaan Barisan Alternatif (sekiranya Allah dan rakyat merestuinya) maka kenalah ambil tindakan secara Islam. Bukankah PAS juga anti korapsi dan inginkan keadilan yang sejati?
Sekiranya PAS membisu (kerana terlalu terkejut dengan pendedahan itu) maka rakyat Malaysia akan menuduh PAS juga merestui penyelewengan dan barangkali tumpang sekaki.

Nah sekiranya DAP, PAS, Keadilan dan PRM benar-benar hendak menunjukkan mereka berpegang kepada prinsip perjuangan untuk menunjukkan mereka berpegang kepada prinsip perjuangan untuk menunjukkan ketelusan dan anti penyelewengan maka mereka mestilah mendesak Anwar membuat dokumen sumpah seperti Murad menidakkan segala tuduhan-tuduhan bekas penolong gavernor Bank Negara itu. Besar kemungkinan parti-parti pembangkang akan melemparkan berbagai tuduhan terhadap Murad sebagai alat PM dan UMNO/BN untuk menghancurkan masa depan Anwar. Sebenarnya masa depan Anwar dalam politik semakin gelap sekiranya dia tidak dapat membuktikan bahawa dia super bersih, lebih bersih dari sabun feb berbuku keras.

Mahathir membuat kesilapan besar bila melantik Anwar sebagai Menteri Kewangan. Beliau juga terpukau seperti orang lain tentang perjuangan Islam yang dipertontonkan Anwar kepada khalayak ramai. Dia tidak menyangka anak pungut dalam belentra politik jalanan sanggup menggigitnya kembali setelah diberi layanan, bimbingan dan penghormatan yang tidak ia mimpikan kalau masih kekal sebagai mudir Yayasan Anda. Sekali air bah sekali pasir berubah. Dari capal Jalan Masjid India sudah bertukar kepada sepatu kulit buatan tangan khas dari Itali yang berharga beribu ringgit.

Ini Anwar yang angguk tunjuk taat setia kepada ketuanya di hadapan rakyat dan para perwakilan UMNO tetapi di belakang berlakon sebagai Brutus. Dia mempunyai agenda politiknya yang tersendiri sejak ia berdir megah sevagai Timbalan Presiden UMNO dan melupai goresan hati para pejuang UMNO tulen bila ia menjijak lambang UMNO di masa lalu.

Pelanduk lupa jerat tetapi jerat tidak lupa pada pelanduk. Dia terlalu banyak menambah musuh dalam UMNO oleh kerana runtuhan nafsu untuk menguasai parti itu dan akhirnya mahu menumbangkan Mahathir yang memungutnya di masa lalu. Di abercakap tentang keadilan dan demokrasi tetapi selaku pengerusi jawatankuasa disiplin UMNO dia sendiri tidak mengamalkan keadilan dan menjatuhkan hukuman terhadap seseorang ahli tanpa dipanggil membela diri.

Dia mengatakan Mahathir mengamalkan kronisme dan nepotisme tetapi dia berjaya mengumpul harta dan wang ringgit bernilai RM3 billion untuk tujuan politik di samping memperkayakan para kroninya sendiri. Dia mengatakan moral setengah menteri becat, membawa perempuan melalui bilik VIP di airport tetapi dia sendiri mengamalkan homoseksualiti yang dilaknati Allah. Dia berlagak sebagai pejuang Islam tetapi meminta bantuan pemimpin-pemimpin Kristian dan Yahudi untuk menumbangkan seorang pemimpin Islam yang besar jasanya kepada negara, agama dan bangsa.

Dia menjadi imam, membaca khutbah dan menatang firman Allah dan sabda Nabi tetapi dia juga membuat hubungan homoseks dan mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. Kita salut Anwar kerana kehebatannya sebagai pelakon yang memakai berbagai topeng hingga dapat mengelirukan rakyat. Tidak semua pemimpin politik boleh berlakon sepertinya.

Anwar merancang tapi Allah menghalang. Walaupun dia merancang konspirasi untuk menyingkirkan PM dan menghancurkan perpaduan dan kekuatan ummah dan menimbulkan ketegangan kaum namun dia tetap gagal. Kini rakyat sudah tahu siapa Anwar sebenarnya. Tembelangnya sudah terdedah. Rakyat Malaysia yang cinta damai dan inginkan kemajuan dan pembangunan akan tetap memberi mandat serta sokongan hangat kepada UMNO/BN. Mereka tidak mahu 42 tahun kehidupan dan kemajuan yang gemilang hendak diganti dengan gerombolan parti-parti pembangkang yang kahwin mut’ah, tidak ada track record memimpin negara dan ditonjolkan pula seorang homoseks sebagai bakal PM mereka. Nahe, nahe, wanak. No, no.


AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "Konspirasi Anwar Terdedah”, Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.




Tiada ulasan: