Oleh Yahaya Ismail
Nasib Anwar lebih baik dari Tengku Razaleigh dan Musa Hitam sewaktu mereka menentang Mahathir pada tahun 1987. Media asing terutama sekali tidak memberi peluang yang begitu besar kepada mereka untuk membela nasib mereka. Tapi Anwar lain dari yang lain.
Bekas gavernor Hong Kong, Chris Patten berkata Anwar menjadi darling Barat, yang ditatang, dijulang dan diberi seluas-luas publisiti kepadanya. Media elektronik seperti CNN yang berpengkalan di Atlanta, Amerika dan CNBC yang mempunyai pejabat di Singapura dan Hong Kong, dengan penuh bangga dan dendam kesumat menyiarkan berbagai berita yang dimanipulasikan untuk memburuk-burukkan kepimpinan Mahathir dan Malaysia dengan segala manipulasi pemberitaan untuk mencemarkan imej negara.
Anwar dijadikan darling mereka kerana Anwar seorang pemimpin liberal yang pro Amerika dan barat. Perlantikannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF membuktikan dia seorang tokoh yang disenangi Barat.
Jangan hairan bin terkejut kalau CNBC misalnya menyiarkan berkali-kali berita sensasi dari Anwar malah sanggup menyiarkan panjang lebar “ucapan wasiat” untuk anaknya sebelum dia ditahan di bawah ISA. Mana ada media Barat yang sanggup memberi peluang begitu besar kepada Mahathir yang terkenal anti barat dan berjiwa nasionalis itu?
Tidaklah hairan kalau Anwar, isterinya dan juak-juaknya yang lain memuji Barat kerana memberi liputan dan laporan yang pro Anwar dan mengecam Mahathir. Mereka berpendapat pengaruh media Barat seluruh dunia boleh menjejaskan ekonomi dan kestabilan politik negara, dan kalau boleh menjatuhkan Mahathir. Media Barat melakukan berbagai helah dan manipulasi yang kotor, memutarbelitkan berita mengenai ekonomi dan politik Malaysia untuk menghalang para pelabur asing dan para pelancong jangan datang ke Malaysia.
Sekiranya mereka berjaya dalam kempen propaganda untuk menjatuhkan ekonomi dan memporak-perandakan politik negara hingga menyebabkan kejatuhan Mahathir, maka mereka akan menjulang tinggi Anwar Ibrahim seolah-olah dia adalah lebih baik dan lebih prihatin terhadap kepentingan dan liberalisme barat!
Sebenarnya media barat memperalatkan Anwar untuk menenggelamkan politik Mahathir. Barat mempunyai agenda yang tersendiri. Medianya akan membela tokoh yang “dianiaya” seperti Anwar untuk menagih simpati antarabangsa amnya tetapi lebih-lebih lagi rakyat Malaysia khasnya dengan harapan kepimpinan Mahathir tergugat. Yang penting kepada Barat bukan Anwar. Anwar hanya dijadikan alat untuk menjatuhkan Mahathir. Sekiranya Mahathir dapat ditumbangkan oleh media barat dengan kerjasama Amerika terutama sekali maka belum tentu Barat akan terus menyokong Anwar untuk kembali berkuasa.
Adalah menjadi dasar Amerika untuk melibatkan diri dalam urusan rumah tangga negara-negara asing khasnya negara-negara yang para pemimpinnya dianggap anti-Amerika atau pun barat. Media massa yang bersifat global seperti CNN, CNBC dan lain-lain media cetak bertaraf antarabangsa juga mendukung cita-cita Pakcik Siam.
Di samping itu, para pengurus dana dan para spekulator mata wang asing, khasnya dari Amerika, juga bekerjasama antara satu dengan lain dan mempunyai hubungan yang erat antara kerajaan Amerika dan media massa bagi menjaga kepentingan mereka bersama.
Kini media barat benar-benar memperlihatkan kewartawanan sumbang yang paling jijik mengenai pemecatan Anwar. Ia lebih cenderung memberi gambaran sebelah pihak tanpa memperlihatkan pandangan dari pihak kerajaan Malaysia supaya lebih bertanggungjawab dan adil. Mereka berhak berpihak kepada Anwar tetaoi mereka juga perlu bertanggungjawab dan adil untuk memuatkan juga pandangan dari pihak yang anti Anwar.
Bukankah mereka sering melaung-laungkan di berbagai forum antarabangsa dan tulisan bahawa kewartawanan yang baik perlu bersikap objektif dan adil? Di manakah letaknya objektiviti dan keadilan kalau mereka lebih mengutamakan agenda mereka dan tuan mereka dari memperlihatkan keadilan itu?
Anwar mungkin berbangga dan bersyukur yang amat sangat kerana media barat menjadikannya sebagai darling mereka. Memang inilah tujuan Anwar dalam perjuangan politiknya untuk berahlan wasilan dengan media barat dan para pemimpin barat khasnya Amerika. Dia menganggap dan terhutang budi kepada media barat kerana menyokong reformasinya bila mana ia hilang pengaruh dan kuasa dalam media tempatan. Tapi Anwar harus sedar media barat tidak menentukan arus politik negara. Yang menentukan sejarah politik nasional ialah rakyat Malaysia dari berbagai suku kaum sekali dalam lima tahun.
Media barat boleh saja melempar berbagai kritikan dan kecaman yang pedas terhadap kepimpinan Malaysia tetapi rakyat Malaysia yang cinta damai akan tetap membuat pilihan mereka tanpa merujuk kepada penganalisis politik dari media masing.
Kita akui media tempatan juga tidak objektif dan bersifat partisan. Itu juga tidak baik dan kita sendiri tidak senang dengan sikap media tempatan yang berat sebelah. Kalau kerajaan yakin tentang kemampuan dan dasar yang dilaksanakan itu membahagiakan rakyat mengapa menyeksa buah fikiran orang lain? Pada hemat saya rakyat masih menerajui kerajaan pusat dalam pilihan raya akan datang.
Oleh itu berilah kesempatan kepada media tempatan untuk memuatkan juga buah fikiran dan pandangan yang berlainan dari sudut pandangan kerajaan supaya menjamin prinsip kebebasan bersuara. Walau pun kita rindukan kebebasan bersuara namun kebebasan itu pun perlu ada juga batasan agar tidak ada mana-mana pihak menyalahgunakan kebebasan untuk menghancurkan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat kita.
Walaupun media barat menyanjung tinggi ketokohan Anwar dan membelanya namun mereka tidak boleh mempengaruhi rakyat tempatan untuk menyokong reformasi Anwar dan menumbangkan kerajaan Mahathir. Barat tetap barat dan dianggap asing bagi rakyat kita. Kita ada maruah dan harga diri.
Oleh itu rakyat Malaysia sendiri akan menentukan nasib kepimpinan negara. Media barat, walupun amat disenangi Anwar, tetapi dianggap sebagai musuh rakyat Malaysia. Sokongan media barat terhadap Anwar dianggap oleh majoriti rakyat sebagai sokongan asing dan campurtangan kuasa asing untuk mengangkat Anwar. Oleh itu tidaklah silap sekiranya rakyat Malaysia menganggap Anwar sebagai boneka Amerika.
AIDC memetik buku tulisan Yahaya Ismail bertajuk "62 Dalil Mengapa Reformasi Anwar Gagal", Penerbitan Usaha Teguh Sdn Bhd, Petaling Jaya, 1999.
2 ulasan:
Salam…
JOM KITA FLAG
http://surind.blogspot.com/2008/12/hajj-most-shameful-journey-in-history.html
lihat pada header blog ada satu butang "Flag blog"...
anjurkan pada para pembaca untuk menggunakan butang itu sebaiknya.
fungsi butang tersebut ialah untuk melaporkan pada blogger.com bahawa blog tersebut mengandungi unsur2 yg tidak dibenarkan atau SPAM.
orang seprti ini tidak takut pada ugutan, jadi kita gunakan kecerdikan. flagkan blognya supaya blogger.com bertindak menutup blog tersebut.
Salam Perjuangan….
Jack Sparrow
Selamat kembali AIDC..
Baik ada makna tu maksudnya AIDC.
Mereka pro Anwar kerana adanya timbal balik yang akan menguntungkan mereka.
Kuli dan Musa Hitam walaupun menentang Tun, tidak tergamak menjual negara.
Dengar cerita Anwar rapat dengan Al-Gore daripada parti Demokrat. Obama juga daripada parti yang sama. Maka semakin akrablah kedua-dua rakan lama ini(Anwar dan Al-GOre), kerana demokrat kembali berkuasa di bawah Obama. Kesannya, hampir pasti Amerika akan semakin pro kepada Anwar.
Kocek Anwar mungkin semakin penuh,nasib rakyat entah kemana.
Yang jadi habuan hanya retorik populis. Akhirnya nanti menjadi 'cakap tak serupa bikin'.
wassalam
http://analisisringan.blogspot.com/
Catat Ulasan