Abdul Rahim Sabri | Dec 11, 08 10:59am
Bibit-bibit pergeseran dua pemimpin kanan PAS Selangor mula memuncak sewaktu permukiman pemimpin-pemimpin tertinggi parti itu di Langkawi sebulan lalu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali didakwa membentang laporan yang mengkritik pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat di negerinya, kata seorang aktivis parti itu.
Pada hal permukiman tersebut diuar-uarkan untuk merapatkan anggota-anggota jawatankuasa pusat PAS dan majlis syura tetapi menjadi medan serangan Dr Hasan terhadap kerajaan Selangor, katanya, yang dikenali Tulang Besi, kepada Malaysiakini.
Susulan laporan yang digambarkan "100 peratus negatif" berkaitan kedudukan PAS dalam kerajaan negeri, dua minggu selepas permukiman tersebut, maka pemimpin atasan PAS yang tidak berpuas hati memanggil Dewan Harian negeri itu untuk membentang laporan tersebut kepada lajnah politik PAS.
Dr Hasan didakwa membentang laporan yang sama negatif - disanggah oleh Khalid Samad, waktu itu masih timbalan pesuruhjaya II PAS negeri dan anggota lajnah politik.
Wakil rakyat Gombak Setia itu juga disanggah hebat oleh saf kepemimpinan PAS di permukiman tersebut, yang diadakan antara 7 hingga 9 November.
Tulang Besi, penulis blog Malaysia Waves yang tekal mendedahkan pergeseran dalaman PAS, mendakwa Dr Hasan cukup tidak berpuas hati dengan penolakan tersebut.
Tambahnya, di sinilah bermulanya pergeseran tajam antara Dr Hassan-Khalid yang berakhir dengan pengguguran tokoh nombor tiga daripada kepimpinan PAS negeri pada 21 November lepas.
Pemecatan Khalid bersama ketua penerangannya Saari Sungib pada tarikh yang sama tidak dibuat di peringkat Dewan Harian PAS negeri, seperti dilaporkan, sebaliknya tindakan peribadi Dr Hasan secara mengejut dalam mesyuarat badan perhubungan negeri pada sebelah malam hari yang sama.
"Yang hairannya, dalam mesyuarat Dewan Harian negeri sebelum pemecatan (kedua-duanya), tidak dibincangkan langsung akan pemecatan Khalid ini," dakwa Tulang Besi lagi di blognya kelmarin.
"Keputusan memecat Khalid ini dibuat secara impromptu (tiba-tiba) tanpa merujuk kepada Dewan Harian negeri.
"Ahli-ahli (badan) perhubungan negeri seperti terkejut dan tiada siapa yang bersuara kerana mereka berada dalam keadaan yang sangat terkejut."
Dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha perhubungan PAS Selangor, Yusof Ludin menjelaskan tindakan menggugurkan Khalid dan Saari "bukan atas tindakan peribadi" Dr Hasan.
"Ia dibincangkan dalam Dewan Harian PAS Selangor dan badan perhubungan PAS negeri," katanya.
Menafikan dewan itu tidak dimaklumkan tentang langkah memberhentikan dua pemimpin itu, Yusof berkata Khalid dan Saari malah hadir di mesyuarat dua badan tertinggi tersebut, hujung bulan lepas.
Setiausaha itu menambah, laporan yang dibentangkan oleh Dr Hasan di Langkawi awal bulan lalu, sehingga didakwa menimbulkan pergeseran antara Dr Hasan dan Khalid, adalah masalah dalaman parti tersebut.
Beliau enggan mengulas lanjut kandungan laporan yang didakwa negatif yang digembar-gemburkan oleh penulis blog itu.
Katanya, pengguguran Khalid dan Saari adalah isu kecil yang diperbesar-besarkan oleh media.
Sementara itu, satu sumber yang dekat dengan parti menafikan adanya perselisihan faham atau pertikaman lidah antara Dr Hasan dan Khalid.
Sumber itu bagaimanapun mengakui kedua-dua pemimpin tersebut mempunyai pendekatan, gerak kerja dan tindakan yang saling berbeza.
Sumber itu juga enggan mengulas isu laporan berhubung Pakatan Rakyat di Selangor yang dibentangkan oleh Dr Hasan di permukiman PAS dan lajnah politik.
sumber- Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan