31/10/2008 2:24pm
Oleh KAMARIAH AHMAD
KUALA LUMPUR 31 Okt. - Pihak pembela mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan hujahnya di Mahkamah Sesyen pagi ini.
Dalam hujah peguam Sulaiman Abdullah memberitahu, Anwar telah memfailkan afidavit keduanya dan satu lagi afidavit oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail berhubung bantahan yang mendakwa penglibatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menandatangani sijil untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Hakim S.M. Komathy Suppiah yang mendengar hujahan itu diberitahu oleh Sulaiman bahawa jawapan afidavit Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun adalah tidak memadai untuk memberi alasan yang Abdul Gani tidak terlibat secara langsung dalam siasatan dan pendakwaan kes liwat yang dihadapi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Afidavit jawapan Idrus itu juga mengandungi alasan bahawa kes Anwar adalah luar biasa memandangkan beliau seorang Ahli Parlimen, Ketua Pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri.
Kes ini juga menarik perhatian awam dalam dan luar negara serta kehadiran para penyokong yang memerlukan kawalan ketat oleh pihak polis.
Sulaiman berhujah tiada sebarang sebab yang jelas dalam afidavit yang difailkan oleh Penguamcara Negara tersebut.
Sementara itu, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden sebagai Timbalan Kanan Pendakwa Raya yang mengambil giliran membalas hujah menegaskan bahawa Abdul Gani sebagai orang yang layak dari segi undang-undang untuk tandatangani sijil di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.
Mohd. Yusof menangkis dakwaan bahawa tindakan Peguam Negara itu melibatkan suatu perbuatan memihak dalam kes terhadap Anwar.
Penghujahan bersambung pukul 3 petang ini.
Sumber: Utusan Online
Tiada ulasan:
Catat Ulasan