MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

26 Okt 2008

Islam Liberal Menyerang PKR?



Islam Liberal Menyerang PKR?


Oleh Ibnu Hasyim

"KAMI sedih dan kasihan melihat Dato’Seri Anwar. Beliau tidak dapat membebaskan dirinya dari ‘kongkongan politik tradisi’nya. Cara hidupnya tidak dapat dipisahkan dari kepolitikannya." Kata seorang anak muda yang mengaku dirinya seorang ahli Parti KeADILan Rakyat (PKR) pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (walaupun Dato’ Seri bukan presiden dan berjawatan sebagai Penasihat KeADIlAN sahaja).

"Kongkongan politik tradisi pada Datok Seri?" Seolah-olah suatu perkara baru dalam PKR, pada saya"

"Ya!" Katanya tegas.

"Kami tidak suka pemimpin politik kami terikat dengan kehidupan harian tradisi. Kami kasihan melihat kehidupan Dato’ Seri dikongkong oleh ideologi politik tradisionalnya. Kami mahu cara hidupnya terpisah dari politik anutannya. Itu sebabnya, ada diantara kami, walaupun berada dalam politik KeADILan, tapi kami tidak ikut cara hidup Islam tradisi, seperti juga orang bukan Islam yang bebas mengikut haluan dan cara masing-masing..."

"Apakah yang anda maksudkan itu ialah sekularisasi atau sekularisme?. Pemisahan antara politik dengan kehidupan harian??" Saya tanya.

"Anda bersetuju dengan pemikiran Drs Nurcholis Madjid di Indonesia yang meninggal dunia baru-baru ini?"

Mereka mengangguk.

"Baru-baru ini kami dihantar berkursus perkaderan politik PKR, setelah peserta mengemukakan pelbagai aliran pendapat yang bertentangan dari pelbagai bangsa, kaum dan agama, maka akhirnya pengerusi bengkel forum tersebut merumuskan, ‘..disitulah istimewanya parti kita, mempunyai pelbagai aliran dan fahaman..’ dengan tidak pula menentukan dan menjelaskan satu aliran pemikiran mana yang perlu diikut." Jelas seorang dari mereka.

"Sebab itu, kami pilih keadilan, yang memang bebas dan adil!"

"Tapi, dalam pemilihan PKR baru-baru ini, orang yang kami tonjol tidak banyak yang menang bertanding mengisi jawatan-jawatan penting dalam parti." Sampuk kawannya yang seorang lagi.

"Namun, kami akan terus cuba pada pemilihan akan datang."

Ya. Saya baru dapat mengagak.. Hal sekularisasi seperti ini, telahpun dibawa oleh Drs Nurcholis sejak awal tahun 70an lagi, semasa dia menjawat Ketua Umum Pengurus Besar Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) Indonesia (Ucapannya pada 2 Januari 1970 bertajuk ‘Keharusan Pembaharuan Pemikir Islam dan Masalah Integrasi Umat’ dan artikelnya ‘Sekali Lagi Tentang Sekularisasi’ .

Pemikiran yang diciplaknya dari pemikiran Harvey Cox, seorang pemikir Kristen mengkritik agamanya dalam bukunya ‘The Secular City’ (New York:The Macmillan Company -1965) yang menjadi best seller di Amerika pada tahun 1965. Sila rujuk buku ‘Koreksi Terhadap Drs Nacholis Madjid Tentang Sekularisasi’ oleh Prof Dr H.M. Rasjidi (Jakarta: Bulan Bintang-1977).

Penulis Barat yang menyebutnya dengan ‘Islam Liberal’ adalah seperti seperti Leonard Binder (‘Islamic Liberalism’ Chicago: The Unversity of Chicago Press-1988) dan Charles Kurzman (‘Liberal Islam’ New York: Oxford University Press-1998).

Buku khusus di kalangan pemikir Indonesia ditulis oleh Greg Barton pada tahun 1995 (‘The Emergence of Neo Modernism’ Liberal Movement of Islamic Though-1995), yang asalnya adalah disertasi Ph.D di Monash University, Australia.

Buku ini diterjemahkan ke bahasa Indonesia dengan tajuk: ‘Gagasan Islam Liberal di Indonesia: Pemikiran Neomerniodsme Nurcholis Madjid, Djohan Effendi, Ahmad Wahib dan Abdurrahman Wahid’, diterbitkan atas kerjasama Paramadina, Yayasan Adikarya Ikapi, dan Ford Foundation pada tahun 1999.

Pemikiran Islam Liberal itu, mulanya disingkatkan sebagai ‘Islib’, kemudian dipopularkan oleh sekumpulan pemuda dengan menubuhkan rangkaian kerjasama ke peringkat antarabangsa dengan nama ‘Jaringan Islam Liberal’ atau JIL.

Makin bertambah jelas lagi ‘Islam Liberal’ kawan-kawan yang berada di depan saya ini, bila salah seorang mereka menyebut Syeikh Ali Abdul Raziq sebagai idola mereka.

Katanya, "Abdul Raziq menyimpulkan bahawa sistem khilafah bukanlah sebuah kemestian bagi kaum Muslimin untuk mendirikannya, bahkan ia bukan sama sekali sebagian dari agama Islam.(Ali Abdul Raziq menulis dalam kitabnya ‘Al-Islam wa Ushul Al-Hukm’: Cairo Cetakan pertama 1342/1925). Dengan itu kami tetap bersetuju dengan Perlembagaan Malaysia yang sekular sekarang. Tak perlu ditukar sekularnya.."

Sebenarnya, Sheikh Ali Abdul Raziq hidup sezaman dengan Mustafa Kamal Ataturk, tokoh sekularisme Turki. Kedua tokoh ini memiliki ideologi politik yang hampir sama. Ataturk mengumumkan penghapusan sistem khilafah (1924) dan menyatakan pemisahan urusan agama dari negara (1925), maka Abdul Raziq menerbit buku yang menyokong Ataturk.

Syed Rasyid Ridha tokoh gerakan pembaharuan dan murid-muridnya seperti Hassan Al-Banna pendiri gerakan ‘Ikhwan Muslimin’, telah menolak pandangan yang amat berbahaya ini.

Begitu juga PAS di Malaysia. Teringat saya kepada ceramah-ceramah mantan Presiden PAS Allahyarham Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor yang menyerang habis-habisan faham sekular yang dipanjangkan oleh Abdul Raziq itu, pada tahun-tahun 80an.

Ustaz Fadzil pernah bersama-sama Dato’ Seri Anwar menggerakkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum beliau aktif dalam PAS. ABIM pernah menerbitkan buku penjelasan ‘Islam and Secularism’ oleh Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (ABIM 1978 & ISTAC 1993).

Faham Sekularisme telah menjadi kunci pembuka bagi penganut-penganutnya mengamal banyak lagi faham-faham sesat yang lain atas nama ‘kebebasan berfikir’. Contohnya Pluralisme Agama (menyamakan semua agama), isu Al-Qura’an Edisi Kritis (edit semula), Hermeneutika (merombak atau merubah orientasi tafsir yang sedang digunakan oleh ulama turun-temurun), Feminisme (‘gender equality’, samakan lelaki dengan perempuan, seperti perempuan berkuasa ceraikan suami, jadi imam sembahyang kepada lelaki dan lain-lain), dan macam-macam kesesatan yang dimodenkan sepanjang masa.

Adakah ia termasuk Islam Hadhari? … perlu dibincangkan pada kesempatan yang lain!

Sebuah kertaskerja bertajuk ‘Fakta dan Data Liberalisasi Islam di Indonesia’ telah dibentangkan dalam seminar Ancaman Islam Liberal di Kota Bharu Kelantan pada 3 Jun 2006.

Pembentangnya, Adian Husaini MA dari Institute For The Study Of Islamic Though And Civilization (INSISTS), Jakarta Indonesia, telah menyenaraikan 16 antara organisasi-organisasi di Indonesia dari 30 organisasi-organisasi yang dibiayai oleh The Asia Foundition antara organisasi-organisasi talibarut US yang beroperasi sejak 1970an lagi hingga kini.

David E. Kaplan (Hearts, Minds and Dollars, www.usnews.com 4-25-2005) menyebutkan, dimana jutaan dollar US telah dipersetujui oleh White House secara rahsia untuk dihamburkan bagi kempen mengubah masyarakat Islam dan agama Islam itu sendiri di dalam sekurang-kurang 24 negara umat Islam seluruh dunia.

Donald Rumsfeld, atas alasan membendung pengganas telah mengumumkan pada 16 Oktober 2003…

"AS (Amerika Syarikat) perlu menciptakan lembaga donor untuk mengubah kurikulum pendidikan Islam yang radikal menjadi moden. Lembaga pendidikan Islam biasa lebih cepat menumbuhkan teroris baru, lebih cepat dibandingkan kemampuan AS untuk menangkap dan membunuh mereka."(Harian Republika 3-12-2005).

Jadi tidak heranlah bila ada di antara kawan anak-anak muda yang di depan saya ini, telah ditawarkan pergi belajar atau berkursus Islam Liberal di Indonesia dengan tanpa mengeluarkan apa-apa biaya satu sen pun!

Bahkan dikatakan ada di antara mereka yang sanggup minum arak dan yang sepertinya, sebagai lambang ‘kebebasan’ dari agama tradisi mereka.

Mungkin sebab itulah mereka sedih dan kasihan kepada pemimpin-pemimpin mereka yang terpaksa mengikut tradisi tidak mengamalkan ‘kebebasan’ (sebenarnya kebabasan) seperti mereka.

"Adakah pemimpin anda juga dapat apa-apa dana dari luar??" Saya tanya main-main.

"Ssyytt!!" Jari telunjuk salah seorang dari mereka diletakkan ke bibir. "Merbahaya. Jangan sampai kami dianggap musuh baru dalam selimut PKR!!"


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) KL 28-06-2007.

sumber - tranungkite.net




1 ulasan:

sumandak bayu berkata...

Salam,

Takkan nak sedih dan kesihan hingga sanggup lihat negara tergadai di tangan Bro Anwar... Belajar dari kesilapan kepimpinan Anwar lah Bro....