Anwar Ibrahim berpendapat bahawa program pendemokrasian yang mengiktiraf serta memfokuskan gerakannya kepada prinsip-prinsip sejagat (universal principles) yang diterima oleh keseluruhan manusia adalah merupakan satu-satunya jalan kepada lahirnya kebebasan yang benar-benar hakiki yang kemudiannya menyelamatkan Dunia Islam dari kekacauan. Di antara prinsip-prinsip sejagat yang dapat dikutip melalui idea-idea Wacana Kebebasan yang sering diutarakan oleh Anwar Ibrahim adalah penglibatan secara aktif dalam masyarakat dalam menyuarakan pendapat (engagement), kewujudan institusi-institusi madani yang bersifat demokratik (civil society), sifat kebebasan pluralistik (majmuk) dan kepelbagaian (diversity) perlu wujud.
Prinsip-prinsip seperti yang digariskan ini pada kebiasaannya dapat dilihat melalui satu Dokumen Liberal yang bertulis yang dipanggil sebagai Perlembagaan Persekutuan yang muncul sebagai pengganti kepada raja yang zalim yang memerintah.
Berhubung hak individu pula, ada ruang yang tidak boleh disentuh oleh pemerintah seperti ruang peribadi, ada yang terdapat dalam minda seseorang dan apa yang dipercayai oleh seseorang. Ini bermakna bahawa prinsip kewujudan serta kehidupan bersama dan kehormatan secara mutual perlu ditegakkan. Idea asas kepada perlembagaan adalah konstitunalisma atau keperlembagaan, iaitu dengan membataskan kuasa pemerintah maka kebebasan rakyat akan terjamin, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah. Kebebasan beragama, kebebasan bersuara, bergerak dan berhimpun adalah idea-idea yang terhasil dari perjuangan liberal, dan semua unsur-unsur ini terdapat dalam perlembagaan kesemua negara-negara moden.
Khalid Jaafar, Ketua Institut Kajian Dasar; salah seorang pendukung dan pengembang pendapat Anwar Ibrahim ada menyatakan berhubung peranan Islam dalam negara seperti Malaysia.
Beliau berkata bahawa, "Dalam mengurus sebuah negara majmuk dan kosmopolitan dimana Islam adalah agama persekutuan maka kita memerlukan tafsiran Islam yang tinggi dan mendalam, tafsiran yang merujuk kepada sejarah dan pengalaman kerohanian yang kaya dan intelektual yang segar, Islam yang majmuk, luas, kosmopolitan, rasional dan toleran. Tafsiran ahli-ahli falsafah seperti Ibn Rushd yang menegaskan keharmonian antara wahyu dengan akal dan tafsiran mistik seperti Jalaluddin Rumi dan Muhyiddin Ibn Arabi sungguh relevan hari ini dalam berdepan dengan masyarat kepelbagaian agama dan kaum."
Dapatlah disimpulkan dari sumber di atas bahawa Anwar Ibrahim dan pendukung-pendukung beliau memiliki aspirasi serta membawa idea-idea Wacana Kebebasan yang dipelupuri oleh John Locke (1632M-1704M) yang juga digelar sebagai Bapa Falsafah Kebebasan (Liberation) dan Pencerahan (Enlightenment) Eropah Moden di akhir-akhir Zaman Pertengahan Eropah.
Ini adalah berpandu kepada rujukan-rujukan yang kerap dibuat oleh Anwar Ibrahim kepada John Locke apabila berbicara tentang kebebasan dan pandangan beliau adalah selari dengan pemikiran falsafah yang dibawa oleh Ahli Falsafah tersebut.
John Locke ini adalah dianggap sebagai di antara ahli falsafah emperisis British yang paling berpengaruh. Falsafah Emperisis menekankan kepada peranan pengalaman dan bukti, terutamanya persepsi-persepsi yang ditanggap oleh deria manusia ketika melalui pengalaman hidupnya dalam membentuk idea-idea atau pandangan hidup mereka.
Locke mengenepikan tanggapan bahawa wujudnya idea-idea yang dianugerah secara semulajadi tetapi kesemua idea-idea ini hanya terbentuk apabila manusia mengalami proses amali (dari pendapatnya inilah tercetusnya aliran tidak bertuhan selepas itu). Segala persepsi ini hanya terbentuk melalui pengalaman manusia itu bila dia mengalami sesuatu pengalaman.
Bermula dari pemikiran falsafah yang dibawa oleh Locke inilah berlakunya peralihan dari aliran falsafah yang pada mulanya hanya terhad kepada membincangkan perkara-perkara metafizik (alam-ghaib) dan epistimologi (teori pengetahuan atau firasat ilmu) kepada aliran falsafah naturalis yang berorientasikan perlaksanaan, aplikasi dan ujikaji ke atas manusia dan masyarakatnya dalam bentuk amali dan kemudiannya melihat hasil ujikaji tersebut.
Dari aliran falsafah ini jugalah kemudiannya Locke dan pengikut-pengikutnya membentuk cabang-cabang lain berkaitan teori-teori moden berhubung dengan psikologi kemanusiaan, pendidikan, kewangan, harta, matawang, pasaran, ekonomi, politik dan lain-lainnya. Ianya boleh dikatakan mencakupi hampir keseluruhan cabang-cabang aliran materialistik yang ada sekarang yang diamalkan oleh hampir semua negara-negara Barat.
Di Dunia Islam pula cetusan dari Pemikiran John Locke telah melahirkan Gasasan An-Nahda (Pembangkitan Semula) yang dipelupuri terutamanya oleh Golongan Kristian, Freemasonri, Athies dan Ahli Falsafah Islam Arab di Abad 19 Masehi.
Aspek yang paling berpengaruh di dalam pemikiran Locke yang perlu diambilkira secara lebih terperinci adalah idea politik beliau berkaitan dengan kontrak sosial. Manusia, bagi Locke, adalah dilahirkan dalam bentuk semulajadi dan tidak berdosa (Locke dalam hal ini membantah pandangan Agama Kristian yang berpegang bahawa manusia itu membawa berdosa ketika dilahirkan dan kemudiannya diampunkan melalui Jesus) untuk membentuk satu entiti sosial.
Kontrak Sosial ini bukanlah di antara yang memerintah dengan yang diperintah (sebagaimana pemerintahan Teokratik Ketuhanan yang dianggap suci seperti yang diamalkan sebelumnya di Barat), tetapi adalah di antara manusia-manusia yang bebas merdeka dan berdaulat. Dari sinilah timbulnya idea konstitunalisma atau keperlembagaan yang dikemukakan oleh Locke yang beliau anggap sebagai satu piawaian yang standard dalam perhubungan di antara Pemerintah dan Rakyat.
Oleh itu, seseorang pemerintah tidak boleh berlaku zalim yang mana dengan kezaliman itu manusia-manusia berdaulat yang diperintahnya berhak untuk memecatnya apabila pemerintah itu berbuat sedemikian. Dan, rakyat boleh berbuat seperti itu meskipun dengan secara paksaan atau revolusi terhadap pemerintah bagi menegakkan kembali idealisma Libralisma Kebebasan dan Pluralisma. Kezaliman juga berlaku apabila pemerintah mula menyentuh ruang peribadi individu-individu yang diperintah yang sepatutnya terjamin kebebasan serta keadaan kewujudan bersama rakyat itu.
Aspek pemikiran Locke dalam konteks falsafah politik inilah yang banyak mempengaruhi ideal-ideal dalam asas demokrasi yang dipegang sekarang ini. Ideal-ideal asas inilah pula yang kemudiannya menjadi paksi utama kepada Revolusi Amerika serta England dan kemudiannya merebak ke hampir keseluruhan tempat-tempat lain di dunia termasuklah ke Dunia Islam. Dengan konstitunalisma atau keperlembagaan (sebagai dokumen rasmi Kontrak Sosial) itu kuasa pemerintah dibataskan dan kebebasan rakyat dijamin dengan pembatasan itu, dan rakyat terpelihara dari kezaliman yang datangnya dari pemerintah itu.
Pemikiran Locke serta prinsip Liberal dan Pencerahan yang dibawanya menghendaki bahawa bagi membolehkannya berfungsi maka ianya mestilah bertapak di dalam ruang yang berbentuk sekular dan majmuk di segi penerimaan idea-idea yang berhubung dengan Kontrak Sosial itu bagi membolehkannya subur. Polemik-polemik dalam bentuk keagamaan dan perkauman akan hanya merosakkan aspirasi yang tertinggi yang dibawa oleh Kebebasan dan Pluralisma, dan ini tidak dizinkan.
Perlembagaan sebagai dokumen rasmi Kontrak Sosial hanya membentangkan nilai-nilai sejagat yang dipersetujui oleh masyarakat yang majmuk itu dengan tidak memperincikan keta'atan kepada satu-satu pandangan yang dikira benar oleh komponen tertentu di dalam sebuah Negara Liberal itu. Segala pandangan-pandangan dan agama-agama yang ada di dalam Negara Liberal itu diterima dalam konteks kesejagatan kebebasan yang tidak boleh dipertikaikan.
Berdasar kepada bentangan ringkas tentang Liberalisma dan Pluralisma yang menjadi asas dan intisari aliran pemikiran Anwar Ibrahim seperti di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Program Pendemokrasian yang dicita-citakan oleh Anwar Ibrahim yang dengan kemudiannya itu terlaksanalah pula Kebebasan Hakiki yang diidaminya adalah berpaksikan kepada suatu kaedah yang asing dari Agama dan pemikiran tersebut berasas dari aliran pemikiran Falsafah Barat. Ianya bukan berdasarkan sumber-sumber yang ada di dalam syariat Islam.
KorbanDemokrasi cuba untuk mencari pandangan-pandangan Ulama Islam yang berwibawa samaada dari kalangan Mujadid-Diin dan Mujtahid-Diin Ummat dari dahulu sehingga ke Abad 20 Masehi tetapi tidak dapat menemukan dari kalangan mereka rahmatuLlah alaihi ajmaiin yang mengkonseptualisasikan pandangan mereka berdasarkan dengan pandangan-pandangan Falsafah Liberalisma ini. Jika untuk mengkonseptualisasikan Falsafah berkenaanpun tidak ditemui maka apatah lagi untuk mempromosikan ideal-ideal Falsafah Liberalisma lebih-lebih lagilah pula tidak ditemui.
Kita mungkin mendapati adanya juzuk-juzuk tertentu yang menyamai prinsip-prinsip serta nilai-nilai yang dipegang oleh Falsafah berkenaan yang dibincang oleh para Ulama-Ulama berkenaan, rahmatuLlah alaihi ajmaiin, walau bagaimanapun tajuk utama perbincangan mereka masih lagi berkisar kepada pandangan Diinul Islam dalam konteks kedaulatan serta peranan Khilafah Islam atau Imaamah (Kepimpinan) sebagai pemegang amanah Allah subhanahuwata'ala dan RasulNya sallaLlahu alaihi wassalam.
Hal sebegini dapat kita temui di dalam karangan-karangan oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahuLlah (Nasihah Al-Muluk dllnya), Imam Al-Mawardi rahimahuLlah (Al-Ahkam As-Sultaniyyah), Shah WaliyuLlah Ad-Dahlawi (HujjatuLlahi Balighah dllnya) dan berbagai-bagai lagi karangan oleh Ulama-Ulama yang muktabar, rahmatuLlah alaihi ajmaiin. Ini adalah berbeza berbanding dengan kedaulatan Rakyat dan Perlembagaan di dalam Liberalisma dan Pluralisma.
Secara umumnya telah menjadi satu pendapat yang telah diterima pakai oleh Ulama-Ulama bahawa Khalifah atau Imamah itu adalah wajib menurut Syariat. Ini memberi maksud bahawa dalam setiap wacana pemerintahan Islam matlamat akhirnya wajiblah bagi menegakkan Khilafah dan tidaklah sebuah Negara Liberal yang tidak beragama sebagaimana yang dikehendaki oleh Falsafah Liberalisma dan Anwar Ibrahim.
Asas dalam mencari sumber yang diambil dari pandangan-pandangan Ulama-Ulama Islam berbanding para ahli falsafah sudah sangat jelas di dalam syariat Diinul Islam itu sendiri melainkan oleh mereka yang tersesat. Terlalu banyak isyarat-isyarat di dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah yang menekankan perkara ini.
Berhubung dengan pandangan tentang Kebebasan pula, kita mendapati bahawa di sini terdapat banyak PERTENTANGAN-PERTENTANGAN YANG BESAR di antara konsep Kebebasan yang difahami oleh Aliran Liberalisma dan Diinul Islam.
Kebebasan Hakiki mengikut paksi Diin Al-Islam pula bolehlah dihimpunkan dengan jawapan yang diberi oleh Sayyidina Rabi'i ibn Amir radhiaLlahu anhu kepada Rastam Panglima Perang Parsi di medan perang Qadisiyyah. Apabila ditanya oleh Rastam tentang punca ummat Islam memerangi Parsi, Sayyidina Rabi'i ibn Amir radhiaLlahu anhu memberi jawapan sebagaimana berikut, "Allah subhanahu wata'ala telah mengutus kami untuk membebaskan sesiapa sahaja yang diizinkanNya, daripada keadaan memperhambakan diri kepada sesama hambaNya kepada hanya memperhambakan diri kepada Allah subhanahu wata'ala sahaja, dari kesempitan hidup di dunia kepada keselesaan hidup dunia dan akhirat, juga dari kekejaman agama-agama yang batil kepada Keadilan Islam."
Masej yang dapat kita ambil di sini ialah Islam adalah AGAMA PEMBEBASAN dan pembebasan itu memberi maksud perjuangan jihad (hati, lisan atau merubah dengan tangan) untuk tujuan;
1. Pembebasan dari perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan dirinya hanya kepada Allah subhanahu wata'ala (di segi sistem yang mengawal mereka samaada Agama, Pemerintahan, Perundangan, Kerohanian, Falsafah dan kesemua bidang kehidupan),
2. Pembebasan dari Kehidupan Kebendaan (Materialistik) kepada Kehidupan Kerohanian Dunia-Akhirat, dan
3. Pembebasan manusia dari penguasaan oleh agama-agama yang batil keatas mereka kepada penguasaan Agama yang haq; Diinul Islam dan kehidupan di dalam Keadilan Islam; Khilafah Islamiyyah.
Kemuncak kepada PEMBEBASAN ini adalah sebagaimana Makkah dibebaskan daripada penyembahan berhala-berhala dalam bentuk tokong, sistem-sistem dan manusia-manusia penyembah berhala-berhala. Wacana yang dikalahkan oleh Allah subhanahu wata'ala dan RasulNya Muhammad sallaLlahu alaihi wassalam inilah yang dipanggil taghut.
Dan, taghut itu adalah wacana besar dan agenda utama syaitan laknatuLlah yang bertujuan untuk menyesatkan manusia demi kebenciannya yang amat dahsyat terhadap manusia agar TIDAK SUJUD KEPADA ALLAH DENGAN SEBENAR-BENAR SUJUD, iaitu kemanusiaan yang telah membuang kemuliaan dan menarik-balik kenikmatan yang dulunya dikecapi oleh syaitan laknatuLlah itu dengan rahmat Allah subhanahu wata'ala.
Jadi, maksud kebebasan di sudut Diinul Islam adalah jauh lebih tinggi dan lebih mulia (yang mencapai perhubungan Manusia dan Tuhannya serta pertembungan dengan musuh manusia yang sebenar-benarnya yakni Syaitan laknatuLlah) jika dibandingkan dengan Wacana Kebebasan versi Liberalisma Pluralisma yang diyakini oleh Anwar Ibrahim. Surah At-Taubah atau Baraa-ah telah membentangkan KEMUNCAK PEMBEBASAN ini dengan intipati maksudnya sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah subhanahu wata’ala seperti berikut:
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya [agama] Allah dengan mulut [ucapan-ucapan] mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. (32) Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya [dengan membawa] petunjuk [Al Qur’an] dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai. (33)” (Surah At-Taubah / Surah Baraa-ah)
"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu", (60) dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. (61) Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antaramu. Maka apakah kamu tidak memikirkan? (62) (Surah Yaseen)
Oleh sebab itu, dapatlah disimpulkan bahawa terdapat pertentangan yang dahsyat di antara Hakikat Diinul Islam dan Liberalisma iaitu dalam melihat kepada makna KEBEBASAN itu yang merupakan matlamat kepada setiap perjuangan PEMBEBASAN. Benar!; Liberalisasi adalah Wacana Kebebasan, tetapi ianya hanya berakhir kepada MEMBEBASKAN AKAL DAN KEMANUSIAAN tetapi TIDAK MEMBAWA AKAL DAN KEMANUSIAAN supaya tunduk dan sujud kepada Allah subhanahu wata'ala melalui MASEJ (RISALAH) Al-QUR'AN yang di bawa oleh utusanNya yang terakhir yang benar; Muhammad sallaLahu alaihi wassalam (Ya Allah!, Hamba tebuskan jiwa hamba ini untuk Muhammad. Sampaikanlah rinduku kepada junjunganku itu dan aku bersaksi bahawa dia telah menyampaikan masej itu).
Ini adalah kerana ianya masih tergolong di dalam Aliran Falsafah yang dicetus oleh manusia yang tidak percaya kepada Allah subhanahu wata'ala. Dan, KEBENARAN KEBEBASAN DI SUDUT PANDANGAN DIINUL ISLAM adalah jauh lebih tinggi, mulia (DAN MENCAKUPI ALAM-ALAM HAKIKAT) kerana ianya bukan sahaja melihat kepada Kebebasan Akliah (seperti yang diidam-idamkan oleh manusia liberal seperti Anwar Ibrahim) tetapi Kebebasan Manusia dan Kemanusiaan yang hakiki yang menolak sistem-sistem dan Wacana Syaitan yang mahu menyesatkan manusia KEPADA KEBEBASAN TAUHID KEPADA ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA SAHAJA.
'
Dengan itu, ia memberi maksud bahawa Pandangan Islam serta cetusan-cetusan yang selama ini telah diolah oleh para Ulama muktabar warisan Ahl Sunnah Wal Jama’ah adalah bertapak dan berdasarkan kepada WACANA HAQ yang teguh asasnya dan menunjang akarnya dengan disokong oleh Al-Qur’an, Sunnah RasulNya sallaLlahu alaihi wassalam dan jalan yang telah diambil oleh para pewarisnya, radhiaLlahu anhum ajmaaiin.
Dengan demikian, pendirian Anwar bahawa program pendemokrasian yang mengiktiraf serta memfokuskan gerakannya kepada prinsip-prinsip sejagat (universal principles) yang diterima oleh keseluruhan manusia adalah merupakan satu-satunya jalan kepada lahirnya kebebasan yang benar-benar hakiki yang kemudiannya menyelamatkan Dunia Islam dari kekacauan adalah tidak benar dan wajib ditentang kerana ianya adalah menfestasi kepada fahaman Kebebasan berdasarkan kepada Wacana Syaitan.
Kesinambungan kepada pandangan-pandangan yang benar berhubung hakikat sebenar Kebebasan ini, dapat kita perolehi pula dari pendokong-pendokong Ahl Sunnah Wal Jama’ah sehingga ke hari ini, hafizahuLlahu anhum ajmaiin. Mungkin di antara pandangan yang boleh kita ambil sebagai rujukan terkini adalah sebagaimana “Wacana Kebebasan Di Dalam Islam” sebagaimana yang diketengahkan oleh Sheikh Wahbah Az-Zuhaili hafidzahuLlah di dalam karangan beliau hafidzahuLlah yang bertajuk, “HAQQUL HURIYYAH FI AL-ISLAM” (KEBEBASAN SEBENAR DI DALAM ISLAM) yang menyentuh pandangan Diinul Islam dalam setiap bidang.
InsyaAllah, di peringkat terakhir penulisan oleh Al-Faqir-illaLlah KorbanDemokrasi yang sentiasa perlu dan berharap kepada pertolongan dari Allah subhanahu wata’alla untuk memegang tangan hamba yang lemah dan dhaif ini yang sentiasa terumbang-ambing di dalam arus kekeliruan yang sungguh dalam yang bergelombang dan memuncak kini di alam menifestasi ini, dan dengan sepenuh-penuh sangkaan rahmat serta harapan agar Dia tidak mengambil anugerah cahaya yang terbias sedikit yang dilontariNya serta berkat pelupur-pelupur jalan ini Allah subhanahu wata'ala akan kemudiannya akan melabuhkan Sang Faqir ini ke pantai kebenaranNya, maka Faqir ini akan cuba menghuraikan serba sedikit berhubung Wacana Pembebasan oleh Sheikh Wahbah Az-Zuhaili hafidzahuLlah serta oleh lain-lain Ulama Muktabar Ahl Sunnah Wal Jama’ah di peringkat tersebut.
HasbunaLlahu wa nikmal Wakiil, wa nikmal Maula, wa nikman Nasiir.
Allahuma amiiin!.
WaLlahu ‘alam
Akan Bersambung…… pada 13 Rejab 1429H (16 Julai 2008M)...InsyaAllah
Al-Faqir-ilaLlah KorbanDemokrasi
sumber - korban-demokrasi.blogspot.com
1 ulasan:
Mengajak bertukar-tukar pautan. Tolong sokong menyokong dalam perjuanagn yg sama.
Catat Ulasan