Kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ini, jika benar; adalah sesuatu yang harus mendapat dokongan seluruh ahli PAS.
Khabarnya Presiden PAS tersebut mengatakan (saya cuplik dari sini):
Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.
"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.
"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.
Dalam erti kata lain, jika berlaku penghijrahan massal ahli-ahli parlimen Sabah-Sarawak ke Pakatan Rakyat, PAS akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Dan jangan bimbang. Tidak berbangkit PAS masuk ke kem satu lagi. PAS akan berada di luar kedua-duanya. Dan berkorban, meski rugi, meski kempunan; untuk mempertahankan Islam. Begitulah hematnya kenyataan Ustaz Hadi tersebut.
Sekiranya itu berlaku, yang paling menyedihkan ialah PAS akan ditimpa satu dilema yang besar. Sekumpulan ahli PAS, pemimpin PAS, yang kita semua tahu, ada di antara mereka telah mengkultuskan 'orang itu', serta terliurkan jawatan-jawatan seperti timbalan perdana menteri, seperti menteri kesihatan, seperti ketua pengarang Bernama, seperti ceo-ceo perbadanan tertentu - mereka akan berhujah seperti yang dihujahkan oleh manusia ini (klik sini) iaitu hujah marilah kita sesuaikan Islam kita dengan keadaan politik.
Perkara menyesuaikan Islam dengan keadaan politik ini bukan sunnah Nabi. Ia adalah sunnah bani Umaiyyah dan Abbasiyyah. Perkara menyesuaikan Islam dengan keadaan politik ini kata as syahid Syed Qutb adalah Islam Amerika. Perkara menyesuaikan Islam dengan keadaan politik ini adalah metodologi musuh Islam; sesuai dengan global theology yang dianjurkan Wilfred Cantwell Smith dan John Hick. Metodologi kedua-duanya beranak pinak digunakan blok IFC, Majlis Peguam, dan banyak lagi organisasi yang dapat dikaitkan dengan 'orang itu' (tok guru sila klik di sini)
Orang PAS selalu menjauhi falsafah. Mereka merasakan post-modernisme tidak akan menelan mereka. Falsafah adalah perbincangan manusia-manusia pelik. Hari ini, sekian pemimpin PAS kena baham dengan falsafah yang mereka tak mahir geluti. Lama-kelamaan tuan-tuan akan terima kebebasan berfikir untuk menghina Nabi Muhammad (klik di sini).
PAS mungkin akan berdepan dengan masalah oleh pendirian tegas Presiden tersebut. Akan ada yang kempunan, akan ada yang lebih sayangkan 'orang itu' dari perlembagaan parti, akan ada orang yang tidak mahu bersama 'mempertahankan Islam' tetapi mahu bersama 'menyesuaikan Islam dengan keadaan'. Sedaya-upaya dia mahu menyesuaikan Islam dengan keadaan.
Ingatlah saudara-saudara, PAS adalah gerakan Islam pertama; parti politik kedua. Tidak malukah kalian menjawab dengan sahabat-sahabat Ikhwanul Muslimin, Hezbullah dan Jamaat Islami kelak? Kaji semula hubungan genetik kita sebagai harakah Islamiyyah. Premis kita tauhid.
Modal PAS hanyalah kepimpinan moral. Kalau PAS gagal membuat keputusan mempertahankan modal moral itu, susah sekali menjawab dengan Tuhan. Kerana politik liberal ialah meningkatkan kepentingan individu, politik sosialis meningkatkan kepentingan rakyat, politik Islam ialah meningkatkan kepentingan Tuhan kerana dengan itu barulah kepentingan individu dan rakyat dipenuhi kerana manusia tidak dapat menolak Inna lillah wa Inna ilaihi Rajiun.
Selamat datang ke Ipoh, selamat datang ke dunia falsafah yang kalian musuhi. Perwakilan dan ahli PAS akan menetapkan pendirian paling sukar.
Apa pendiriannya? Argh tidakkah kalian belajar pengorbanan Nabi Ibrahim akur menyembelih Nabi Ismail? Tidakkah kalian belajar pengorbanan Saidina Husin menentang korupsi dan 'Islam ikut keadaan Yazid' di Karbala?
* Pementasan 'Dua Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun', Auditorium Muzium Negara, 25-29 Ogos 2008, 8.15 malam. Ia adalah sebuah drama yang mengupas iklim siasah yang penuh kerancuan ini. Jemputlah datang menonton.
baca artikel asal di tehranifaisal.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan