Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 1 Okt. – Datuk S. Nallakarupan tidak hairan atau terkejut dengan tekanan hebat yang terus dialami oleh bapa kepada Mohd. Saiful Bukhari, Azlan Mohd. Lazim kerana beliau juga pernah mengalami situasi yang sama.
Menurut beliau, ini memandangkan Saiful sebagai mangsa dalam kes itu berhadapan dengan seorang tertuduh yang diketahui mempunyai pelbagai sumber termasuk kewangan yang besar.
Beliau berkata, sehubungan itu selagi kes ini tidak dibicarakan dan diselesaikan selagi itu tekanan yang dialami oleh Azlan dan Saiful sekeluarga akan berlarutan.
‘‘Anwar mempunyai pelbagai sumber, saya tidak reka cerita, ini seperti mana yang pernah didedahkan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid dalam akuan berkanunnya pada tahun 1999.
‘‘Jadi ini saya tidak hairan mengapa bapa Saiful terus tertekan. Saya sendiri turut mengalaminya apabila saya membuat pendedahan tentang Anwar termasuk ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh tahun lalu. Banyak tekanan saya terima,’’ dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan permintaan Azlan supaya tarikh perbicaraan dapat ditetapkan segera berikutan tekanan hebat yang dialami mereka sekeluarga selagi perbicaraan tidak berlangsung.
Sehubungan itu, Azlan meminta supaya Anwar tidak lagi mengemukakan permohonan yang akan melengahkan tarikh perbicaraan kes liwatnya dengan Saiful.
Sementara itu, Nallakarupan turut berharap semua pihak memahami rintihan hati tentang apa yang dialami oleh Saiful dan bapanya.
‘‘Azlan sebagai bapa sudah tentu mahu pastikan keselamatan anaknya. Kalau berterusan lengah susahlah, pihak berkuasa kena faham ini bukan boleh ambil mudah.
‘‘Mereka berdepan seorang tertuduh yang bukan orang biasa. Saya harap yang berkenaan dapat lakukan sesuatu untuk percepatkan kes ini dan pastikan keselamatan Saiful,’’ tegasnya.
Tambah Nallakarupan, beliau sendiri secara berterusan menerima ancaman pihak tertentu setiap kali membuat kenyataan mengenai Anwar.
Bekas rakan karib Anwar itu mendakwa, yang terbaru kira-kira dua minggu lalu apabila dirinya sekali lagi didatangi oleh sekumpulan lelaki yang mengugut untuk mencederakannya.
‘‘Saya amat kesal dengan tekanan seperti ini. Yang saya tahu saman telah difailkan kepada saya mengapa tidak guna saluran mahkamah sahaja.
‘‘Saya sendiri sudah lima laporan polis dibuat berhubung hal ini kerana mahu pastikan keselamatan saya. Saya harap polis dapat beri perhatian serius dengan tekanan dan ancaman seperti ini termasuk kepada Saiful dan keluarganya,’’ ujarnya.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan