IBU mana yang tidak akan sayu hati bila anak-anak dicemuh, dicaci dan difitnah.
Kalau seorang anak dilayan begitu, mungkin kesannya tidak separah apa yang pernah dirasakan oleh Mak Tom, ibu tua yang berusia 74 tahun ini.
Tanyalah Mak Tom bagaimana perasaannya bila tiga orang anaknya - ahli politik Azmin Ali, selebriti Azwan Ali dan ahli perniagaan Umi Hafilda, terseret dalam kancah kontroversi kes Datuk Seri Anwar Ibrahim 10 tahun yang lalu.
Dengan wajah tenang dan senantiasa menguntum senyuman, Mak Tom membuka bicara petang itu.
"Makcik dah lali pasal kontroversi ni. Bertahun-tahun makcik tak cukup tidur mengenangkan nasib anak-anak makcik. Bila saja bunyi telefon tengah-tengah malam, berderau hati makcik.
"Macam-macam panggilan telefon yang makcik dapat. Ada yang tanya pasal Azwan, Umi, Azmin. Yang paling banyak panggilan mengadu pasal Umi.Ada saja fitnah yang datang. Yang marah, yang maki dan yang bagi nasihat suruh ajar anak-anak makcik.
"Tapi makcik bersyukur kerana Tuhan berikan kekuatan mengharungi segala umpat keji masyarakat," kata Mak Tom yang pernah aktif dalam kumpulan kaum ibu (kini dikenali Wanita Umno) masa muda-muda dulu. Antara banyak hinaan yang diterima, yang paling membuat hati Mak Tom terguris hiba bila dituduh tidak pandai ajar anak.
"Biasalah manusia ni, gajah di seberang laut nampak, kuman di depan mata tak nampak. Tuduhan melampau macam ni lah yang buat Mak Tom rasa marah. Kalau Mak Tom tak pandai ajar anak, takkan mereka berjaya dalam pelajaran," kata ibu beranak enam ini.
Azmin, anak keempat, pernah menuntut di Universiti Minnesota, Amerika dan kini menjadi Ahli Parlimen Gombak, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa dan Naib Presiden PKR. Azwan pula ialah graduan lulusan undang-undang dari Universiti Malaya.
Apapun badai telah berlalu dan akan mendatang, Mak Tom tetap tabah dan cekal menghadapinya.
"Jangan cakap nasihat, bermacam-macam pesanan makcik dah bagi. Ibu mana yang sanggup tengok anaknya dihina dan difitnah. Makcik sanggup ke tali gantung atau hukum pancung kalau anak makcik tidak bersalah tapi dituduh bersalah.....," kata ibu tunggal yang berasal dari Caunter Hall, Pulau Pinang ini.
Meskipun peristiwa tahun 1998 dan isu kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama berlalu, ianya telah meninggalkan parut yang cukup mendalam. Retak dalam keluarganya semakin ketara hinggakan berpecah ahli keluarga Mak Tom disebabkan banyak salahfaham dan ketidaksefahaman.
"Puas makcik berdoa agar anak-anak makcik bersatu kembali. Pada semua anak, makcik selalu pesan, kita kena pakat adik beradik, jangan berpecah. Alhamdulillah, tahun ini berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, mereka semua sudah berbaik-baik. Alhamdulillah. Makcik bukan minta banyak, asal mereka bertegur sama sendiri dan tidak putus silaturrahim, cukuplah....," kata Mak Tom yang nama sebenarnya Cik Tom Yahya.
Menurut Mak Tom, dia jarang mengikuti perkembangan anak-anaknya melalui media. Baik berita baik mahupun sebaliknya.
"Makcik lebih kenal anak-anak makcik. Apa yang ditunjuk kat TV atau ditulis di surat khabar bukan selalunya betul. Buat apa makcik nak buang masa, banyak lagi kerja yang makcik boleh buat," kata isteri kepada Allahyarham Hj Ali Omar, seorang bekas tentera ini.
Jelasnya lagi, "Mana-mana pergi, kalau ada yang mengenali makcik. Ada saja yang akan suruh makcik ajar anak-anak makcik. Ada juga yang puji tapi ada yang marah-marah."
Mak Tom, Azwan dan Azmin ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri di rumah Azwan baru-baru ini.
Bagi Mak Tom, di usia emas ini, mustahil dia tidak menitip nasihat berharga buat enam orang anak-anaknya.
"Mereka semua dah besar panjang. Sudah cukup makcik mendidik mereka. Makcik selalu berdoa, kalau betul lah anak makcik bersalah, makcik minta Allah tunjukkan sebelum makcik pejam mata. Begitu juga sebaliknya.
"Pada anak-anak makcik, bukan saja Azmin, Azwan dan Umi saja, makcik selalu bagi nasihat. Sebagai ibu, itu sudah tanggungjawab makcik. Tapi kalau mereka rasa mereka betul, makcik cakap...'Berani buat, Berani tanggung!," kata Mak Tom yang mempunyai keperibadian yang cukup kuat meskipun sudah lanjut usia.
Pernah satu ketika, ibu tua yang terlalu risau akan keselamatan anaknya Azmin menalipon anak kesayangannya dan minta dia datang ke rumah kerana hendak berjumpa.
Sebaik Azmin melangkah masuk, Mak Tom bercakap dalam nada yang sebak dan lembut, sambil merenung wajah Azmin.
"Min....tak sayang mak ke? Min, tak sayang anak-anak Min ke? Kalau jadi apa-apa kat Min siapa nak bagi makan anak-anak Min. Mak dah tua," jelas Mak Tom mengimbau kenangan masa silamnya.
Mendengar itu, Azmin tidak menjawab dan terus tunduk.
Begitulah ikatan Mak Tom dan anak-anak. Apapun sengketa yang berlaku di antara anak-anaknya, tidak seorang pun anak Mak Tom menyisihkan diri. Tambahan pula kini, kesihatan Mak Tom tidak seperti dulu. Makcik mempunyai lima penyakit berangkai yang memerlukan perhatian doktor selalu - darah tinggi, sakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan gastrik.
"Bergaduh macam mana pun dengan adik beradik, mereka semua jaga Mak Tom dengan baik. Semua keperluan Mak Tom cukup dan tidak pernah diabaikan. Mak Tom ni bukan jenis ibu yang suka meminta-minta. Kalau diberi, Mak Tom terima. Tak bagi pun Mak Tom tak kisah. Cuma Mak Tom sentiasa doakan kebahagiaan anak-anak Mak Tom. Biar mereka jadi anak-anak yang berguna pada agama dan bangsa," kata Mak Tom.
Mendengar rentetan kisah hidup anak-anak mak Tom dari mulutnya sendiri dengan bahasa yang lembut tapi tegas, terserlah keperibadian Mak Tom yang sebenarnya.
Mak Tom juga mempunyai prinsip yang kuat dalam soal fahaman politik.
"Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Siapa pun yang memerintah, di situlah taat setia makcik. Baik Cina atau India yang memerintah sekalipun satu hari nanti, makcik akan tetap taat setia. Itu prinsip makcik dari dulu lagi. Tak ada siapa boleh mempengaruhi Mak Tom...," kata ibu kesayangan Azwan, Azmin dan Umi Hafilda ini.
sumber - mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan