MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

31 Okt 2009

Kerjasama Pakatan Pembangkang Dilumpuhkan Oleh Masalah Dalaman

Oleh Noor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bagi kebanyakan pemimpin dan pemerhati politik, krisis dalaman yang sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS di Selangor sejak kebelakangan ini bukan sesuatu yang memeranjatkan.

Malah ada di antara mereka percaya masalah ini akhirnya akan melumpuhkan kerjasama tidak rasmi di antara parti-parti pembangkang itu.

"Inilah yang akan berlaku apabila beberapa parti bergabung secara tidak rasmi untuk mentadbir kerajaan. Mereka bekerjasama dengan parti yang berlainan ideologi untuk mentadbir rakyat, tapi pada masa yang sama nak kena jaga wakil rakyat dan pemimpin masing-masing," kata pemerhati politik Prof Madya Shaharuddin Badaruddin.

Pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara itu membayangkan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah keluar dari PKR sebagai bukti kegagalan PKR menjaga wakil rakyatnya.

"Malah saya menjangka akan ada lagi wakil rakyat-wakil rakyat kerajaan pakatan pembangkang ini yang akan keluar parti, masing-masing sebab tak puas hati," katanya kepada Bernama.

Menghurai lanjut permasalahan yang melanda PKR dan PAS dan kesan permasalahan itu kepada pakatan pembangkang, Shaharuddin berkata keadaan mungkin berpunca daripada dasar `ketelusan' yang cuba diamalkan oleh kerajaan pakatan, selain kegagalan pemimpin-pemimpin parti memisahkan ideologi parti dan dasar kerajaan.

"Kadang-kadang ada keputusan kerajaan tidak disenangi oleh beberapa pemimpin parti dan mereka meluahkan perasaan masing-masing berasaskan prinsip ketelusan, tetapi dalam hal ini akan ada pihak dari parti lain yang tersinggung maka timbullah masalah baru," katanya.

Semua itu kata beliau berpunca daripada perbezaan ideologi parti masing-masing dan ketiadaan saluran rasmi untuk menyelesaikan masalah berbangkit telah memburukkan keadaan.

"Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai saluran rasmi dan setiap masalah diselesaikan melalui saluran itu, pakatan pembangkang tidak ada dan ini menyukarkan mereka untuk bekerja menyelesaikan masalah antara parti," kata Shaharuddin.

Beliau berpandangan cara terbaik untuk pakatan pembangkang menyelesaikan masalah di antara mereka adalah menubuhkan gabungan secara rasmi.

"Sekarang cuma bergabung secara `sleeping partners', tak ada satu ideologi yang dipersetujui semua, justeru tidak boleh mentadbir sebagai satu parti. BN walaupun dianggotai pelbagai parti tetapi mereka mentadbir sebagai satu parti.

"Pada saya pakatan sepatutnya begitu. Tambahan pula ROS (Pendaftar Pertubuhan) dah kata syarat tujuh anggota itu tidak terpakai kepada parti politik, jadi apa lagi yang ditunggu? Rasmikan saja dan jadikan sistem politik negara kita sebagai sistem dua parti," katanya.

Bagaimanapun menurut Prof Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia, agak sukar untuk pakatan pembangkang merasmikan gabungan mereka.

"Masing-masing berpakat cuma untuk menang pilihan raya, dan sama sekali tidak mempunyai kesefahaman daripada segi ideologi, khususnya antara PAS dan DAP, malah PAS dan PKR pun.

"Malah saya tidak pasti perbezaan ideologi antara PAS dan DAP ini boleh diatasi sebab terlalu jauh berbeza," kata pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan itu.

Azeem juga berpendapat ketiga-tiga parti itu memerlukan masa yang lebih lama untuk membentuk gabungan rasmi kerana ada isu-isu tertentu seperti penentuan parti induk dan ideologi bersama yang harus dipersetujui terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Azeem menyifatkan pakatan pembangkang adalah rapuh dan hanya berpaut pada satu dahan iaitu ketua pembangkang dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya melihat Anwar sebagai gam yang menyatukan ketiga-tiga parti ini tetapi sekarang beliau sendiri menghadapi masalah, yang pada saya akan menjejaskan kerjasama pakatan itu sendiri, " katanya lagi.

Beliau juga berpendapat kegagalan parti-parti pakatan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman masing-masing akan beransur-ansur melumpuhkan kerjasama di antara mereka.

"Kalau dasar-dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima baik rakyat, tidak mustahil pakatan pembangkang akan menghadapi masalah mengekalkan pentadbiran di negeri-negeri yang ditawan mereka sekarang," kata Azeem.

Sementara itu seorang lagi pemerhati politik yang juga sumber dalaman PAS memberitahu Bernama adalah mustahil untuk parti bertunjangkan agama Islam itu mengenepikan matlamat mereka iaitu menubuhkan negara Islam.

Malah kata beliau, perbezaan ideologi adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada pertelingkahan antara PAS dan DAP di Selangor.

"Saya akui memang payah untuk pakatan ini menjadi satu gabungan rasmi sebab PAS tidak akan sekali-kali mengetepikan perjuangannya untuk menubuhkan negara Islam, dan DAP pula tidak akan bersetuju.

"Tetapi saya akui ada di kalangan pemimpin PAS Selangor ini yang tidak kisah untuk menggadai perjuangan parti asalkan dapat kuasa dan ini yang sedang berlaku sekarang," katanya yang merujuk kepada siasatan oleh jawatankuasa disiplin parti terhadap beberapa pemimpin PAS Selangor yang didakwa bermasalah.

Meneliti hujah-hujah yang dikemuka pemerhati-pemerhati politik ini timbul persoalan sama ada parti-parti dalam pakatan pembangkang itu mampu mencapai kesepakatan sebenar seperti yang berlaku dalam BN atau akhirnya akan terungkai seperti yang berlaku sebelum ini.

sumber - bernama


Tiada ulasan: