MODERATOR AIDC

AIDC NORA ZEK LADY
FAIZAL OM 300 QASEH
UDIN KMBG GLORY CKIAH
DRASEREMANG PISAU ABU

PANAS! DI AIDC GROUP

Anwar, International Crisis Group & Annapolis Summit : Klik di sini


NOTIS

Sesiapa yang mempunyai salinan pita rakaman mesyuarat MT berkenaan pemecatan Anwar pada tahun 1998, diharap dapat menghubungi saya via ym aidceditor atau email aidceditor@yahoo.com

14 Sep 2009

Jangan biar 'inkues' tersasar


Oleh NORAINI ABD. RAZAK
pengarang@utusan.com.my

Ibu mendiang Teoh Beng Hock, Teng Shuw Hor (kiri) memeluk gambar anaknya dengan ditemani adik perempuan mendiang, Teoh Lee Lan semasa hadir pada prosiding inkues di Mahkamah Majistret, Shah Alam, baru-baru ini.

ORANG luar dan media diminta supaya tidak membuat ulasan secara semberono perihal perjalanan inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Peringatan itu dikeluarkan oleh Koroner Azmil Muntapa Abas berikutan permohonan peguam pemerhati bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa.

Beliau memohon mahkamah mengeluarkan perintah menghalang sebarang pihak membuat kenyataan media di luar prosiding kerana bimbang ia akan dipolitikkan.

Sememangnya inkues yang bermula 29 Julai lalu semakin menarik perhatian banyak pihak.

Ramai yang teruja dan ternanti-nanti apa puncanya Beng Hock menemui ajal biar pun pihak polis telah membuat kesimpulan awal tiada unsur jenayah dalam kes tersebut.

Lebih menarik apabila Koroner Azmil Muntapa membenarkan saksi yang mendakwa didera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi keterangan semasa prosiding inkues itu.

Ramai yang tertanya-tanya apa perlunya saksi bernama T. Sivanesan dibenarkan memberi keterangan. Di mana kaitannya dengan proses mencari dan mengenal pasti punca kematian Beng Hock.

Sedangkan penampilan saksi baru itu lebih kepada tuduhan atau dakwaan kononnya SPRM menggunakan kekerasan semasa menyoal siasat sedangkan inkues bertujuan membongkar cara mana dan apa punca Beng Hock menemui ajal sedemikian rupa.

Lebih-lebih lagi apabila bahan berupa seluar dalam yang koyak dalam kejadian yang didakwa berlaku setahun lalu dibenarkan dalam inkues tersebut.

Sudah tentu apabila perkara ini timbul maka orang ramai akan melihat semula matlamat asal Kabinet meluluskan inkues tersebut.

Tujuan hanya satu dan diulang beratus kali iaitu tidak lain tidak bukan untuk mencari punca kematian Beng Hock dan kehadiran saksi terbaru dengan bahan bukti pakaian dalam itu sesungguhnya tidak ada kaitan dengan inkues.

Kita tentu tidak lupa semasa memutuskan penubuhan inkues itu, Kabinet turut bersetuju menubuhkan suruhanjaya diraja dengan terma-terma khusus untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat SPRM.

Suruhanjaya itu akan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang serta memastikan kejadian sama tidak berulang.

Bukankah saksi terbaru itu lebih sesuai ditampilkan semasa prosiding suruhanjaya (jika benar-benar keterangannya diperlukan) kerana ia bersangkutan dengan tatacara siasatan SPRM?

Atau untuk lebih khusus, satu prosiding siasatan khas dibuat untuk menyiasat sejauh mana dakwaan tersebut benar atau tohmahan semata-mata.

Semasa prosiding itu boleh saja dipanggil saksi-saksi yang dipanggil SPRM dan tidak didera bagi memastikan proses siasatan berjalan secara adil tanpa memihak kepada mana-mana individu atau pertubuhan atau parti atau apa sahaja.

Hakikatnya apabila kerajaan memutuskan penubuhan inkues, ramai yang menaruh harapan tinggi lantaran saranan awal yang tertumpu kepada penubuhan suruhanjaya diraja ditakuti akan mengulangi kegagalan suruhanjaya sebelum ini.

Sebab itu ramai yang mengalu-alukan inkues dengan harapan punca kematian Beng Hock dapat dicari dengan cara yang lebih telus dan bijak.

Langkah itu penting untuk memberi keadilan kepada mangsa, keluarganya dan pihak-pihak yang dituduh mempunyai kaitan dengan kematian beliau.

Kita sendiri tidak tahu bagaimana kes kematian Beng Hock mahu dikaitkan dengan saksi terbaru itu, apatah lagi dakwaannya bersangkutan dengan kejadian setahun yang lalu.

Dalam hal ini, tampak jelas adalah cubaan untuk menggugat imej SPRM - jika inkues membenarkan saksi itu memberi keterangan dan keterangannya diterima - adakah bermakna SPRM juga bertindak sedemikian terhadap Beng Hock?

Bukankah itu maksud di sebalik kebijakan peguam yang 'mengganggu' prosiding dengan mengajukan permohonan untuk menampilkan saksi itu. Dan apabila cubaannya berjaya diterima maka inkues yang sepatutnya menyiasat punca kematian Beng Hock kita 'terpaksa' menanggung beban menyiasat pula dakwaan saksi itu.

Semestinya dakwaan seperti itu tidak boleh disiasat secara mudah. Di pihak SPRM semestinya ingin mempertahankan tuduhan tersebut, manakala saksi baru itu akan bersungguh-sungguh membuktikan dakwaannya.

Perkembangan itu boleh saja mewujudkan 'inkues di dalam inkues' - menyiasat dakwaan yang berlaku setahun lalu untuk dikaitkan dengan kes terbaru - sekali gus mencari punca kematian mangsa.

Ia semestinya menuntut masa yang lama dan mencacatkan matlamat asal penubuhan inkues yang menggunakan duit rakyat sekali gus menjejaskan proses keadilan yang dituntut dalam kes tersebut.

Hakikat itu yang mesti dijaga. Selepas suruhanjaya diraja klip video sebelum ini menjadi bahan permainan dan ejekan, 'tragedi' yang sama tidak harus menimpa inkues bagi menyiasat kematian Beng Hock.

Inkues mesti menepati matlamat penubuhannya. Jangan dicacamarbakan inkues itu dengan pelbagai permintaan yang bukan-bukan. Lebih daripada itu inkues ditubuhkan untuk mencari keadilan bagi pihak-pihak yang terlibat. Inkues bukan untuk kepuasan pihak tertentu.

Inkues itu juga bukan untuk kepentingan politik pihak tertentu dan menjadikan proses mencari keadilan umpama meja perjudian - kalah menang didorong oleh percubaan dan nasib.

Dan paling penting, proses mencari keadilan tidak boleh dilengah-lengahkan semata-mata kerana tuntutan yang tidak beralasan dan tiada kaitan dengan matlamat asal penubuhan inkues.

sumber - utusan


Tiada ulasan: