SHAH ALAM - Tindakan Pakatan Rakyat (PR) mendalangi demonstrasi kelmarin sebagai taktik mengalihkan tumpuan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa masalah dalaman mereka.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor berkata, tindakan demonstrasi jalanan yang dianjurkan membuktikan PR tidak ikhlas untuk memperjuangkan isu itu kerana Kerajaan sudah membuka ruang untuk mengkaji ISA.
"Jika mereka benar-benar mahu memperjuangkan ISA, mereka sepatutnya menggunakan ruang perbincangan yang dibuka Kerajaan untuk menyelesaikan isu ini.
"Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertama menjadi Perdana Menteri memberi jaminan akan mengkaji akta itu dan ketika ini Kerajaan sedang mengumpul input ke arah usaha itu, jadi mengapa perlu demonstrasi?" katanya.
Menurutnya, berbanding Anwar sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri, tiada langsung kenyataan, ucapan mahupun hasrat dinyatakan untuk mengkaji ataupun menghapuskan ISA.
"Ini jelas membuktikan mereka mempunyai niat buruk di sebalik demonstrasi ini memandangkan masyarakat Melayu yang paling banyak diperalatkan untuk menyertai demonstrasi ini," katanya, semalam.
Menurut Ezam lagi, demonstrasi kelmarin harus menyedarkan pemimpin Melayu bahawa masyarakat itu mudah diperdaya untuk memenuhi tuntutan dan kepentingan politik PR terutama Anwar.
"Saya juga kesal dengan GMI kerana badan bebas itu kini telah diperalatkan oleh PR, sepatutnya GMI menggunakan saluran perbincangan yang telah diberikan kerajaan untuk mengkaji ISA.
"Sebagai bekas tahanan ISA, saya pun tidak bersetuju dengan akta ini. Beberapa pindaan perlu dibuat. Walaupun tidak bersetuju kita sebenarnya perlu menggunakan cara yang betul," katanya.
Menurutnya, tindakan kelmarin menimbulkan pelbagai kesulitan kepada rakyat terutama ekonomi, keselamatan dan menjejaskan imej negara.
"Jika mereka mempunyai niat yang baik mereka boleh memilih stadium ataupun padang untuk berhimpun dengan aman, jelas tindakan mereka memilih jalan raya untuk berarak bagi menarik perhatian dunia," katanya.
sumber - sinar harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan