SHAH ALAM 27 Ogos - Seorang lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menggambarkan keadaan Teoh Beng Hock yang resah gelisah ketika komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) miliknya dirampas.
Setiausaha Politik Exco Selangor itu berkeadaan begitu apabila pegawai SPRM bertindak merampas peralatan tersebut yang mengandungi empat dokumen peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah bagi tahun 2008.
Gambaran oleh Penolong Penguasa SPRM, Mohd. Najeib Ahmad Walad, 29, itu secara tidak langsung menyokong keterangan Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd. Anuar Ismail, 32, di Mahkamah Koroner di sini sebelum ini.
Menurutnya, empat dokumen yang dicetak daripada komputer riba melibatkan sumbangan untuk Persatuan Penjaja Seri Kembangan dan sumbangan mangsa kebakaran manakala dua lagi beliau tidak ingat berkaitan sumbangan apa.
Mohd. Najeib berkata, setibanya beliau dan Mohd. Anuar di pejabat Hian Wah di tingkat 15, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor pada petang 15 Julai lalu, mendiang telah membawa mereka ke bilik mesyuarat.
''Di situ Beng Hock macam gelisah. Sekejap keluar, sekejap masuk sehinggakan Mohd. Anuar menyuruhnya duduk. Mohd. Anuar seterusnya meminta semua kertas kerja mengenai peruntukan ADUN Seri Kembangan bagi tahun 2008,'' kata saksi inkues ke-18 itu.
Inkues siasatan kematian Beng Hock yang didengar di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas masuk hari ke-16 hari ini.
Menjawab soalan peguam Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan Malaysia, menurut Mohd. Najeib, Beng Hock sebaliknya telah memberikan dokumen atau kertas kerja bagi tahun 2009.
Ujar Mohd. Najeib, Beng Hock mendakwa kertas kerja bagi tahun 2008 berada di atas meja kerjanya dan setelah diserahkan kemudian kepada Mohd. Anuar ternyata kertas kerja yang dikehendaki SPRM tidak ada.
Apabila ditanya mengenainya, Beng Hock gagal memberikan jawapan dan ini telah menimbulkan keraguan, kata Mohd. Najeib.
Menurut Mohd. Najeib, semasa Mohd. Anuar mengarahkannya bersama pegawai lain sekali lagi memeriksa meja Beng Hock, tiba-tiba Hian Wah datang bersama 20 wartawan sehingga memaksa pegawai SPRM keluar dari bilik itu.
Seketika kemudian mereka masuk semula ke bilik itu dan selepas memeriksa komputer riba Beng Hock, ujarnya, mereka menemui empat invois dalam komputer itu manakala surat permohonan sumbangan ADUN ditemui dalam CPU.
sumber - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan