Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pada hari Khamis percaya tindakan merosakkan kenderaan pacuan empat roda milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kegiatan kongsi gelap.
Beliau berkata kejadian awal pagi Khamis dimana enam botol bom api "molotov cocktail" dilemparkan ke kenderaan milik SPRM cawangan Klang menunjukkan adanya usaha berterusan untuk mengugut dan menakut-nakutkan pegawai suruhanjaya itu.
"SPRM tidak akan tunduk dan mengalah. Kejadian itu tentunya sama sekali tidak akan berjaya menghalang usaha dan tanggungjawab SPRM. Sebab kerja macam itu hanya (kerja) orang pengecut sahaja.
"(Mereka) yang selalunya buat perkara seperti itu. Sebab itu saya kata ada kemungkinan ia berkaitan dengan kongsi gelap," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang SPRM di Putrajaya.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Abu Kassim Mohamed.
Pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail berwarna emas itu diletakkan di tempat letak kereta berbumbung bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Klang lama, di Jalan Kota di sini telah dibaling botol bom api itu dipercayai awal pagi ini, dan hanya disedari oleh kakitangan SPRM pada pukul 7.45 pagi tadi
Sementara itu, Ahmad Said berkata setakat ini laporan yang diterimanya hanya sebuah kenderaan pacuan empat roda milik SPRM sahaja yang rosak.
"Maklumat awal terdapat empat molotov cocktail', cukup untuk membakar seluruh bangunan kalau tak dihalang. Ia satu ancaman tetapi ini tidak akan menghalang kami menjalankan tugas," katanya.
Ahmad Said berkata semua pegawai SPRM juga sudah menjalani latihan secukupnya dan bersedia menghadapi apa jua keadaan.
Bagaimanapun, beliau enggan memaklumkan jumlah anggota SPRM yang dilengkapi senjata.
"Jadi memang wajarlah langkah SPRM sebelum ini mempersiap petugas mereka dengan senjata dan menjalani latihan menembak, sebab untuk berdepan dengan masalah seumpama inilah," tegas Nazri.
Beliau juga mengingatkan semua pegawai SPRM untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan sentiasa membawa senjata yang dibekalkan untuk pertahanan diri.
Dalam perkembangan lain, Nazri berkata kerajaan Pulau Pinang tiada hak untuk memohon penjelasan mengapa kes siasatan bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin dibuka semula.
"Biarkanlah SPRM jalankan apa jua siasatan dan takkan kita nak ganggu siasatan semata-mata untuk memberitahu secara terbuka atau kepada seiapa sahaja," katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dikatakan memohon penjelasan SPRM negeri itu yang membuka semula siasatan ke atas dakwaan kes rasuah membabitkan Fairus selepas SPRM menerima bukti baru berhubung kes berkenaan.
"Lagi pun bukan dia (Lim) yang berhak dapat penjelasan, hanya orang yang bagi maklumat dalam siasatan sahaja yang boleh, itu pun perlu memohon, kata nak SPRM bebas tapi bebas dengan Barisan Nasional sahajalah bukan dengan pakatan "kongsi gelap" dia," katanya.
sumber - agendadaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan