PELABUHAN KLANG - Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah telah diberi surat tunjuk sebab oleh Pejabat Menteri Besar berhubung tindakannya yang gagal memberikan komitmen selaku wakil rakyat di situ.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Badrul Hisham diberi tempoh selama 14 hari dan surat itu disahkan diterima oleh isterinya di rumah wakil rakyat itu di Kampung Raja Uda, di sini.
Katanya, wakil rakyat itu sehingga kini belum memberi maklum balas terhadap surat berkenaan dan beliau sendiri (Nik Nazmi) belum berjumpa dengan Badrul berhubung pelbagai isu yang hangat diperkatakan terutama peranannya selaku wakil rakyat di sini.
“Kali terakhir saya berjumpa dengan Badrul Hisham tiga bulan yang lepas selepas mengadakan perbincangan berhubung bantahan penduduk dan akar umbi yang tidak berpuas hati dengan sikapnya yang sukar dihubungi dan jarang turun padang.
“Namun, saya meminta Badrul Hisham berbincang agar dapat kita bersama-sama mencari jalan penyelesaian terbaik mengatasi kemelut yang berlaku” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Bayaran Faedah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Kedua Daerah Klang.
Turut hadir Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan ADUN Pandamaran, Ronnie Liu.
Pada majlis itu, seramai 50 waris menerima skim berkenaan termasuk dari DUN Pandamaran dan Selat Klang.
Nik Nazmi berkata, beliau menolak dakwaan Badrul Hisham yang didakwa kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri yang melantik pegawai DUN bagi menggalas tanggungjawab wakil rakyat di kawasannya berikutan kegagalan ADUN berkenaan menjalankan tugasan sejak dipilih Mac tahun lalu.
“Masalah itu tidak timbul kerana matlamat kita adalah memberikan perkhidmatan untuk rakyat dan jika Badrul ingin bekerjasama dengan pihak yang dilantik, kita amat mengalu-alukannya,” katanya.
sumber - sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan