Bagaikan bom meletup, pendedahan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengenai dakwaan adanya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang terlibat dalam perniagaan yang diragui menggemparkan barisan Exco. Malah ada yang mendakwa kenyataan Choo Keong menyusahkan semua Exco dan boleh memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Ikuti wawancara Skuad Cakna Wangsa Maju,Sinar Harian, Mohd Syairi Mohamad Shaari dengan beliau di pejabatnya, malam semalam.
SH : Kenyataan YB mengenai penglibatan Exco dalam ‘kegiatan haram’ melalui blog mencetuskan suasana keruh dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Apakah rasionalnya di sebalik pendedahan tersebut.
CHOO KEONG : Perkara ini bermula pada awalnya berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyarankan supaya memecat Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali sebagai Presiden Kelab Penyokong Kerajaan. Beliau melatah apabila Azmin membangkitkan supaya diadakan rombakan terhadap barisan Exco dan saya tidak boleh terima tindakan Teresa yang tidak boleh menerima kritikan secara terbuka.
Budaya beliau amat bercanggah dengan prinsip saya. Apabila kita mentadbir sesebuah kerajaan , pemimpin harus terbuka menerima kritikan dan bukannya melatah hendak memecat seseorang apabila tidak berpuas hati dan ini bukan budaya dalam Pakatan Rakyat (PR).
Pada masa yang sama, saya menerima pelbagai aduan dalam blog daripada banyak pihak berhubung kegiatan ‘haram’ yang dilakukan di pejabat salah seorang Exco Selangor. Bagaimanapun, saya tidak pernah menuduh sesiapa. Saya hanya meminta perkara ini di siasat sahaja.
Kalau benar perkara ini berlaku, ambil tindakan. Kalau tidak, berterima kasih sebab ada yang mengambil berat perkara ini.
Apa yang saya tulis dalam blog adalah satu dua perkara dan tidak berniat untuk jadikan isu ini sebagai masalah besar tetapi hairan apabila ada pihak yang melatah dengan menghentam saya kiri dan kanan.
SH : Sejauhmanakah benarnya dakwaan yang YB kemukakan dan adakah YB memilliki bukti sahih untuk menyokong dakwaaan tersebut?
CHOO KEONG : Seperti mana tadi , saya hanya menerima aduan daripada pelbagai pihak seperti aduan daripada ahli PKR, Pas dan DAP serta orang ramai. Tetapi saya tidak sangka ada pihak yang melenting apabila perkara ini dibangkitkan dalam blog sedangkan saya tidak tuju kepada sesiapa pihak malah tidak menyebut satu nama pun.
Memang ada bukti tapi saya akan dedahkan pada masa yang sesuai nanti. Saya tidak sangka ada pihak yang melatah apabila media menghebahkan perkara ini.
Tetapi berhubung Teresa, saya faham mengapa dia melenting kepada saya kerana saya menggelarkan beliau sebagai “Exco Kanan” walaupun jawatan itu tiada dalam peruntukan Perlembagaan Negeri Selangor.
SH : Jika benar dakwaan YB itu, apakah ‘kegiatan haram’ yang dimaksudkan dan kenapa YB tidak membuat laporan sahaja kepada pihak berkuasa?
CHOO KEONG : Saya telah melakukan siasatan sendiri dan akan menyerahkan bukti serta nama yang terlibat semasa dalam siasatan polis nanti. Salah sayu kegiatan haram yang dilakukan Exco terbabit adalah ah long.
Saya tak faham mengapa ADUN Pandamaran, Ronnie Liu melatah sedangkan saya tak sebut nama yang terlibat pun. Mungkin siapa yang makan cili, dia terasa pedas atau ‘kera kena belacan’ tapi yang jelas saya tidak berniat pada sesiapapun dalam tulisan blog saya. Tetapi tindakannya yang tiba-tiba melenting menjadikan saya yang pada mulanya tidak mengesyaki sesuatu.
Lagipun, bukan beliau sahaja yang memegang jawatan Exco tetapi ada 10 orang dan mengapa lapan Exco lain tak melatah pun. Ini ditambah lagi beliau mencabar saya dengan perkataan ‘kalau anak jantan’ untuk mendedahkan nama yang terbabit. Kata-kata beliau yang kasar itu tidak seharusnya diucapkan dalam media. Mungkin bila sampai masanya saya akan bongkarkan perkara ini.
Seperkara lagi, saya memang lelaki tulin. (gelak besar)
SH : Ronnie mencabar YB untuk mendedahkan nama Exco yang dimaksudkan oleh YB bagi memudahkan tindakan diambil. Adakah YB akan menyahut cabaran beliau.?
CHOO KEONG : Beliau tidak boleh memaksa saya mendedahkan nama siapa yang terlibat. Saya dah cakap pada masa yang sesuai saya akan mendedahkan siapakah Exco ini dan dari parti mana. Bukti memang cukup dan boleh memberi ruang kepada pihak polis untuk memulakan siasatan nanti.
Tetapi perlakuan Ronnie ini memberi satu gambaran yang tidak sihat seolah-olah saya mengesyaki beliau sedangkan saya tidak menuduh sesiapa.
SH : Kalau benar, sejauh manakah penglibatan mereka dalam ‘urus niaga haram’ yang didakwa oleh YB?
CHOO KEONG : Biarlah pihak polis yang menyiasat perkara ini. Kerana sebelum ini, apa yang saya dedahkan dalam tulisan blog saya adalah pandangan peribadi saya.
SH : Bagaimana dakwaan Ronnie bahawa YB mempunyai perasaan dendam pada DAP setelah dipecat daripada parti tersebut?
CHOO KEONG : Saya tidak pernah berdendam dan perkara itu sudah lama berlalu malah saya mempunyai hubungan baik dengan semua pihak termasuk kepimpinan DAP. Tuduhan beliau tidak berasas sama sekali kerana jika dilihat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dulu dan sekarang sebagai Ketua Pembangkang, beliau masih lagi boleh mengemukakan sebarang isu kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO. Tidak pernah pun parti kerajaan mendakwa Anwar tidak berhak berkata sebab ada perasaan dendam dengan BN dan UMNO. Begitu juga dengan saya yang telah dipecat daripada DAP.
Malah hubungan saya dengan kepimpinan DAP yang lain masih baik. Begitu juga hubungan saya dengan YB Lim Kit Siang dan takkanlah nak berdendam sampai mati. Kit Siang juga ada mengatakan salah seorang yang menjadi mangsa ketidakadilan BN adalah saya selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng.
Saya juga menyokong usul dan kenyataan daripada Ahli Parlimen DAP termasuk Kit Siang. Saya juga gembira untuk menyatakan bahawa hubungan ini bukan sahaja baik di dalam Parlimen malah di luar Parlimen.
Saya hairan mengapa Ronnie menggunakan isu ini untuk mengelirukan pemikiran rakyat. Nasihat saya kepada beliau, tindakannya tidak akan memperbaiki keadaan.
SH : Adakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim maklum mengenai perkara ini?
Saya percaya beliau maklum akan perkara ini dan berharap beliau akan mengambil tindakan dan menyiasat perkara ini. Saya yakin atas kewibawaan menteri besar, perkara ini dapat diselesaikan.
SH : Adakah benar mereka yang terlibat dalam urusniaga tersebut merupakan penaja Exco tersebut dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu?
CHOO KEONG : Secara jujur, saya tidak tahu pada masa itu. Apa yang saya tahu apabila selepasnya PRU 12 selesai, barulah saya tahu perkara ini amat ketara kerana ramai yang membuat aduan kepada saya. Malah saya pernah menyelidiki perkara ini dan ada benarnya.
SH : Pendedahan yang dibuat oleh YB seperti membangkitkan satu lagi kecelaruan dalam PR apabila kali ini seperti berlaku pertelagahan antara PKR dan DAP, tidakkah YB bimbang keadaan ini akan meretakkan kerjasama PR?
CHOO KEONG : Keadaan ini tidak akan menjejaskan hubungan dalam PR kerana situasi yang berlaku sekarang menunjukkan kepada rakyat bahawa kita mengamalkan kebebasan bersuara dan menegakkan kebebasan bersuara dan menegakkan keadilan demi kepentingan negara.
Saya tidak nafikan bahawa mana-mana parti pasti akan menghadapi masalah dan melakukan kesilapan. Apa yang lebih penting adalah memperbaiki keadaan tersebut dan jika ada masalah besar sekalipun, kita boleh berbincang dan membawa pendekatan baru. Yang jelas, kesilapan itu diperbetulkan demi kepentingan rakyat. Kita hanya manusia sedangkan lidah dan gigi pun tergigit begitu juga dengan ahli politik.
Seperti mana YB Azmin membangkitkan perkara tertentu, kita kena terima kritikan itu dan melakukan perubahan. Saya menyokong pendirian Azmin.
SH : Hubungan PR dilihat semakin longgar tambahan pula pelbagai krisis kepimpinan berlaku bermula dengan DAP dan PKR di Pulau Pinang, DAP dan PAS di Kedah dan DAP dan PKR di Selangor, adakah YB merasakan hubungan ini mampu bertahan sehingga PRU 13 nanti?
CHOO KEONG : Saya yakin bahawa keadaan ini boleh dipertahankan sampai bila-bila pun kerana situasi ini suatu perkara yang sihat. Mana-mana parti pun ada masalah sebagaimana BN dan UMNO pun ada masalah. Perkara ini bukan sahaja khusus kepada PR sahaja.
Bagaimanapun perkara yang berlaku ini akan memberikan satu pengalaman dan pengajaran yang baik supaya PR akan menjaga hubungan dan menghormati antara satu sama lain pada masa akan datang sekaligus akan memantapkan masa depan parti.
Janganlah sesuatu perkara itu kita perbesarkan dan hanya melihat pada sudut negatif sahaja yang akhirnya akan merugikan parti.
SH : Kalau dikaji rentetan hubungan PR, DAP paling dominan berkrisis dengan PAS dan PKR, adakah keadaan ini memperlihatkan ‘peel’ sebenar DAP yang besar kepala?
Bagi saya semua parti adalah baik termasuklah BN, PAS, PKR dan DAP tetapi mungkin disebabkan oleh pucuk kepimpinan parti tersebut, maka sesebuah parti itu dianggap besar kepala. Memang ada seorang dua pemimpin sebegitu tetapi ia tidak menggambarkan keadaan keseluruhan parti tersebut.
sumber - sinar harian, 17 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan