Oleh AIDCNews
Setiausaha politik kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teoh Beng Hock, 30, yang ditemui mati dipercayai membunuh diri di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini semalam.
Teoh, ahli parti DAP disiasat sebagai saksi kepada bosnya Ean Yong Hian Wah (ADUN DAP) Seri Kembangan) yang dipercayai salah seorang exco kerajaan Negeri Selangor suspek siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri baru baru ini.
Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Shukri Abdul dalam sidang media di tempat kejadian semalam berkata Teoh datang ke pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam pada 5 petang semalam untuk memberi keterangan dan dibenarkan pulang pada pukul 3.45 pagi ini.
“Dia adalah saksi untuk kes itu dan kami selesai merakamkan percakapannya bagi membantu siasatan berhubung salah guna wang peruntukan ADUN Selangor itu"
Beliau berkata sebelum pulang Teoh berjanji akan datang semula ke pejabat SPRM Selangor untuk membawa beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
Teoh dikatakan memohon untuk berehat dulu di bilik tetamu pejabat SPRM dan SPRM membenarkannya. Pada pukul 6 pagi dia masih kelihatan tidur di atas sofa dan selepas itu SPRM tidak melihat beliau lagi.
"Sehingga jam 6 pagi, beliau didapati masih tidur. Selepas itu dia tidak kelihatan lagi,” katanya.
Mohd Shukri berkata, setelah dimaklumkan oleh orang ramai mengenai penemuan mayat Teoh di Tingkat 5, SPRM terus membuat laporan polis.
“Dari mana dia jatuh atau tempat mana dia jatuh saya tidak boleh pastikan kerana masih dalam siasatan polis,” katanya.
Mohd Shukri berkata, semasa siasatan dilakukan, beliau memberi kerjasama sepenuhnya dan beliau tidak menunjukkan sebarang rasa tertekan pada riak wajahnya.
Mayat Teoh, 30an ditemui dalam keadaan terlangkup pada kira-kira 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai mati mengejut berikutan siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah yang berlaku.
“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, empat unit patologi, dua dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan masing-masing satu dari HTAR dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) turut dipanggil mengambil bukti.
Menurutnya, beliau turut memberi peluang kepada keluarga mangsa untuk mencari ahli patologi mereka sendiri bagi turut sama dalam siasatan, bagaimanapun mereka gagal membawa sebarang ahli patologi sehingga mayat diangkat.
Mayatnya dikeluarkan dari bangunan berkenaan melalui pintu belakang kira-kira jam 9 malam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.
sumber - AIDCNews
Tiada ulasan:
Catat Ulasan