KUANTAN: Seorang peniaga berusia 78 tahun ditemui mati dalam bilik sewa seorang 'mak nyah' di tingkat satu bangunan rumah kedai di Jalan Tun Ismail di sini petang kelmarin, dipercayai diserang penyakit jantung.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, lelaki yang berasal dari Kubang Buaya di sini dikatakan memasuki bilik berkenaan dan berbaring di atas katil apabila tiba-tiba memegang dadanya sebelum tidak sedarkan diri.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan, Zulkifli Taha, berkata ketika kejadian hanya mangsa dan mak nyah berusia 31 tahun itu berada dalam bilik berkenaan.
"Mak nyah terbabit bertindak menghubungi rakannya yang kemudian menghubungi polis dan ambulans," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Zulkifli berkata, polis yang tiba kira-kira 10 minit selepas itu, mendapati mangsa berpakaian lengkap dan tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah kerana tiada kesan cedera atau lebam pada tubuhnya.
Polis mengambil keterangan daripada mak nyah itu, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan dan bekerja sebagai jurujual barangan kosmetik di sebuah kedai, di sini.
Mayat peniaga itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan jam 7 petang kelmarin, untuk bedah siasat dan doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.
sumber - berita harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan